bangkai pesawat terhempas

Berikutan kos penerbangan yang menjadi bertambah murah, sistem penerbangan udara kini sudah menjadi salah satu mod pengangkutan yang sangat popular, kerana diketahui sangat menjimatkan masa dan tenaga berbanding dengan pengangkutan darat.

Walau bagaimanapun, di atas kekerapan penjadualan penerbangan jugalah - insiden tembakan melibatkan pesawat komersial di udara semakin kerap berlaku, sama ada dilakukan akibat tekanan politik antarabangsa, pelanggaran undang-undang penerbangan atau perang saudara yang tercetus di sesetengah negara.

Negara kita juga menjadi salah satu negara yang pernah menyaksikan sendiri bagaimana pesawat komersial kita ditembak jatuh, menjadi mangsa perang saudara di Ukraine. Kita semua sudah dimaklumkan, hasil siasatan yang dijalankan mendapati pihak pejuang gerakan pemisah Ukraine telah menembak jatuh pesawat MH17 itu pada 17 Julai 2014.

Namun demikian ada juga kes tembakan pesawat berlaku, berpunca daripada arahan rasmi kerajaan sesebuah negara melibatkan angkatan tentera mereka. Berikut adalah lima kes pesawat ditembak atas arahan rasmi negara.

1. Insiden Kweilin (1938)

pesawat kweilin china

Pada 24 Ogos 1938, sebuah pesawat jenis Douglas DC-2 milik bersama syarikat aviasi China (CNAC) dan syarikat penerbangan Amerika Syarikat Pan American yang bertanggungjawab menguruskan penerbangannya. Insiden tahun 1938 ini merupakan insiden pertama dalam sejarah penerbangan di mana tentera di bawah arahan kerajaan, bertindak menembak jatuh pesawat komersial.

Pesawat itu yang diberikan nama 'Kweilin' berlepas dari Hong Kong pada jam 8.04 pagi sebelum masuk ke ruang udara China sekitar jam 8.30 pagi, dengan destinasinya adalah di wilayah Chungking. Membawa 14 orang penumpang, Kapten Hugh Woods yang memandu mendapati wujud formasi 8 pesawat berhampirannya milik tentera Jepun.

Tidak mengesyaki apa-apa yang aneh, Woods cuba mengubah laluan masuk kembali ke sempadan kawalan British sebelum 5 pesawat Nakajima keluar formasi mengejarnya dengan senapang 'machine-gun' mula menembak Kweilin. Kweilin berjaya didaratkan di sebuah kawasan sawah padi namun serangan pesawat tentera Jepun tidak berhenti-henti, menembak ke arah pesawat hampir sejam lamanya.

Hanya 3 orang terselamat dalam insiden itu, Woods, pembantunya serta seorang penumpang, pegawai kepada kerajaan China bernama Li Chai-Sung. Selebihnya mati ditembak. Motif serangan itu dipercayai adalah cubaan bunuh anak kepada Presiden Sun Yat-Sen, Sun Fo yang dikatakan menaiki penerbangan berkenaan, namun menukar pesawat lain selepas maklumat tentang risiko menaiki Kweilin, disampaikan kepadanya. (CNAC Incident)

2. Penerbangan El Al 402 (1955)

el al 402 bulgaria terhempas

7 orang kru penerbangan dan 51 orang penumpang pasti tidak menjangkakan penerbangan mereka ke Tel Aviv dari London, bakal berakhir dengan tragedi. Pada 27 Julai 1955, sebuah pesawat jenis Lockheed Constellation milik syarikat Israel dari lapangan terbang Heathrow terpaksa melakukan pertukaran laluan, dipercayai disebabkan oleh keadaan cuaca yang agak buruk.

Pesawat itu terpaksa masuk ke ruangan udara negara Bulgaria, sebelum diberikan amaran untuk meninggalkan ruang udara negara tersebut. Bagaimanapun, amaran itu tidak diketahui sebabnya tidak diendahkan. Kerajaan Bulgaria menghantar dua jet pejuang MIG-15 yang mengekori rapat pesawat tersebut, memberikan tembakan amaran agar mendarat.

Selepas amaran dan arahan seakan tidak dipedulikan malahan pemandunya dilihat cuba melarikan diri masuk ke Greece, Jeneral Velitchko Georgiev dari tentera Bulgaria mengarahkan pesawat itu ditembak - mengakibatkan pesawat penumpang itu jatuh terhempas di Petrich, Bulgaria mengorbankan kesemua nyawa yang ada di dalamnya. Kerajaan Bulgaria memohon maaf atas insiden itu selepas mendapat tekanan kuasa besar dunia, bersetuju untuk membayar pampasan pada semua waris mangsa.

3. Penerbangan Libya-Arab 114 (1973)

libyan arab airlines tembak jatuh

Tragedi menyayat hati ini melibatkan sebuah pesawat komersial milik syarikat penerbangan Libya, berlaku pada 21 Februari 1973. Penerbangan dengan kod LN114 iatu berlepas dari Tripoli untuk ke destinasi di Benghazi sebelum gagal dikesan, disebabkan oleh gangguan cuaca semasa terbang di bahagian utara ruang udara Mesir.

