korea utara letupkan bangunan liaision 975

Dalam satu tindakan yang tidak disangka akan dilakukan, kerajaan Korea Utara telah bertindak meletupkan Pejabat Hubungan Korea di bahagian sempadan negara mereka pada 16 Jun 2020.

Dianggap sebagai susulan provokasi ke atas beberapa siri ancaman yang telah  diutarakan kepada kerajaan Korea Selatan sebelum ini khasnya melibatkan Presiden Moon Jae-in, apa yang dilakukan oleh Korea Utara mengejutkan semua pihak.

Hubungan di antara kedua-dua negara agak tegang kebelakangan ini, namun persoalan utamanya adalah kenapa Korea Utara memilih untuk meletupkan fasiliti milik negara mereka?

Sejarah ringkas Inter-Korean Liaision Office

joint liaison office kaesong

Pejabat Hubungan Korea atau Inter-Korean Liaision Office (IKLO) merupakan sebuah usahasama diplomatik kedua-dua negara, dalam membantu memperbaiki hubungan mereka yang senantiasa bergolak.

Persetujuan kerjasama ini sebenarnya baru saja dicapai dalam Deklarasi Panmunjom, ditandatangani di antara Presiden Kim Jong-un dan Moon Jae-in pada 27 April 2018.

Menjadi lokasi pejabat kedutaan serta pusat komunikasi kedua-dua negara, kerajaan Korea Utara dan Selatan bersetuju untuk bersama-sama menempatkan pegawai-pegawai kerajaan dalam satu kompleks yang terletak di Wilayah Perindustrian Kaesong.

Sebuah bangunan empat tingkat yang telah dibina sejak tahun 2005 diubah suai, proses penambahbaikannya dilaporkan selesai pada bulan Oktober 2018 bagi memenuhi hasrat tersebut.

perjanjian antara korea utara dan selatan

Walaupun begitu hanya kerajaan Korea Selatan mengeluarkan dana untuk projek tersebut.

Sebanyak RM32 juta diguna dalam pembinaan bangunan tersebut pada tahun 2005 dan sekali lagi membelanjakan RM36 juta untuk pengubahsuaiannya, selepas perjanjian tahun 2018 dicapai.

Antara isu yang sempat dibincangkan di kompleks tersebut berkait usaha kedua-dua buah negara membida hak penganjuran Olimpik 2032 serta beberapa lagi projek yang dirasakan sesuai untuk menggerakkan unifikasi semula komuniti Korea.

Bagaimanapun disebabkan oleh pandemik Covid-19, kedua-dua buah kerajaan bersetuju untuk mengosongkan kompleks tersebut bermula 30 Januari 2020 menghentikan sementara satu-satunya kerjasama rasmi yang ada.

Isu penerbangan belon-belon propaganda

aktivis belon korea selatan

Perang propaganda antara kedua-dua negara telah berlaku sejak bermulanya perang Korea lagi.

Nnamun disebabkan oleh jumlah warga Korea Utara yang memilih untuk berhijrah atau melarikan diri ke Korea Selatan semakin bertambah; perang propaganda ini semakin lama semakin kerap berlaku.

Salah satu kaedah paling mudah untuk bekas penduduk Korea Utara cuba menyedarkan orang senegara mereka tentang keburukan kerajaan asal mereka, adalah menerbangkan belon-belon gergasi merentasi sempadan negara tersebut.

Dilakukan hasil usahasama aktivis yang diketuai bekas warga Korea Utara, belon-belon besar ini diisikan dengan gas helium yang akan membawa bersama risalah anti Korea Utara serta bahan-bahan makanan kering, yang diharapkan sampai kepada sasarannya.

belon aktivis korea

Bagi mengawal gerakan ini, pada tahun 2018 kedua-dua kerajaan bersetuju untuk mewujudkan ruangan khas di sempadan mereka - di mana belon-belon termasuklah belon udara panas, tidak lagi dibenarkan terbang dalam jarak 25 km dari garis sempadan.

Bagaimanapun aktiviti mereka tidak juga dihentikan.

Walaupun gerakan aktivis dan bekas warganegara ini dipuji banyak pihak, ada juga pihak menganggap tindakan yang mereka lakukan sebenarnya didalangi niat hendak mensabotaj sebarang usaha yang cuba dilakukan kedua-dua negara, dalam menemui kata sepakat.

Ini adalah punca utama kemarahan Korea Utara kepada Korea Selatan dalam insiden terbaru ini.

Amaran Kim Yo-jong

kim yo jong moon jae in korea selatan utara

Pada penghujung bulan Mei, 500,000 belon diterbangkan oleh kumpulan aktivis di Korea Selatan mengedarkan risalah mengkritik kemampuan nuklear yang dimiliki Korea Utara.

Tindakan ini dianggap melampau oleh Korea Utara, dilihat memperbodohkan usaha kedua-dua buah kerajaan dalam mewujudkan kerjasama dengan lebih erat.

