Oleh pada 26 May 2024 kategori

Apabila seseorang individu bergelar pengarah filem, mereka biasa terkenal sebagai seseorang yang lebih dekat atau gemar mengarah hanya dalam satu atau dua bentuk genre filem yang ada.

Shamsul Yusof sebagai contoh terkenal dengan filem seram dan aksi. Steven Spielberg pula dikenali sebagai seorang pengarah drama yang unggul. Sementara Michael Bay pula lebih dikenali sebagai pengarah filem aksi yang penuh dengan letupan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam ramai-ramai pengarah filem, ada satu kategori pengarah yang dijulang tetapi turut sama cuba mempelbagaikan karya mereka sehingga bukan saja melangkau genre, bahkan kadangkala sukar untuk kita percaya filem tersebut arahan mereka.

Berikut adalah lima pengarah unik yang turut mencuba format dan genre yang jauh lari daripada identiti mereka.

1. Robert Rodriguez (Spy Kids)

robert rodriguez spy kids

Pernahkah anda menonton filem aksi berstatus klasik seperti Desperado (1995) atau From Dusk Till Dawn (1996), yang kini menjadi antara ikutan setiap kali genre filem aksi disebut-sebut? Sentuhan tangan Robert Rodriguez yang gemar menggabungkan aksi, cinta dan seram ke dalam filemnya meletakkan nama beliau dalam kedudukan unik.

Bagaimanapun, selepas legasinya terpahat - Rodriguez memilih untuk memfokuskan kerjanya kepada penghasilan filem kanak-kanak, yang membawa kepada penerbitan siri filem 'Spy Kids' berdasarkan pengalaman pakciknya yang juga seorang pegawai perisik badan FBI.

'Spy Kids' yang membawakan tema kekeluargaan jauh lari daripada identiti Rodriguez tetapi nyata eksperimennya berjaya.

Membariskan nama pelakon aksi yang sering bekerja dengannya seperti Antonio Banderas dan Danny Trejo, filem pertama 'Spy Kids' mendapat sambutan luar biasa sehingga menjadi sebuah francais filem yang sangat menguntungkan, kini sudah mempunyai 5 filem keseluruhannya dalam francais ini.

2. George Miller (Babe dan Happy Feet)

george miller happy feet

Layak dikatakan legenda filem yang masih hidup, hasil tangan George Miller jika dibandingkan kuantitinya berbanding pengarah-pengarah lain adalah sangat kecil. Sepanjang karier panjang beliau, Miller hanya pernah mengarahkan 13 buah filem tetapi variasinya agak unik.

Seperti yang sudah diketahui, Miller adalah pencipta kepada siri filem Mad Max yang kini merupakan antara francais filem besar dunia perfileman Hollywood selain turut menjadi inspirasi kepada genre filem aksi lain.

Bagaimanapun Miller juga dikenali sebagai pengarah dua siri filem yang memang menyimpang jauh, iaitu siri filem 'Babe' yang mengisahkan tentang perjalanan hidup seekor anak khinzir yang berangan mahu menjadi jurupandu ladang dan juga siri animasi berasaskan haiwan penguin iaitu 'Happy Feet.'

Susah nak percaya individu yang mengarahkan filem 'Mad Max : Fury Road', salah sebuah filem aksi terbaik pernah dihasilkan juga turut sama terlibat dalam penghasilan filem muzikal tentang kumpulan penguin yang suka menari.

3. Peter Jackson (Lord of the Rings)

peter jackson the frighteners

Kita semua tahu nama Peter Jackson kini cukup sinonim dengan trilogi hebat 'Lord of the Rings' yang mengubah dan menggoncang industri filem dunia. Itulah yang tidak disangka-sangka, kerana jika kita menilai senarai karya terawal Jackson...sukar untuk kita membayangkan beliau mampu mengarah trilogi epik tersebut dengan begitu baik.

Jackson terkenal sebagai seorang pengarah yang aneh, kerana dia gemar menggabungkan elemen komedi dan seram ke dalam karya awalnya. Penghasilan filem seperti Braindead, Bad Taste dan Meet the Feeble kuat tema satiranya.

