Rasanya kita semua tahu, sebagai sebuah negara bekas jajahan British - negara kita merupakan salah sebuah negara yang menganggotai Kesatuan Komanwel atau 'Commonwealth.'

Meletakkan Ratu Elizabeth II sebagai ketua kepada Kesatuan ini, setakat artikel ini ditulis - Kesatuan Komanwel mempunyai 53 anggota majoritinya diletakkan sebagai negara berstatus di bawah Jajahan Komanwel seperti Australia, New Zealand, Jamaica, Bahamas dan Kanada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semenjak tertubuhnya kesatuan ini, beberapa negara mengambil keputusan untuk keluar daripada keahlian, seperti Gambia pada tahun 2013 dan yang terbaru Maldives pada tahun 2016.

Bagaimanapun, Gambia memilih untuk menyertai semula Komanwel pada tahun 2017.

Pernahkah anda tertanya, apakah faedah dan kesan kepada negara kita apabila bercakap tentang Kesatuan Komanwel, selain daripada layak menyertai Sukan Komanwel?

Mengapa Komanwel ditubuhkan?

persidangan ketua kerajaan komanwel

Kita tolak pandangan teori konspirasi dunia dalam artikel ini dan lihat apakah tujuan sebenar kesatuan Komanwel ditubuhkan.

Untuk memahami tujuan penubuhan Komanwel, kita perlu melihat fasa-fasa penjajahan British terlebih dahulu.

Berikutan gerakan penjajahan British yang berjaya menguasai banyak negara di seluruh dunia, kerajaan British sendiri mengakui mereka telah banyak melakukan kesilapan, gagal mengambil berat pandangan negara-negara koloni mereka yang bersaiz kecil.

Kegagalan ini menyebabkan banyak pemerintah di negara kecil merasakan kedudukan mereka kurang dihargai British dari segi kewangan, ekonomi dan juga bantuan ketenteraan.

Selepas beberapa siri perbincangan yang membawa kepada perubahan dasar, proses pertukaran British daripada Empayar British kepada sistem Komanwel British diperkenalkan.

Tujuannya adalah untuk pihak British dapat mewujudkan hubungan dua hala yang lebih baik melibatkan pemerintahan dengan pemimpin setempat, ibarat 'negara adik-beradik yang akrab'.

Hubungan ini diharap bukan saja berlaku daripada segi ekonomi, malahan negara-negara kecil juga akan diberikan peluang bersuara bagi menuntut keperluan masing-masing yang berbeza.

Dalam aspek ekonomi, British mahu meletakkan diri mereka sebagai orang tengah dalam membantu mempertingkatkan kerjasama di antara semua negara koloni mereka.

Perubahan paling besar yang dilakukan British seraya pengenalan dasar baru Komanwel adalah perletakan negara-negara koloni mereka setara sama rata dengan United Kingdom - membolehkan negara-negara kecil mula merasakan suara mereka semakin didengari.

Ini diharap akan memberikan mereka hak untuk menentukan hala tuju negara sendiri, tanpa campur tangan Britain.

Faedah kepada negara anggota

sukan komanwel 1998 ella

British berusaha keras menarik hati negara-negara bekas jajahan mereka untuk terus kekal bersama dalam Kesatuan Komanwel - walaupun negara itu bukan lagi koloni British.

Komanwel pada zaman sekarang sudah berkembang pelaksanaannya, mempunyai fokus bagi membantu negara-negara kecil dalam pembangunan sistem ekonomi yang saban hari semakin berubah.

Setiap negara anggota Komanwel layak untuk menerima khidmat nasihat daripada majlis penasihat Komanwel berkenaan langkah dan cadangan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap negara anggota terus stabil.

Antaranya adalah sokongan dalam melobi Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) untuk menyalurkan bantuan kepada negara anggota yang layak, berdasarkan kepada laporan yang disediakan jawatankuasa Komanwel.

malaysia komanwel commonwealth flag

Sepanjang tahun 2008 hingga 2015, bantuan dana kewangan kepada negara anggota Komanwel telah bertambah, seiring usaha membantu negara-negara ini melakukan projek-projek pembangunan yang diperlukan.

Selain itu, negara Komanwel juga mendapat sokongan dalam sebarang bentuk urusan diplomatik melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan Komanwel menyediakan pejabat delegasi khas di PBB bagi kemudahan negara anggota.

