Oleh pada 11 Dec 2019 kategori

british india penjajahan kolonial

Wujud pendapat di kalangan pengkaji sejarah, khasnya mereka yang berpaksikan pro-Britain, bahawa penjajahan yang berlaku di negara India oleh British, sebenarnya tidak mendatangkan sebarang faedah monetari bagi British sendiri.

Sebaliknya semua beban pembangunan kewangan dan peruntukan lebih banyak menguntungkan negara dan masyarakat India, menjadi bukti bagaimana 'baiknya' Britain dalam melindungi kepentingan semua koloni mereka satu masa dulu. Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh Utsa Patnaik, seorang ahli ekonomi India yang diterbitkan pada tahun 2018 berjaya membongkar kebenaran yang cuba disembunyikan Britain selama ini.

Dalam tempoh hampir 2 abad penjajahan Britain yang bermula pada 1765 sehinggalah tahun 1938, kiraan yang dilakukan beliau mendapati Britain sebenarnya telah merompak lebih RM195 trilion, yang sepatutnya menjadi milik orang India. Begini kisahnya.

Perubahan cara transaksi urus niaga 1765

orang india menerima arahan british

Sebelum India dijajah oleh Britain, semua urusan perniagaan barangan seperti tekstil dan beras di antara orang India dan Britain berlaku melalui pertukaran matawang perak, yang menjadi sistem tukaran utama di seluruh dunia ketika itu. Bagaimanapun, selepas kedatangan Syarikat India Timur yang menguasai lokasi-lokasi strategik sehingga mampu memonopoli perdagangan di India, berlaku satu perubahan besar yang tidak disedari masyarakat tempatan.

Sistem cukai yang diperkenalkan pada tahun 1765 membolehkan orang Britain menggunakan lebih 1/3 daripada jumlah kutipan, untuk kegunaan urusan jual beli mereka dengan warga tempatan. Ini bermakna, orang India menanggung sepenuhnya segala kos jual beli melalui cukai dan Britain pula menggunakan duit orang India, untuk membeli barangan orang India.

Bagaimanapun, taktik ini tidak dapat dikenalpasti kerana Britain licik melantik pihak yang berbeza bagi mengutip cukai dan kumpulan lain untuk menguruskan semua urusan jual beli bagi pihak mereka.

Bagi menjana keuntungan, majoriti barangan yang telah 'dibeli dan dibayar' oleh Britain seterusnya dijual kepada negara luar dengan harga lebih tinggi, seterusnya membolehkan Britain mengaut keuntungan tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos dan modal perniagaan.

Sistem percukaian baru British-Raj 1858

wanita britain menetap di india

Sistem rompak dalam diam itu kekal digunakan seperti seadanya, sebelum sistem pemerintahan British-Raj yang diperkenalkan pada tahun 1858 memerlukan pindaan pada sistem asal. Oleh kerana pegangan Syarikat India Timur kepada monopoli berjaya dipecahkan, pengeluar barangan di India dibenarkan untuk mengeksport terus produk mereka ke negara luar.

Untuk memastikan kantung mereka tidak berkurangan, Britain memperkenalkan kepada masyarakat tempatan sistem matawang yang dinamakan sebagai 'council bills', sejenis matawang kertas keluaran Kerajaan Britain yang perlu dibeli dari London hanya dengan pertukaran emas atau perak sahaja. 'Council bills' dijadikan satu-satunya matawang yang diterima dalam transaksi melibatkan barangan keluaran India dengan pembeli di negara lain.

Jadi kebanyakan pembeli akan menukarkan emas dan perak kepada 'council bills', untuk tujuan pembayaran kepada pengusaha di India. Pengusaha pula perlu menukarkan 'council bills' kepada matawang tempatan iaitu rupee dengan pejabat-pejabat koloni kelolaan Britain ketika itu.

Bagi memastikan keuntungan maksima diperolehi, semua proses tukaran daripada matawang 'council bills' kepada 'rupee' dikenakan cukai, yang menyebabkan kadar tukaran tidak seimbang dan merugikan pengusaha di India sendiri. Sementara itu, London yang menjadi pusat tukaran emas dan perak mula memiliki pertambahan simpanan mendadak, hanya dengan bertindak sebagai orang tengah transaksi.