Kerajaan haram Zionis yang menguasai sebahagian daripada semenanjung Sinai ketika kejadian, mendapati pesawat Boeing 727 itu menceroboh masuk ke ruang udara 'milik mereka'. Hubungan radio yang berlaku melaporkan juruterbang kehilangan hala tuju disebabkan oleh masalah komunikasi. Dua pesawat penggempur Zionis F-4 Phantom, diarahkan untuk mengiringi pesawat itu agar arahan pendaratan yang dikatakan tidak diendahkan, berjaya dilakukan.

Berikutan kegagalan juruterbang menuruti arahan, tembakan dilakukan pesawat Zionis menyebabkan kerosakan berlaku pada peawat sebelum jatuh terhempas, 20 kilometer dalam kawasan Sinai. Zionis menyalahkan juruterbang pesawat kerana terbang di atas kawasan perlindungan milik kerajaan Zionis, mengorbankan 70 orang dan 13 lagi terselamat.

Salah seorang yang terkorban, adalah orang kanan kepada Muammar Ghaddafi, Saleh Massaud Buysir yang pernah menjawat jawatan menteri luar Libya dan individu utama berjaya menyatukan kerjasama di antara kerajaan UAE dan Sudan, yang bertelagah pada zaman tersebut. (NY Times)

4. Korean Air penerbangan 007 (1983)

korean air ditembak tentera

Penerbangan Korean Airlines bernombor 007 atau KAL007 menjadi antara kes tembakan pesawat oleh pihak tentera yang mengakibatkan jumlah kematian antara yang paling ramai. Berikutan perjalanannya yang agak panjang -  berlepas daripada lapangan terbang John F. Kennedy di New York dengan destinasinya di Seoul, Korea Selatan - KAL007 perlu melalui Anchorage, Alaska sebagai pusat perhentian sementara.

Membawa 246 penumpang dan 23 kru penerbangan, pesawat Boeing 747 yang ada pada ketika itu masih lagi menggunakan teknologi pembaca magnetik bagi menjadi pemandu arah. Selamat tiba di Anchorage sebelum meneruskan perjalanan, KAL007 mula mengalami masalah pemanduan sebelum tergelincir keluar daripada laluan asal - menerjah ke ruang udara Kesatuan Soviet, sejauh 322 km daripada jalan sebenar.

Dua pesawat pejuang Soviet mengekori KAL007. Berasa bimbang juruterbang kelihatan seperti mahu melarikan diri selepas menaikkan altitud pesawat, arahan tembak jatuh yang dikeluarkan diambil. Peluru berpandu itu kena pada sasaran namun KAL007 terus terbang selama 12 minit sebelum jatuh di perairan laut Jepun - membunuh kesemua 269 nyawa tidak bersalah yang ada dalam pesawat tepat pada 1 September 1983. (Korean Airlines flight shot down by Soviet)

5. Iran Air penerbangan 655 (1988)

nahas iran air 290 nyawa

Jika pada bulan Januari tahun 2020, kerajaan Iran dituduh sengaja menembak jatuh sebuah pesawat komersial Ukraine - pada tahun 1988, pesawat penerbangan komersial Iran Air pula dijatuhkan oleh tentera Amerika Syarikat dalam satu insiden yang sangat mengerikan.

Semuanya berlaku pada penghujung perang di antara Iran dan Iraq, menyebabkan tentera Amerika Syarikat yang ketika itu dikatakan bersekutu melindungi kepentingan mereka di Kuwait - meletakkan tentera mereka di beberapa kawasan tertentu, termasuklah sebuah kapal perang USS Vincennes yang mempunyai kebolehan melancarkan peluru berpandu jarak jauh.

Selepas beberapa pertempuran dengan tentera Iran menyebabkan USS Vincennes berada dalam keadaan berjaga-jaga, penerbangan IRA655 melakukan pelepasan setengah jam lebih lewat daripada jadual asalnya. Berikutan insiden pertempuran yang baru berlaku, juruterbang IRA655 gagal dimaklumkan tentang suasana tegang yang wujud sepanjang laluan pesawat tersebut.

Radar tentera Amerika berjaya mengesan sebuah pesawat tidak dikenali disalah anggap sebagai sebuah pesawat pejuang F-14 milik Iran. Bimbang dengan keselamatan kapal dan anak kapal mereka serta mengetahui kemampuan F-14 yang mampu melancarkan peluru berpandu dari jarak jauh, kapten kepada USS Vincennes mengambil keputusan menembak jatuh pesawat tidak dikenali itu.

290 orang kesemuanya; 274 penumpang dengan 16 anak kapal yang berada dalam penerbangan dari Tehran ke Dubai itu maut, 7 minit selepas berlepas akibat bedilan peluru berpandu daripada USS Vincennes.

Sekiranya anda nampak kerajaan Iran memainkan angka '290' dalam kempen perang mereka dengan Amerika Syarikat - kini anda tahu, angka itu merujuk kepada insiden ini sebenarnya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)