Jepun mempunyai banyak budaya yang unik dan hanya ada di negara mereka. Namun ada satu budaya mereka yang sangat jarang diceritakan berikutan pantang larang masyarakat Jepun sendiri yang seakan enggan membicarakan tentangnya.
Budaya 'johatsu' membawa makna 'individu yang hilang', satu tradisi masyarakat Jepun yang sangat kerap berlaku, menjadi pilihan ramai individu-individu mahu hilang daripada mata masyarakat. Bagaimanapun, mereka bukanlah dibunuh atau diculik pihak-pihak jahat.
BESARKAN TEKS A- A+
Mereka sendiri memilih untuk menghilangkan diri. Ini adalah kisah budaya 'johatsu' di Jepun, yang telah 'mengorbankan' lebih 100,000 ribu individu setiap tahun.
Rasa malu dengan masyarakat dan keluarga
Budaya johatsu bukanlah benda baru, namun hanya mula popular selepas penyiasatan oleh penulisbernama Lena Mauger dan Stephane Remaely yang bertindak sebagai jurugambar, membuka perbincangan lebih besar tentang budaya ini seterusnya memperkenalkan isu tersembunyit ini kepada masyarakat dunia.
Dalam siasatanseorangmereka, seorang lelaki bernama Norihiro yang kini sudahpun berusia lebih 50 tahun terpaksa menghilangkan dirinya selepas dia kehilangan pekerjaan sebagai jurutera. Norihiro cuba meneruskan hidup seperti biasa, tidak memberitahu keluarganya dia kini menganggur dan pura-pura tetap pergi bekerja seperti biasa sebelum duduk di tepi jalan, tanpa buat apa-apa.
Selama lebih seminggu Norihiro cuba mengekalkan jaduah hariannya sepetti sebelum di buang kerja, namun duduk saja selama berbelas jam bukanlah sesuatu yang mudah.
Malu berstatus penganggur - Norihiro menghilangkan diri ke salah sebuah pekan bernama Sanya yang terkenal sebagai 'rumah' kepada kumpulan halimunan ini; meninggalkan segala-galanya yang dia telah ada untuk memulakan hidup baru dengan identiti baru.
Sanya dan Kamagasaki
Masyarakat Jepun tahu di negara mereka, destinasi yang menjadi pilihan golongan 'johatsu' ada dua, bandar Sanya yang terletak di Tokyo dan Kamagasaki yang terletak di Osaka.
Dua bandar tersebut mempunyai komuniti yang bergantung dengan sistem kawalan Yakuza; membolehkan sesiapa saja ke situ mencari kerja tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Salah seorang penduduk Sanya yang ditemuramah adalah seorang lelaki bernama Yuichi yang dulunya mempunyai identiti berbeza. Dia menjadi seorang johatsu sejak pertengahan tahun 90-an berikutan tekanan hidup yang dialami.
Berikutan beban kewangan menjaga ibunya yang uzur dengan pekerjaan hanya sebagai seorang buruh kasar, Yuichi menghadapi kesukaran mendapatkan kediaman, makanan dan bantuan ubat-ubatan. Diisytiharkan bankrap menyebabkan hidupnya semakin tertekan. Merasa kecewa dengan dirinya kerana gagal menyediakan hidup yang lebih baik untuk ibunya sendiri, Yuichi nekad mahu menghilangkan diri.
Dia membawa ibunya ke sebuah hotel murah dan menempatkan dia di situ, mengharapkan ada pihak menyedari keadaan ibunya. Yuichi melarikan diri terus ke Sanya, bagi memulakan hidup baru di situ.
Manusia yang hilang
Majoriti mereka yang mengambil jalan menjadi johatsu adalah individu-individu yang kehilangan pekerjaan, lari dari hutang atau gagal dalam perkahwinan.
Dilihat sebagai salah satu cara masyarakat Jepun mendepani kepercayaan mereka yang sangat takut dengan kegagalan sehingga ada yang sanggup membunuh diri - menjadi 'johatsu' merupakan jalan lebih mudah berbanding memutuskan nyawa sendiri apabila gagal dalam hidup.
Kajian yang diterbitkan Mauger dan Remael dikritik kerajaan Jepun kerana didakwa mensensasikan sesuatu yang sebenarnya kecil serta tidak bertepatan dengan statistik orang hilang di Jepun.
Bagi tahun 2015, sebanyak 82,000 kes orang hilang dilaporkan dengan hanya 2,000 sahaja tidak ditemui selepas laporan dibuat. Bagaimanapun, NGO The Missing Persons Search Support Association atau MPS menafikan ketelusan laporan rasmi, dengan mendakwa kajian Mauger dan Remael lebih mirip realiti sebenar yang tidak mahu dilaporkan.
Hidup masyarakat Jepun terkenal dengan budaya sanggup meletakkan kepentingan ke atas kerja sebagai fokus nombor satu, menyebabkan mereka mempunyai jadual kerja yang ketat dan panjang selain waktu percutian yang singkat. Ini menjadi punca utama ramai yang kehilangan kerja memilih jalan 'johatsu' berikutan rasa malu tidak dapat lagi menyumbang sesuatu yang bermakna.
Persoalan yang kerap ditanyakan berkenaan isu johatsu ini adalah bagaimana caranyacaranya se menghilangkan dirinya di Jepun? Di sinilah yonige-ya memainkan peranan.
Peranan Yonige-ya
Yonige-ya adalah gelaran yang diberikan kepada kumpulan individu yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan bagi individu yang mahu menghilangkan diri. Mereka kebiasaannya beroperasi secara sulit, dengan menawarkan perkhidmatan tertentu mengikut keperluan pelanggan.
Sebagai contoh, seseorang mahu menghilangkan diri - mereka akan memulakan kerja mereka pada waktu malam. Bergantung kepada permintaan pelanggan sama ada mahu membawa bersama barangan mereka, harga yang perlu dibayar akan meningkat. Sekiranya pelanggan mahu membawa bersama anak mereka, itu juga memerlukan kos tambahan.
Bayaran yang biasa dikenakan adalah di antara RM1800 untuk perkhidmatan asas seorang johatsu dan boleh juga meningkat kepada RM15,000 bagi kes-kes yang penuh komplikasi seperti johatsu yang ingin lari dari hutang, misalnya. Bagaimanapun, majoriti Yonige-ya yang ditemui, tidak akan menawarkan perkhidmatan mereka seandainya seorang itu mahu menjadi johatsu disebabkan ingin lari dari jenayah yang telah dilakukan.
Menurut beberapa yonige-ya, majoriti kes johatsu adalah disebabkan kes keganasan rumah tangga di mana seorang isteri ingin melarikan dirinya daripada seksaan suami. Selain itu johatsu juga datang daripada mereka yang ingin lari dari hutang, kumpulan ajaran sesat serta majikan yang zalim.
Bagaimanapun, ada juga pelanggan yang datang secara sendirian tanpa mempunyai sebab apa-apa untuk menjadi seorang johatsu. Mereka memilih untuk menjadi johatsu untuk memulakan hidup baru kerana mahu mencuba suasana yang berbeza.
Rujukan