Bagi peminat geografi, nama-nama negara merupakan salah satu elemen penting yang sering menarik minat kita.
Setiap negara mempunyai sejarah penamaannya yang tersendiri dan kenapa negara itu dinamakan sedemikian rupa. Faktor etnik, kaum, keturunan, lokasi dan sejarah menjadi antara elemen utama yang diberikan perhatian semasa pembentukan sesebuah nama negara.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda apakah nama negara paling pendek dan paling panjang dalam dunia? Selain itu tahukah anda nama sebenar beberapa negara yang bunyinya jauh berbeza dalam bahasa rasmi mereka, berbanding sebutan yang biasa kita dengar?
Apakah nama negara yang terpendek?
Untuk membezakan nama negara, kita perlu tahu terdapat dua jenis nama negara. Yang pertama adalah nama yang biasa kita sebutkan seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan sebagainya. Yang kedua adalah nama formal.
Nama formal merujuk kepada nama penuh seperti Persekutuan Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura; sekiranya kita mengambil jiran-jiran berdekatan kita.
Banyak negara mempunyai nama panggilan yang pendek hanya menggunakan empat huruf seperti Chad, Cuba, Fiji, Iran, Iraq, Mali, Oman, Peru, Togo dan banyak lagi. Namun hanya satu negara saja secara rasmi membentuk namanya dengan 3 huruf - iaitu Laos.
Nama 'Laos' yang sebenar adalah 'Lao' menurut bahasa mereka, menjadikan nama Lao sebenarnya yang paling pendek antara semua negara. Nama formalnya pula adalah 'Sathalanalat Paxathipatai Paxaxôn Lao' di mana jelas sekali istilah 'Lao' digunakan.
'Laos' adalah istilah yang diperkenalkan penjajah Perancis berdasarkan kepada cara penulisan mereka dan hanya dalam sebutan Bahasa Inggeris - bunyi 's' itu disebutkan. Sebutan rakyat tempatan asal masih berbunyi 'Lao' tanpa s.
Sekiranya kita benar-benar mahu mencari yang terpendek tanpa mengira aspek bahasa, nama Jepun dan Korea Selatan merupakan nama yang paling pendek kerana nama rasmi mereka iaitu ditulis hanya dengan dua huruf 日本 dan 한국 yang membawa maksud 'Ni-hon' dan 'Han-guk.'
Bagi nama formal paling pendek pula beberapa negara langsung tidak menggunakan sebarang gelaran seperti 'Republik', 'Federasi', 'Kingdom' dan sebagainya.
Negara seperti 'Barbados', 'Grenada' dan 'Romania' merupakan antara nama penuh negara dunia yang ringkas, dengan 'Tuvalu' dan 'Belize' merupakan dua nama formal bersifat rasmi paling pendek dalam rekod setakat ini.
Apakah nama negara terpanjang yang ada?
Sekiranya bahasa Inggeris dan huruf rumi dijadikan ukuran, nama formal United Kingdom merupakan nama paling panjang di antara semua nama negara iaitu 'The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland'; menggunakan 56 huruf!
Selain itu, 'Independent and Sovereign Republic of Kiribati' dan 'Democratic Republic of Sao Tome and Principe' turut sama diiktiraf antara yang paling panjang.
Namun sekiranya kita menukarkan nama formal negara Libya kepada tulisan rumi iaitu Al Jumahiriyah al Arabiyah al Libiyah ash Shabiyah al Ishtirakiyah al Uzma, kita memerlukan 63 huruf untuk menulisnya.
Nasib baiklah nama panggilannya ringkas saja iaitu Libya.
Sementara itu, bagi nama panggilan negara yang paling panjang, nama negara Liechtenstein yang menggunakan 13 huruf merupakan nama terpanjang setakat ini.
Selepas Liechtenstein, Turkmenistan menggunakan 12 huruf untuk ditulis dan Afghanistan, Switzerland dan Netherlands merupakan negara yang namanya ditulis dengan 11 buah huruf - sekiranya bahasa Inggeris digunakan sebagai perbandingan.
Apakah nama rasmi pekan atau bandar paling pendek dan panjang?
Sekiranya kita mengambil kira negeri, bandar atau tempat yang mempunyai nama paling pendek, terdapat banyak tempat dalam dunia ini yang dinamakan hanya dengan satu atau dua huruf sahaja.
Beberapa buah kawasan di Norway, nama rasminya hanyalah 'A' kerana simbol tersebut membawa makna sungai. 'I' adalah sebuah pekan di wilayah Fujian, China. 'U' adalah sebuah tempat di Panama sementara 'Y' pula adalah sebuah pekan terletak di utara Perancis.
Di manakah terletaknya bandar yang mempunyai nama rasmi paling panjang? Menariknya, bandar itu terletak tidak jauh dari kita iaitu bandar Bangkok.
Nama sebenar secara formal Bangkok bukanlah sekadar 'Bangkok' sebaliknya adalah
Krungthepmahanakhon Amonrattanakosin Mahintharayutthaya Mahadilokphop Noppharatratchathaniburirom Udomratchaniwetmahasathan Amonphimanawatansathit Sakkathattiyawitsanukamprasit
...yang membawa makna : 'The city of angels, the great city, the residence of the Emerald Buddha, the impregnable city of God Indra, the grand capital of the world endowed with nine precious gems, the happy city, abounding in an enormous Royal Palace that resembles the heavenly abode where reigns the reincarnated god, a city given by Indra and built by Vishnukarn.'
Dalam bahasa Melayunya pula; 'Bandar dewa, bandar yang tidak mati, bandar yang menempatkan Buddha zamrud, bandar yang dilindungi Indra, ibu kota dunia dihiasi sembilan permata, mengandungi takhta raja, istana negara yang bergemerlapan bak syurga menjadi kawasan di mana Dewa dilahirkan semula, hasil anugerah Indra dan binaan Vishnukarn.'
Walaupun demikian, orang Thailand lebih selesa memanggil Bangkok sebagai Thep Maka Nakhon atau Krung Thep. Fuuhhh. Lega.