Disebabkan 'serangan' terbaru itu, kerajaan Korea Utara bertindak keras memberikan amaran atas provokasi tersebut menerusi Naib Presiden mereka sendiri, Kim Yo-jong.

Yo Jong dikhabarkan sedang dalam proses transisi pengambil alihan kuasa daripada abangnya, Kim Jong-un dan insiden ini dilihat sebagai satu percubaan kepada kemampuan kepimpinan beliau.

Amaran Yo-jong yang dikeluarkan pada 4 Jun 2020, mengingatkan kerajaan Korea Selatan untuk lebih serius dalam menghentikan anasir jahat yang sedang mengganggu gugat kesejahteraan kedua-dua negara - atas nama kebebasan bersuara.

Dalam kenyataannya, Yo-jong menggesa agar kerajaan Korea Selatan mengambil tindakan tegas ke atas kumpulan aktivis yang bertindak keterlaluan atau Korea Utara akan menarik balik semua persetujuan yang telah dicapai semasa Deklarasi Panmunjom.

Korea Selatan mengalah kepada desakan

jo yong dan jong un korea utara

Pada 5 Jun 2020, atas desakan tersebut kerajaan Korea Selatan mengumumkan pengenalan undang-undang baru bagi menghalang tindakan serupa berlaku lagi, dianggap sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan diplomasi kedua-dua buah negara.

Lima hari kemudian pada 10 Jun 2020, Korea Selatan mengumumkan mereka sedang dalam proses mendakwa kedua-dua buah kumpulan aktivis yang terlibat dalam insiden provokasi penghujung Mei, termasuklah sedang menyiasat penglibatan dua orang bekas warga Korea Utara yang terlibat sebagai dalang utama.

Kesemua yang terlibat, ujar Korea Selatan bakal didakwa atas kesalahan melanggar ketetapan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua buah kerajaan serta mengedarkan risalah larangan ke negara bersebelahan, tanpa permit.

kim yo jong korea utara letup bom 755

Tindakan kerajaan Korea Selatan itu yang dikatakan tunduk kepada ancaman Korea Utara meresahkan kumpulan aktivisa, dianggap sebagai satu bentuk halangan ke atas kebebasan bersuara yang selama ini telah diamalkan kerajaan mereka.

Walaupun isu ini menimbulkan kontroversi besar di Korea Selatan, kerajaan Korea Utara melihat jiran mereka tetap enggan untuk benar-benar mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang terlibat; walaupun pengumuman tersebut telah dilakukan.

Oleh yang demikian, Korea Utara mendakwa Korea Selatan hanya main wayang, kurang ikhlas dan banyak berselindung serta gagal mematuhi persetujuan yang telah mereka capai bersama.

Letupan bangunan Inter-Korean Liaision Office

letupan inter korean liaision office

Salah satu ugutan yang dilakukan oleh Yo-jong dalam mendesak Korea Selatan, adalah ancaman penutupan Inter-Korean Liaision Office; yang akan menandakan berakhirnya usaha kerjasama antara kedua negara.

Pada 14 Jun 2020, Yo-jong mengeluarkan kenyataan bahawa Korea Utara akan bertindak balas dengan menggunakan ketenteraan selagi Korea Selatan dilihat enggan akur dengan persetujuan yang telah dipersetujui - membiarkan kumpulan aktivis belon terus bebas melakukan provokasi.

Kemuncaknya, Yo-jong melabelkan Korea Selatan sebagai musuh serta memberi amaran kompleks Inter-Korean Liaision Office akan menjadi sasaran pertama tentera sebagai tindakbalas.

Serentak dengan kenyataan tersebut, Yo-jong mengumumkan arahan telah dikeluarkan oleh beliau mewakili abangnya, untuk melaksanakan langkah seterusnya.

Dua hari kemudian, dalam letupan yang disifatkan oleh kerajaan Korea Selatan sebagai 'gilang-gemilang', bangunan Inter-Korean Liaision Office yang terletak di bahagian sempadan Korea Utara diletupkan.

Alasannya, kerajaan Korea Selatan terus berdegil untuk melindungi 'najis-najis' yang telah mengkhianati negara mereka dan selagi mana Korea Selatan enggan memulangkan mereka untuk diadili, negara itu akan kekal menjadi musuh kepada Korea Utara.

Banyak pihak melihat apa yang berlaku ketika ini berpunca daripada usaha Kim Yo-jong mengukuhkan kuasanya, sebelum naik menerajui negara tersebut. Apa yang menarik untuk diperhatikan selepas ini; apa langkah Kim Yo-jong seterusnya?

Adakah dia akan meneruskan taktik agresif ini dalam mengukuhkan cengkaman kuasa yang bakal dipegangnya atau akan kembali menggunakan diplomasi yang sedikit sebanyak berjaya diterapkan abangnya?

Rujukan

In 'Terrific Explosion,' North Korea Blows Up Liaison Office



Hakcipta iluminasi.com (2017)