Promosi sesebuah filem biasanya dimulakan lebih awal berbanding tarikh tayangan yang dirancang.

Kempen biasanya dimulakan dengan tayangan treler atau sedutan pendek di antara 6 bulan ke 1 tahun sebelum tarikh tayangan, untuk memastikan peminat tahu tentang tarikh keluarnya filem itu serta secara tak rasmi memulakan kempen promosi. 

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah filem, hanya bahagian trelernya tampak menarik. Filemnya - 'hampeh gila.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah wujud petanda sesebuah filem bakal flop sebelum tayangannya, boleh dijadikan amaran awal kepada anda supaya jangan membazir masa dan wang anda? Ada.

1. Hanya mula dipromosikan tak lama sebelum tarikh tayangan

snake eyes henry golding filem gagal

Bagi filem yang sejak mula produksinya diketahui berada dalam tangan yang diyakini, pengedar biasanya tidak takut untuk berbelanja mempromosikan filem dengan kempen besar walaupun filem itu belum separa jalan pembikinannya.

Bagi sesetengah filem kategori berbeza, promosinya seolah-olah mati selepas keluar teaser atau treler. Tidak ada kemaskini apa yang sedang berlaku tentang filem itu, fasa produksinya dan sebagainya. 

Tak semena-mena muncul treler filem itu dilancarkan tanpa sebarang usaha untuk mencipta kehangatan; jelas kurang menyengat, seolah penyunting treler itu sendiri berhadapan kesukaran mencari adegan yang layak dimasukkan bagi tujuan promosi.

Jika itu berlaku, itu petanda besar produksi itu bermasalah dan kualiti filem yang dihasilkan bakal tidak menepati standard yang diharapkan .

Apa yang berlaku, penerbit memilih menangguhkan promosi bagi memberikan ruang kepada pengarah cuba menyelamatkan projek. Kos untuk promosi dikurangkan, kerana penerbit sendiri tidak mahu berbelanja besar untuk filem yang diramal kurang menyengat.

2. Tarikh tayangan yang ditangguh-tangguh walaupun filem selesai penggambaran

tarikh tayangan diubah ubah

Banyak tayangan filem ditangguhkan  ekoran masalah pandemik yang melanda. Itu  tindakan yang perlu diambil bagi memastikan kos yang telah dikeluarkan mampu dikaut semula dengan prospek lebih tinggi. 

Namun bagi sesetengah filem yang siap tapi dah diketahui hampeh - penerbit biasanya sengaja memilih untuk 'menangguhkan' tayangan filem itu, sama ada untuk melihat adakah projek itu masih boleh diselamatkan...

Atau mungkin juga menantikan saat paling sesuai filem itu dilancarkan agar, bagi melindungi reputasi studio penerbitan yang terlibat. Contoh terbaru yang ada dalam fikiran penulis adalah filem 'The New Mutants.' Filem adaptasi siri komik X-Men ini sepatutnya tidak ada masalah untuk dijual dalam pasaran hari ini.

Namun pertelingkahan di antara pengarah dan penerbit yang tidak sependapat tentang tema filem itu, mengakibatkan tarikh tayangannya diubah-ubah. Hasilnya?

Jika anda dah tonton filem ini, pasti anda tahu betapa teruknya kualiti filem itu berbanding beberapa filem siri X-Men yang turut diisytiharkan teruk. Macam drama yang difilemkan kualitinya.

3. Produksi yang bertukar-tukar tangan

justice league filem bermasalah produksi

Pembikinan filem merupakan proses yang memakan masa dan kos tinggi.

Sekiranya berlaku kesilapan atau kegagalan dalam sesuatu produksi, penerbit perlu bertindak keras sehinggakan terpaksa menukarkan pengarah asal - bagi menyelamatkan apa yang boleh.

Ada masanya tindakan menukar pengarah ini berjaya. Ada masanya tindakan ini memakan diri sendiri. Antara filem yang terjejas teruk akibat pertukaran nakhodanya adalah 'Superman II' lakonan Christopher Reeves dan '13th Warrior' lakonan Antonio Banderas. 

Selain itu produksi yang bertukar tangan akibat insiden yang tidak dapat dielakkan juga akan memberikan kesan besar kepada filem yang bakal terhasil.

Filem berprofil tinggi 'Justice League' menjadi antara filem yang akan terus diingati akibat keperluan menukar pengarah asalnya Zack Snyder. Konflik dalaman sudahpun kedengaran di antara Snyder dan kumpulan penerbit, sehinggakan penerbit memaksa Snyder mengambil seorang lagi pengarah besar, Joss Whedon sebagai penulis lakon layar.