'Heavenly Creatures' merupakan filem pertama Jackson yang dianggap lari daripada kebiasaan, menjadi bukti Jackson mampu mengarah sebuah filem dengan tema yang lebih serius dan dramatik selain memperkenalkan Kate Winslet (Titanic) sebagai bintang filem.

Hasil kejayaan 'Heavenly Creatures' membolehkan Jackson bukan saja menerbitkan filem 'The Frighteners', sebuah filem komedi seram yang membariskan aktor legenda Michael J. Fox tetapi dia juga mula mendapat suntikan dana bagi membangunkan sebuah studio kesan khas yang kini kita kenali sebagai Weta Digital.

Walaupun majoriti filem awal Jackson gagal dipasaran, filemnya mempunyai kualiti yang unik serta berada dalam kelas yang tersendiri, diiktiraf sebagai filem berstatus kultus yang punya peminat tegar.

Hasil kerja keras Jackson melobi penerbit untuk menghasilkan siri berasaskan novel 'Lord of the Rings' akhirnya berjaya dan kini trilogi filem tersebut memaktubkan nama Jackson sebagai seorang pengarah besar yang harus disegani ramai.

4. Richard Linklater (School of Rock)

school of rock richard linklater jack black

Nama Richard Linklater sangat disegani sebagai seorang pengarah yang gemar menjadikan filemnya medan eksperimen yang sukar dikategorikan ke dalam satu genre.

Pada awalnya dikenali sebagai pengarah filem komedi menerusi judul 'Slackers' dan 'Dzed and Confused'. trilogi filem romantik 'Before Sunset' mempersembahkan sebuah kisah cinta sepanjang hayat ditunjangi Ethan Hawke dan Julie Delpy memahatkan nama Linklater sebagai seorang pembikin filem yang sangat unik dan minimalis.

Sementara itu filem 'Boyhood' pula merupakan sebuah projek filem panjang yang memaparkan hidup seorang kanak-kanak bernama Mason daripada usianya 6 tahun sehinggalah 18 tahun selain juga gemar menjadikan animasi sebagai medan eksperimen karya.

Bagaimanapun apabila dia ditugaskan menghasilkan filem 'School of Rock', sebuah filem muzikal drama yang agak lari daripada kebiasaan beliau - tugasan itu digalas baik.

'School of Rock' yang meletakkan Jack Black sebagai pelakon utama menjadi antara filem Linklater paling berjaya dari segi kutipan serta dikategorikan antara filem muzikal paling penting dalam industri filem Hollywood.

5. M. Night Shyamalan (The Last Airbender)

the last airbender m night shyamalan

Siapa yang tak tahu keunikan filem M. Night Shyamalan, mungkin duduk dalam gua! Shyamalan terkenal sebagai pengarah filem yang pasti memasukkan kejutan-kejutan luar jangka ke dalam filemnya, selepas kejayaan besar filem 'The Sixth Sense.'

Bagaimanapun Shyamalan mula rimas selepas setiap karyanya mula distereotaipkan pasti mempunyai 'twist ending' yang membuatkan dia mencari hala tuju baru. Sebagai percubaan, Shyamalan mendapat peluang untuk mengarahkan filem berasaskan siri animasi 'Avatar - The Last Airbender', sebuah siri animasi yang punyai jutatan peminat di seluruh dunia.

Dipendekkan cerita, filem itu memang gagal teruk. Sekiranya anda peminat siri animasi asalnya, pasti anda faham kenapa adaptasi Shyamalan sering dianggap tidak berjaya malahan hancur. Dikritik hebat peminat dan pengkritik profesional, Shyamalan akhirnya seakan menyedari kekuatan sebenar karyanya adalah filem-filem yang ada kejutan.

Dia kembali mengarah filem-filem yang diterima baik seperti The Visits, Old dan Knock at the Cabin yang berjaya memulihkan reputasi beliau sebagai pembikin filem; kesemuanya ada 'twist' dalam jalan ceritanya yang tersendiri serta sukar dijangka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)