Oleh pada 04 Oct 2018 kategori

Dengan mengunakan pesawat biplane kayu dan kanvas, tanpa radio, lampu, pertahanan dan payung terjun, mereka terbang dalam kegelapan malam dan berhadapan dengan peluru pihak lawan serta cuaca yang sangat dingin.

Mereka juga ditakuti dan sangat dibenci oleh tentera Nazi dan jika ada mana-mana penembak Jerman yang berjaya membunuh salah seorang daripada mereka, maka secara automatik dia akan dianugerahkan pingat Iron Cross yang berprestij.

BESARKAN TEKS     A-  A+

pasukan pengebom wanita soviet night witches

Menurut laporan, Rejimen Pengebom Malam 588 yang kesemuanya dianggotai oleh kaum wanita itu telah menjatuhkan lebih daripada 23,000 tan bom ke atas kawasan Nazi. Oleh itu, pasukan ini merupakan salah satu aset penting bagi Kesatuan Soviet bagi memenangi Perang Dunia Kedua.

Tentera Jerman memanggil mereka dengan gelaran Nachthexen yang bermaksud "Night Witches" kerana bunyi bising pesawat kayu mereka itu hampir menyerupai bunyi penyapu yang sedang menyapu. Menurut Steve Prowse iaitu penulis skrip bagi filem The Night Witches, bunyi pesawat mereka itu adalah satu-satunya amaran tentang kedatangan mereka.

night witches mendengar arahan

Prowse menambah lagi, disebabkan pesawat mereka terlalu kecil, ianya sukar dikesan menggunakan radar atau pengesan infra merah. Bahkan, mereka juga tidak dapat dikesan oleh skuad pengesan frekuansi radio kerana pesawat mereka tidak membawa sebarang alat komunikasi radio. Jadi mereka pada dasarnya adalah seperti hantu.

Pada awalnya, penggunaan tentera wanita bukanlah pilihan utama kerana wanita adalah dilarang daripada menyertai pertempuran terus. Namun, tekanan daripada musuh membuatkan pemimpin Soviet untuk memikirkan semula dasar itu.

Pada Jun 1941, Adolf Hitler telah melancarkan Operasi Barbarossa iaitu pencerobohan besar-besaran terhadap Kesatuan Soviet. Pada musim luruh tahun itu, pihak Jerman telah memberi tekanan pada Moscow dengan Leningrad sudahpun ditawan dan tentera Komunis kelihatan sedang bergelut. Pihak Soviet semangnya terdesak.

Disebabkan itu, misi pertama Rejimen Pengebom Malam 588 telah dilancarkan pada 28 Jun 1942 dan berjaya mencapai matlamatnya untuk memusnahkan ibu pejabat pasukan Nazi yang masuk menyerang.

Wanita yang mengetuai serangan

marina raskova

Skuadron 588 ini diasaskan oleh Marina Raskova yang juga dikenali sebagai "Amelia Earhart Soviet". Dia bukan sahaja terkenal sebagai juruterbang wanita pertama Angkatan Tentera Udara Soviet malah dia juga mempunyai rekod hebat penerbangan jarak jauh. Raskova telah menerima banyak surat daripada wanita di seluruh Kesatuan Soviet yang ingin menyertainya dalam usaha membantu Perang Dunia Kedua.

Walaupun wanita sebelum ini dibenarkan menggalas tugas sebagai pembantu ketika perang, namun kini ramai yang ingin untuk menjadi penembak dan juruterbang dengan pesawat sendiri. Ramai di antara wanita ini yang telah kehilangan sanak saudara dan orang yang disayangi dan melihat kampung halaman mereka dimusnahkan.

Raskova telah memfailkan petisyen kepada diktator Soviet iaitu Joseph Stalin untuk memberinya kebenaran membentuk satu squadron tempur yang terdiri dari wanita sahaja.

para pelajar yang menyertai night witches

Pada 8 Oktober 1941, Stalin telah memberi arahan untuk melancarkan tiga unit tentera udara yang dibarisi oleh wanita. Para wanita itu bukan sahaja menjatuhkan bom malah juga berbalas tembakan dengan pihak musuh, menjadikan pertempuran rasmi yang pertama Kesatuan Soviet melibatkan wanita.

Selepas itu Raskova mula membentuk pasukannya sendiri. Daripada 2,000 permohonan yang diterimanya, beliau telah memilih sekitar 400 orang wanita untuk setiap unit daripada tiga unit itu. Kebanyakan pemohon adalah pelajar dan berumur dari 17 hingga 26 tahun.

Mereka yang terpilih akan berpindah ke Engels, iaitu sebuah pekan kecil di utara Stalingrad untuk memulakan latihan di Sekolah Penerbangan Engels. Mereka menjalani latihan yang sangat padat selama beberapa bulan untuk menguasai apa yang biasanya diajarkan selama beberapa tahun. Setiap pelatih diajar untuk menjadi juruterbang, pemandu arah, penyelenggara dan juga sebagai anak kapal.

Pelbagai kesukaran dan dugaan ditempuhi

pasukan night witches sedang berehat

Di sebalik menjalani pembelajaran yang sukar, para wanita ini juga menghadapi keraguan daripada tentera lelaki yang mendakwa mereka tidak membantu dalam pertempuran. Namun, Raskova telah melakukan yang terbaik bagi mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi sikap seperti ini.

Akan tetapi, pasukan wanita Raskova tetap menghadapi kesukaran lain seperti gangguan seksual, keadaan malam yang dingin dan juga keadaan latihan yang memenatkan. Mereka bahkan ditawarkan kelengkapan yang tidak sepadan seperti pakaian seragam dan kasut tentera bersaiz besar sehingga terpaksa menggunakan cebisan kain cadar untuk diletakkan dalam kasut bagi menjadikan ia muat. 