Selepas insiden keluarga yang dihadapi anaknya, Snyder mengundur diri sebagai pengarah digantikan Whedon. Versi akhir filem 'Justice League' yang terhasil kita boleh nampak kucar-kacirnya, agak sukar ditonton serta kurang lengkap dalam banyak aspek. Jalan ceritanya juga melompat ke sana ke mari.

Filem itu walaupun dianggap mendapat kutipan agak baik, dikritik kerana jauh berbeza dengan visi awal yang dibentangkan dan dipersembahkan oleh Snyder, sejak mula. 

4. Ditayangkan pada bulan Januari

filem parodi terbitan januari

Bagi industri filem besar seperti di Amerika Syarikat, keperluan untuk mendapat slot cantik di pawagam merupakan keutamaan utama dalam memastikan kehadiran penonton dimaksimakan. 

Untuk filem-filem yang diramalkan bakal gagal atau sudah diketahui kurang berkualiti hasilnya, kebanyakan studio akan memilih untuk menayangkan filem-filem ini biasanya pada bulan Januari dan Februari - digelarkan dalam industri sebagai 'dump months'; waktu di mana studio cuci tangan mereka daripada filem-filem rendah kualiti. 

Kenapa ini berlaku? Ini berkait dengan sistem pencalonan anugerah Academy, memerlukan filem yang bakal dicalonkan perlu menjalani tayangan selewatnya pada bulan Disember tahun sebelumnya.

Kebanyakan studio akan memastikan semua karya filem terbaik mereka selamat ditayangkan pada bulan Disember, sebelum proses pencalonannya dijalankan sekitar bulan Februari.

Untuk tidak mengganggu fokus panel yang terlibat dalam pemilihan, studio akan menjadikan bulan Januari sehinggalah pertengahan bulan Februari sebagai tempoh di mana filem yang tidak laku diterbitkan bagi mengisi slot yang ada serta sekurang-kurangnya mengembalikan modal yang dah keluar, disebabkan tiada saingan dari judul-judul filem besar lain.

Kebanyakan studio juga enggan menerbitkan filem yang dianggap berkualiti tinggi ketika bulan dump months kerana tempoh menunggu yang terlalu lama daripada awal tahun sehingga akhir tahun, akan merendahkan peluang mereka untuk disenarai dalam pencalonan.

5. Filem itu melibatkan nama yang tak pernah berlakon

filem yang menjadikan selebriti sebagai pelakon utama

Dalam industri besar seperti Hollywood, gimik-gimik pemasaran yang mengorbankan integriti penghasilan karya jarang berlaku. Pelakon masih kekal berlakon, sementara penyanyi pula fokus kepada karier menyanyi. 

Tetapi bagi industri kecil seperti kita di mana penghasilan bakat agak terhad, ada kalanya produser filem mengambil jalan mudah menggunakan nama-nama penyanyi atau selebriti sebagai pelakon, dengan harapan aura individu itu mampu membawa penonton ke pawagam. 

Bagaimanapun ekoran kurangnya asas dan latihan sebelum bergelar seorang pelakon, jelas lakonan individu itu kaku ibarat kayu. Dialog dilontarkan dengan wajah tak semulajadi. Aksi yang dipaparkan juga kadangkala tampak aneh walaupun bergelar filem aksi. Cringe lebih.

Pengambilan 'bukan pelakon' sebagai gimik utama filem biasa berlaku dalam industri kita, walaupun kini sudah semakin berkurangan amalannya tak seperti dulu. Bagi penulis, apabila sesebuah filem itu perlu menjadikan gimik pengambilan penyanyi atau selebriti sebagai pelakon utama, itu petanda paling jelas filem itu bakal teruk.  

Di Hollywood harus diakui ada penyanyi yang berjaya melakukan transisi menjadi pelakon serius seperti Justin Timberlake, Will Smith dan Lady Gaga. Bagaimanapun latar belakang mereka dalam seni lakonan tetap ada.

Timberlake sejak kecil sudahpun mengasah bakat sebagai artis dan pengacara kanak-kanak serba boleh bersama Disney, Smith pula memperkukuhkan seni lakonan dalam siri TV televisyen. Lady Gaga pula merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah lakonan teater ternama, sebelum memilih untuk memfokuskan kariernya dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu.

Kita pula ambil saja penyanyi, pelawak, model, founder, pengacara dan bermacam lagi kerjaya seni lain, untuk dijadikan pelakon filem. Bila orang kritik lakonan kayu, ada pula yang melenting.




Hakcipta iluminasi.com (2017)