Bagi peminat industri filem Hollywood, nama Robert Rodriguez pengarah filem yang terkenal dengan filem-filem unik seperti Sin City, siri filem Spy Kids serta Alita : Batlle Angel merupakan antara individu yang diyakini kualiti kerjanya.

Pelakon veteran serta legenda hidup John Malkovich  pula tampaknya masih belum berhenti melibatkan diri dalam penghasilan filem - walaupun usia beliau sudah hampir mencecah 7 dekad.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kedua-duanya bergabung dalam sebuah projek penghasilan sebuah filem istimewa. Apa yang istimewa berkenaan filem ini - tarikh tayangannya telah ditetapkan bakal dilancarkan pada 18 November 2115.

Kami tak salah tulis. Tahun 2115!

Media filem sebagai kapsul masa

john malkovich 100 years

Pembikinan kapsul masa atau time capsule merupakan salah satu usaha yang sering dijalankan pihak yang mahu memelihara sesuatu, demi manfaat masyarakat di masa hadapan.

Negara kita juga mempunyai pelbagai projek kapsul masa - khasnya kapsul yang dijadualkan dibuka pada tahun 2020 ekoran sasaran negara kita menjadi salah sebuah negara maju pada tahun tersebut. Namun peredaran zaman serta kemalapan ekonomi mengakibatkan (dan pandemik) membuatkan masyarakat kurang berminat dengan pembukaan kapsul-kapsul ini.

Antara bahan popular yang sering disimpan dalam kapsul masa seperti salinan dokumen penting, akhbar utama pada hari kapsul ditanam, format media sama ada fizikal atau digital melibatkan lagu, novel, filem dan sebagainya; serta bermacam lagi idea unik dalam memenuhkan ruangan sesuatu kapsul masa.

Bagi John Malkovich yang bertindak sebagai penulis skrip serta pelakon dan Robert Rodriguez sebagai pengarah, peluang untuk menghasilkan filem yang akhirnya akan dijadikan sebuah kapsul masa merupakan satu peluang yang jarang sekali diperolehi.

Gimik pemasaran yang berkesan

sesi produksi 100 years

Idea untuk menghasilkan filem yang hanya akan ditonton selepas kapsul masa dibuka, bermula selepas syarikat pengeluar minuman keras Louis XIII mahukan kelainan dalam strategi pemasaran mereka.

Pihak Louis XIII menghubungi John Malkovich bagi memulakan kerjasama menghasilkan sebuah jalan cerita yang berkait dengan bumi dalam tempoh masa 100 tahun akan datang. Tempoh itu dipilih bagi mewakili waktu yang diperlukan untuk setiap botol minuman keluaran jenama itu diperam, sebelum dijual kepada pembeli.

Idea itu disambut baik Malkovich yang merekabentuk 3 buah situasi berbeza berkongsi satu latar belakang dalam skrip. Robert Rodriguez bersetuju untuk mengarahkan filem tersebut. Malkovich bertindak sebagai pelakon utama dibantu pelakon wanita Taiwan Shuya Chang dan pelakon Chile, Marko Zaror.

Tidak banyak yang diketahui berkenaan tema filem itu disebabkan kerahsiaan projek tersebut yang dijaga rapi.

Apa yang kita tahu berdasarkan tiga sedutan pendek yang telah dikeluarkan - ada tiga tema bumi berbeza yang akan dipaparkan dalam filem tersebut menggambarkan tiga bentuk masa depan tamadun manusia yang berlainan nasibnya.

Sama ada ketiga-tiganya berkait antara satu sama lain atau tidak, hanya mereka yang terlibat tahu kesudahannya.

Dikunci untuk tayangan anak cucu mereka yang hadir

malkovich rodriguez 100 years v1

Dalam majlis pelancaran tiga sedutan ringkas filem yang diberi judul 100 Years, John Malkovich selamat menempatkan gulungan filem itu ke dalam sebuah peti besi, yang hanya boleh dibuka tanggal 18 November 2115 Perancis disaksikan 1,000 orang hadirin. Peti itu akan disimpan di Cognac sementara menunggu kuncinya dibuka.

Peti besi yang direka syarikat pereka peti besi Perancis bernama Fichet-Bauche, mempunyai rekaan kalis peluru serta sistem sekuriti yang ketat. Sekali dikunci, pintu besi kapsul tersebut hanya akan boleh dibuka apabila tiba masa yang ditetapkan.

Tiada cara lain untuk membukanya, ekoran ketiadaan kod atau kunci pendua yang mampu memintas sistem sekuriti penguncinya.

Satu majlis gilang-gemilang telahpun dirancang pada tahun 2115, yang diharap bakal melibatkan pewaris kepada mereka yang berjaya menghadiri majlis menutup kapsul masa itu.

Dalam majlis tersebut, pihak penaja berpesan kepada hadirin adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyerahkan tiket kepada pewaris mereka, bagi membolehkan anak cucu mereka dapat hadir semasa tayangan perdana yang dijadualkan berlangsung di Domaine du Grollet, Perancis....100 tahun lagi.

Adakah ini gimik yang bakal dilupakan?

tangkap layar filem 100 years

Semasa proses pembikinan filem tersebut, wujud beberapa versi filem pendek yang telah disiapkan Rodriguez untuk pemilihan panel untuk digunakan sama ada sebagai iklan pemasaran atau sesuai untuk kegunaan filem itu sendiri.

Rodriguez mengakui dia sebenarnya sayang dengan pemilihan filem oleh panel yang kini selamat terkunci, kerana merasakan filem tersebut cukup sesuai untuk tayangan sekarang sebagai iklan ataupun filem pendek; namun dia terpaksa akur arahan produser.

Malkovich pula cukup teruja kerana merasakan projek yang disertai ini cukup berbeza berbanding dengan majoriti projek yang telah diceburinya dalam karier panjang beliau. Lebih lucu, dia sendiri mengaku belum menonton versi akhir filem tersebut.

Apa yang diharapkan Malkovich, semasa tibanya sesi tayangan filem tersebut 100 tahun lagi - penonton akan berpuas hati dengan apa yang ditonjolkan walaupun dia pada ketika itu berkemungkinan besar sudah meninggal dunia.

filem 100 years boleh ditonton 2115 masa depan

Agak lucu juga sekiranya difikirkan dalam tempoh 100 tahun lagi, sekiranya melihat projek-projek kapsul masa yang digerakkan zaman sekarang - persiapan rapi yang dijalankan produksi filem ini mungkin tidak dapat mencapai impak yang diharapkan.

Mungkin pada era tersebut generasi akan datang tidak lagi menonton filem, sebaliknya boleh menjadi watak dalam filem yang mampu menentukan perubahan jalan cerita dalam filem - berdasarkan interaksi mereka dengan filem itu.

Anda rasa bagaimana? Adakah strategi ini berkesan untuk menarik minat cucu cicit anda, menonton filem yang membariskan aktor serta pengarah terkenal di zaman anda?




Hakcipta iluminasi.com (2017)