Tidak cukup dengan itu, pasukan wanita ini terus didiskriminasi oleh pihak tentera dengan membekalkan kepada mereka pesawat biplane yang usang iaitu Polikarpov Po-2 keluaran tahun 1920-an yang biasanya digunakan tentera untuk latihan.

Pesawat ringan dengan dua tempat duduk terbuka ini sebenarnya tidak sesuai untuk tujuan pertempuran. Pesawat yang diperbuat daripada papan lapis dan kain kanvas itu kelihatan seakan sebuah keranda yang mempunyai sayap kerana tiada sebarang unsur-unsur perlindungan.

pesawat polikarpov po 2

Sekiranya pesawat ini diterbangkan pada waktu malam, juruterbang akan mengalami angin yang sangat dingin ditambahkan pula dengan keadaan musim sejuk Kesatuan Soviet yang ekstrem. Ini boleh membuatkan mereka menjadi beku dan terkena radang angin sejuk.

Disebabkan kapasati pesawat dan dana yang terhad, para juruterbang wanita ini tidak mempunyai kemudahan seperti tentera lelaki yang lain rasai. Untuk mengurangkan berat yang dibawa pesawat kecil ini, mereka terpaksa mengabaikan payung terjun, radar, senjata dan juga radio. Hanya alatan asas seperti pengukur, jam randik, lampu suluh, pensel, peta dan kompas sahaja yang mampu dibawa.

Namun, terdapat juga beberapa kelebihan dan kekurangan pesawat usang yang digunakan pasukan Night Witches ini. Kelajuan maksimum mereka adalah lebih perlahan daripada kelajuan pegun pesawat Nazi, ini bermakna pesawat kayu ini lebih mudah untuk mengelak daripada dijadikan sasaran oleh musuh.

Kelemahannya pula, ketika dihujani peluru musuh, juruterbang harus tunduk dan menjunamkan pesawat mereka ke bawah untuk mengelak kerana sekiranya terkena satu peluru yang mengandungi percikan api, pesawat kayu mereka mudah untuk terbakar.

Malam yang panjang dan tektik tersembunyi

night witches sedang berbincang 731

Pesawat Polikarpov hanya boleh membawa dua biji bom sahaja pada satu-satu masa, satu di bawah setiap sayap. Untuk melakukan serangan berat terhadap barisan hadapan tentera Jerman, rejimen Night Witches akan menghantar 40 pesawat dengan dua anak kapal setiap unit pada waktu malam.

Setiap pesawat akan melakukan lapan sehingga 18 misi pengeboman dan akan berpatah balik setiap kali ingin mengisi muatan. Berat bom yang dibawa itu memaksa pasukan ini untuk terbang pada altitud yang rendah dan menjadikan mereka sasaran mudah maka ianya hanya sesuai dilakukan pada waktu malam sahaja.

Setiap pesawat pengebom ini mempunyai juruterbang di tempat duduk hadapan manakala pemandu arah pula duduk di belakang. Mereka biasanya akan terbang secara berkumpulan, di mana pesawat pertama akan menjadi umpan untuk menarik perhatian lampu sorot Jerman yang akan berfungsi sebagai sumber pencahayaan penting bagi pesawat di bahagian belakang.

Pesawat yang menjadi umpan kemudian akan menjatuhkan suar bagi menandakan sasaran yang akan diserang. Kemudian, pesawat terakhir akan menutup seketika enjinnya dan meluncur secara senyap dalam gelap malam yang dinamakan "Mod Siluman" dan akan menghasilkan bunyi pasukan Night Witches yang terkenal itu sebelum melepaskan bom yang dibawa.

Terdapat 12 rukun yang diikuti oleh pasukan Night Witches ini. Yang pertama adalah "berbanggalah kerana kamu seorang wanita". Di sebalik kerja membunuh tentera Jerman, pada masa terluang mereka seperti wanita biasa yang kadangkala menjahit, menampal dan menghisi pesawat mereka bahkan menari bersama-sama. Mereka juga didapati menggunakan pensel yang sama untuk menulis arah pada peta untuk dijadikan celak ketika bersolek.

Dibubarkan dan terlepas pandang

pasukan night witches selesai berlatih

Penerbangan terakhir yang dilakukan pasukan Night Witches adalah pada 4 Mei 1945 dalam jarak 60 km dari Berlin. Tiga hari kemudian, Jerman secara rasminya telah menyerah kalah.

Secara keseluruhannya pasukan wirawati ini telah melakukan lebih daripada 30,000 misi atau lebih kurang 800 misi untuk setiap juruterbang. Night Witches telah kehilangan seramai 30 orang juruterbang dan 24 daripadanya telah dianugerahkan gelaran Wira kepada Kesatuan Soviet.

Marina Raskova yang dianggap sebagai ibu kepada pasukan Night Witches itu telah meninggal dunia pada 4 Januari 1943 apabila dia sendiri telah turun di barisan hadapan namun terkorban. Dia telah diberikan pengebumian secara terhormat yang pertama bagi Perang Dunia Kedua dan abu mayatnya disimpan di Kremlin.

Walaupun unit Night Witches ini menjadi pasukan yang paling cantik dihiasi dalam Tentera Udara Kesatuan Soviet, namun ianya telah dibubarkan enam bulan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Semasa perarakan besar-besaran menyambut kemenangan diadakan di Moscow, pasukan mereka tidak termasuk bersama ianya sudah diputuskan bahawa pesawat yang mereka gunakan adalah terlalu perlahan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)