Dalam aspek ketenteraan, berikutan kedudukan United Kingdom yang agak besar dalam perikatan ketenteraan NATO serta kerjasama ketenteraan di Eropah, bantuan ketenteraan serta kerjasama latihan antara negara anggota menjadi lebih mudah diperoleh bagi negara anggota Komanwel.

Negara yang meninggalkan Komanwel

presiden maldives umum keluar komanwel

Kesatuan Komanwel tidak banyak menerima reaksi negatif serta jarang dibelenggu persepsi buruk masyarakat dunia.

Ini kerana kebanyakan negara anggota bersetuju bahawa keahlian Komanwel lebih banyak membawa faedah kepada ahlinya, tanpa ada kesan besar kepada urusan kerajaan tempatan.

Walaupun demikian, sehingga kini terdapat empat buah negara yang memilih untuk keluar melucutkan keahlian Komanwel secara penuh, dengan hanya satu saja negara memilih menyertainya semula.

Zimbabwe dikeluarkan pada tahun 2003 akibat penggantungan keahlian, Ireland lebih awal pada tahun 1949, Gambia pada tahun 2013 sebelum menyertainya semula pada tahun 2017 dan yang terakhir Maldives pada tahun 2016.

Kenapa ada negara keluar Komanwel?

anggota negara komanwel

Kajian berkenaan sebab utama kenapa setiap negara melepaskan keahlian Komanwel nyata berbeza-beza sebabnya.

Bagaimanapun, ada beberapa sebab yang boleh diambil sebagai penjelasan secara am, dapat disimpulkan daripada tindakan 3 negara itu keluar daripada kesatuan Komanwel.

Komanwel dilihat sebagai salah satu bentuk 'penjajahan baru' yang mampu menggugat kedaulatan sesebuah negara.

Persepsi yang terbentuk akibat daripada kewujudan Komanwel ini pasti akan menimbulkan satu persoalan aneh - mengapa sebuah negara yang pernah dijajah mahu mempunyai hubungan rasmi serta bergabung dengan negara yang pernah menjajahnya?

Bantuan diberikan dilihat sebagai satu usaha Komanwel untuk terus campur tangan, dalam urusan pentadbiran serta pembentukan dasar kerajaan sehingga mengganggu gugat negara tersebut.

Satu lagi sebab yang besar kemungkinan menyebabkan ada negara memilih untuk keluar daripada kesatuan, adalah penekanan mutlak yang diberikan Komanwel kepada sistem demokrasi.

Demokrasi menjadi salah satu definisi asas yang terkandung dalam piagam Komanwel, menegaskan bahawa setiap individu di dalam sistem sesebuah negara perlu diberikan peluang untuk membentuk atau memilih sistem masyarakat mereka.

Atas sebab itu, negara-negara anggota Komanwel dilihat diberikan tekanan untuk terus memastikan demokrasi serta prinsip di belakang sistem tersebut, dilaksanakan tanpa kompromi.

Dalam kes Gambia dan Maldives, kedua-dua negara dilihat gagal mengamalkan sistem demokrasi yang betul sehingga diberikan tekanan oleh pihak Komanwel.

Tekanan Komanwel ke atas Maldives selepas kejatuhan Presiden Mohammaed Nasheed dilihat sebagai satu langkah campur tangan British ke atas negara tersebut.

British melalui Kesatuan Komanwel mendesak agar pilihanraya dipercepatkan, sehingga mengakibatkan ahli politik Maldives merasakan desakan Komanwel agak keterlaluan.

Maldives akhirnya dilabelkan 'negatif' dalam usaha mengamalkan demokrasi, setelah Komanwel mengkritik mahkamah Maldives menangguhkan pilihanraya Presiden negara tersebut.

Atas insiddn tersebut, merajaan Maldives menyifatkan penyertaan mereka ke dalam kesatuan Komanwel sia-sia, selepas banyak usaha mereka sendiri hanya menaikkan status Komanwel di mata dunia.

Maldives juga melaporkan dana yang mereka dermakan kepada Kesatuan sehingga tahun 2017, lebih tinggi berbanding dengan dana bantuan yang mereka perolehi sebagai negara anggota Komanwel.

Kerajaan Maldives direkodkan menyebut tidak ada lagi faedah yang mereka boleh perolehi daripada Komanwel.

Maldives memutuskan untuk mewujudkan kerjasama mereka dengan negara Adia Barat dan China, yang dirasakan jauh lebih menguntungkan berbanding terus berada dalam Kesatuan Komanwel.

Rujukan

Leaving the Commonwealth: explanations from different viewpoints (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)