Sedangkan transaksi itu sepatutnya tidak perlu pun melalui Britain, memandangkan peniaga India telah pun mengeksport sendiri produk mereka secara terus.

Duit untung dilaburkan untuk memperkembangkan empayar

pegawai kerajaan britain

Sistem yang korup ini berterusan diamalkan Britain, sehingga menunjukkan berlakunya pembangunan ekonomi yang mantap di India - di atas kertas. Bagaimanapun, tidak berlaku penambah baikan dari segi ekonomi penduduk setempat kerana penduduk setempat tidak diberikan peluang yang adil untuk memperkembangkan perniagaan mereka, dek keuntungan mereka habis dirampas Britain secara senyap.

Walaupun penduduk India sebenarnya sudah berupaya membangunkan ekonomi mereka ke satu tahap yang jauh lebih baik, hasilnya tetap berada dalam tangan Britain terlebih dahulu dan tidak dikembalikan kepada pemilik asalnya. Jadi ke mana dana orang India ini digunakan?

Britain menggunakan kemampuan kewangan mereka yang kukuh, disokong oleh simpanan emas dan perak yang banyak serta masyarakat India yang langsung tidak menyedarinya untuk memulakan ekspedisi penjajahan yang baru, khasnya melibatkan negara China. Selain itu, projek-projek besar yang dilakukan di jajahan mereka melibatkan Eropah, Kanada dan Australia - kebanyakannya menggunakan hasil titik peluh orang India.

Daripada hasil itulah revolusi industri masyarakat Eropah berjaya dilakukan dengan jayanya di bawah empayar Britain, membolehkan mereka memperkembangkan teknologi yang ada ketika itu seterusnya menukar dunia agar mengangkat perindustrian sebagai model baru pembangunan negara.

Tangan nenek moyang kita yang memajukan Eropah

bagaimana british mencuri harta orang india

Utsa Patnaik mengenalpasti empat era kolonial dan menggunakan perkiraan berganda, mendapati besar kemungkinan jumlah kerugian yang ditanggung India akibat penjajahan Britain adalah sekitar RM195 trilion.

Buktinya jelas di depan mata - dalam tempoh hampir 200 tahun kolonialisasi India, tidak berlaku penambahan ketara dalam pendapatan purata penduduk di situ malahan berlaku penurunan mendadak pada penghujung abad ke 19. Purata usia penduduk India menurun teruk dalam tempoh 1870 hingga 1920, dengan jutaan penduduk mereka mati akibat penyakit wabak yang melanda.

Patnaik menyifatkan semua pandangan yang menyokong bahawa penjajahan India oleh Britain sebagai satu rahmat bagi India, adalah temberang kosong semata-mata. Bagi beliau, Britain tidak membangunkan India.

India yang membangunkan Britain dan jajahannya.

'Hutang' ini mungkin tidak akan dibayar langsung oleh Britain kerana kerajaan Britain pada hari ini masih enggan mengakui kesan buruk yang telah mereka lakukan pada negara India. Namun bagi Patnaik, buat permulaan - kesedaran dan keberanian dalam memperjelaskan realiti sebenar baik buruk kolonialisasi India oleh Britain, dari segi kewangan perlu didedahkan.

Retorik bahawa Britain menjajah dengan niat baik bagi membangunkan masyarakat luar perlu dihentikan sepenuhnya. Semua rekod dalam buku teks di India yang mengagungkan sumbangan Britain perlu dipadamkan, digantikan dengan kebenaran.

Apa kebenarannya?

Kebenarannya adalah Britain datang untuk menjajah dan merompak, bagi memenuhi keperluan mereka, agar Britain dapat bangun sebagai negara pendahulu dalam revolusi perindustrian. Tidak ada apa-apa yang murni dilakukan oleh Britain di India, selain daripada kerugian-kerugian besar pada orang ramai yang telah mereka merdekakan.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel How Britain stole $45 trillion from India and lied about it yang diterbitkan pada 19 Disember 2018.



Hakcipta iluminasi.com (2017)