Semasa Perang Dunia Kedua, pembinaan jentera perang merupakan suatu sektor yang amat penting. Ini kerana lebih banyak jentera perang yang dihasilkan, lebih kuat sesuatu pasukan tentera itu. Amerika Syarikat yang mula menjadi kuasa besar semasa Perang Dunia Kedua juga menumpukan perhatian pada penghasilan jentera mereka seperti pesawat pengebom Boeing B-17.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, pembinaan pesawat sebegini sewaktu perang merupakan sesuatu yang sangat berisiko. Pihak musuh tidak kira dari darat, udara mahupun laut akan cuba sedaya upaya untuk menjejaki dan memusnahkan pusat penghasilan jentera perang yang dianggap sebagai ancaman terbesar semasa pergolakan berlaku.

kilang pesawat boeing di bawah wonderland

Kilang pesawat dengan penyamaran di bahagian bumbungnya

Pada waktu itu, pembinaan sebuah pesawat pengebom B-17 dianggarkan menelan belanja RM 839,500. Jumlah itu ialah sama dengan jumlah RM14.2 juta pada hari ini. Oleh kerana pihak Tentera Amerika Syarikat telah memesan beribu-ribu jumlah pesawat ini, mereka mengambil langkah keselamatan yang rapi dalam memastikan kilang pembuatan Boeing ini selamat daripada dibom oleh pasukan Tentera Udara Jepun.

Antara langkah-langkah yang diambil ialah mengupah pereka set penggambaran Hollywood untuk membina sebuah penempatan palsu di atas kilang pesawat Boeing No.2, siap dengan pelakon yang diupah untuk tinggal di situ. Ini bagi melindungi kawasan kilang itu daripada sebarang potensi serangan udara oleh pihak musuh.

kilang pesawat boeing no 2 di seattle

Kilang pesawat pengebom Boeing No.2

Ini kerana, semasa Perang Dunia Kedua, terdapat peraturan yang melarang sebarang pesawat pengebom daripada terbang di ruangan udara penempatan penduduk. Ia perlu dipatuhi oleh negara-negara yang terlibat agar tidak melakukan sebarang jenayah perang.

Tambahan pula, pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat yang terletak di Honolulu, atau lebih dikenali dengan nama Pearl Harbor yang jaraknya 6,437 km dari Jepun pun berjaya diserang pasukan pengebom berani mati pada tahun 1941, Amerika tidak mahu mengambil sebarang risiko.

para pekerja sedang memeriksa bumbung rumah di wonderland

Pekerja sedang memeriksa keadaan bumbung di Wonderland

Kawasan kejiranan "palsu" itu dibina pada tahun 1942 itu digunakan selama beberapa tahun sehingga perperangan tamat. Pengarah seni syarikat perfileman Metro-Goldwyn-Mayer iaitu John Stewart Detlie orang yang bertanggungjawab bagi menyembunyikan Kilang Boeing No. 2 di Seattle, Amerika Syarikat.

Dia melakukannya dengan menggunakan teknik yang sama digunakan ketika penggambaran filem seperti membangunkan jalan raya, kaki lima, pokok, pagar, kereta dan rumah palsu untuk mengaburi mata pihak penyerang.

pokok palsu menggunakan jaring haiwan ternakan

Pokok palsu yang dibuat menggunakan pagar haiwan ternakan

Kawasan yang digelar sebagai "Wonderland" oleh penduduk tempatan itu meliputi kawasan seluas 10 hektar. Ketika itu, pembinaan Wonderland merupakan rahsia negara walaupun penduduk berdekatan tahu mengenai penempatan palsu itu. Tiada berita mengenainya ditulis dalam mana-mana akhbar sewaktu perang berlangsung.

Jika dilihat daripada udara, penempatan kecil ini kelihatan seperti sebuah kejiranan yang biasa di Amerika Syarikat. Namun, jika dilihat daripada dekat, anda akan mendapati keadaannya sedikit berbeza. Tingkap rumah dilukis menggunakan cat, daun-daun pada pokok tidak pernah bertukar warna dan kereta tidak bergerak daripada tempatnya diletakkan.

kereta diperbuat daripada kayu di wonderland

Kereta palsu yang dibuat menggunakan kayu

Wonderland dianggarkan mempunyai sekitar 300 pokok palsu, kereta palsu yang diperbuat daripada kayu serta tiga jalan raya utama dengan nama seperti Synthetic Street dan Burlap Boulevard. Kebanyakan rumah yang dibina di situ adalah kosong di dalamnya, kecuali pemancut air keselamatan, sekiranya terjadi sebarang kebakaran.

Walaupun begitu, dua buah rumah di situ direka khas supaya ianya boleh didiami. Kedua-dua buah rumah itu didiami oleh beberapa orang tentera yang mengawal senjata anti pesawat, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya tempat itu dikesan musuh sebagai kilang pembinaan pesawat pengebom.

pertukaran penggunaan b 17 kepada b 29 pada 1945

Orang ramai hadir ketika pertukaran penghasilan pesawat pengebom B-17 kepada B-29, 1945

Pembinaan penempatan palsu itu dianggarkan bernilai sekitar RM4.2 juta pada tahun 1942, secara kasarnya sekitar RM75.5 juta pada hari ini. Di bahagian bawah penempatan palsu itu pula, dianggarkan seramai 30,000 orang pekerja lelaki dan wanita sedang membina lebih kurang 300 pesawat pengebom dalam sebulan, bagi menampung keperluan pertempuran Tentera Amerika melawan pihak Tentera Nazi.

sebahagian kawasan kilang menggunakan net camouflage

Sebahagian bumbung menggunakan jaring camouflage

Pesawat jenis Boeing B-17 Flying Fotress itu sahaja telah menjatuhkan sebanyak 640,000 tan bom ke atas Jerman semasa konflik berlaku. Daripada 12,731 pesawat yang dibina, hanya 50 sahaja yang masih berada dalam keadaan sempurna.

Menurut syarikat Boeing, para pekerjanya berupaya untuk menghasilkan purata 12 buah pesawat B-17 setiap hari. Mujur, Wonderland tidak pernah diserang atau dibom oleh pihak musuh. Bandar palsu itu akhirnya dimusnahkan pada tahun 1946, setahun selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

bandar palsu di atas kilang pesawat 933

Rujukan:

1. Warfare History Network

2. Pickle

3. Seattle Times

4. Military Story




Hakcipta iluminasi.com (2017)