Berdasarkan faktor sejarah dan peperangan, wujud beberapa kawasan unik yang hakmiliknya diserah kepada kuasa asing.

Selain itu, kewujudan pelbagai komplikasi seperti perjanjian dan tukaran hak milik yang berjaya dicapai, turut membentuk situasi di mana sesebuah negeri atau wilayah terpisah - mengakibatkan sesebuah kawasan terkeluar daripada negara asalnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Negeri-negeri yang terpisah ini digelarkan sebagai 'exclave' atau eksklaf, boleh wujud dalam beberapa situasi, sama ada eksklaf penuh atau ekslaf separa.

Tahukah anda tentang kawasan-kawasan eksklaf penuh, yang hanya boleh dijejaki penduduk asal - hanya selepas mereka merentasi negara lain sebelumnya?

1. Republik Autonomi Nakchivan, Azerbaijan

nakhchivan azerbaijan armenia

Nakchivan diletakkan di bawah kerajaan Azerbaijan, namun berkongsi sempadan dengan 3 negara berbeza iaitu Armenia, Iran dan Turki tanpa bersambung dengan negara asalnya sendiri.

Wilayah itu terpisah disebabkan perebutan yang berlaku antara Armenia dan Azerbaijan, sebelum Kesatuan Soviet (USSR) menjajah kedua-dua negara.

Mahu menyelesaikan pertelagahan itu, USSR menyerahkan Nakchivan kepada Azerbaijan, sementara Armenia pula menerima Zanzegur pada tahun 1920.

Pembahagian itu kekal walaupun berlaku kejatuhan USSR pada tahun 1991 dan Nakchivan terus terpisah daripada negaranya, sehingga kini.

2. Baarle-Nassau, Belgium-Belanda

baarle nassau baarle hertog nl

Salah satu titik sempadan paling aneh di dunia, pekan Baarle-Nassau yang terletak di selatan Belanda merupakan pekan yang terbahagi kepada beberapa eksklaf yang berbeza antara Belgium dan Belanda.

Baarle-Nassau terletak dalam Belanda, namun didalamnya eksklaf milik Belgium yang dikenali sebagai Baarle-Hertog.

Apa yang lucu, di dalam Baarle-Hertog pula wujud beberapa eksklaf kecil milik Belanda pula.

sempadan baarle nassau belanda belgium 176

Semuanya berpunca daripada perjanjian di antara pemerintah Breda dengan Brabant pada abad ke 16, yang membahagi dan menukarkan hak milik kawasan di dalamnya antara mereka - mengakibatkan keadaan itu kekal sehingga sekarang.

3. Llivia, Sepanyol

llivia perancis sepanyol

Sebuah pekan kecil yang tenang, Llivia terletak di Perancis dengan jarak 5 kilometer daripada negaranya Sepanyol.

Situasi itu kekal sebegitu sudah lebih 350 tahun lamanya. Kenapa Llivia kekal milik Sepanyol walaupun berada dalam kawasan Perancis?

Selepas perang antara Sepanyol dan Perancis yang dikenali dengan nama Perang 30 Tahun, Sepanyol yang tewas bersetuju untuk menandatangani perjanjian antara kedua negara, menyerahkan 33 kampung mereka kepada Perancis.

Atas statusnya ketika itu sebagai sebuah pekan, Llivia tidak tertakluk kepada perjanjian tersebut menyebabkan pekan tersebut tidak disenaraikan dalam penyerahan menyebabkan Llivia dikelilingi tanah yang jadi milik Perancis, mengasingkannya daripada Sepanyol hingga kini.

4. Campione d'Italia, Itali

campione d italia itali switzerland

Sebuah kawasan kecil hanya seluas 2.68 km persegi, Campione d'Italia terletak dalam Switzerland tetapi tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan Itali.

Perjanjian pada tahun 1798 bagi membentuk persekutuan Swiss memberikan pilihan kepada penduduk Campione untuk masuk ke dalam persekutuan baru itu atau kekal dengan kerajaan sedia ada ketika itu iaitu kerajaan Lombardy.

Mereka memilih untuk kekal dengan Lombardy sebelum Lombardy diserah kepada kerajaan Sardinia, yang seterusnya mengekalkan Campione di bawah Itali dalam zaman moden semasa usaha penyatuan Itali dimulakan.

5. Büsingen am Hochrhein, Jerman

busingen jerman switzerland 763

Eksklaf kedua yang ada di Switzerland, Büsingen am Hochrhein merupakan sebuah kawasan seluas 7.62 km persegi milik kerajaan Jerman.

Perang antara Austria dan Swiss pada abad ke 18 mengakibatkan Austria menjual kawasan tersebut kepada pemerintahan kanton di Zurich, memindahkan hak milikan Busingen sebelum Empayar Jerman mengisytiharkan Busingen sebagai jajahan mereka pada tahun 1870.

Dalam referendum tahun 1919, 96% penduduk Busingen bersetuju untuk menyertai Switzerland namun disebabkan ketiadaan tanah ganti bagi membolehkan pertukaran berlaku antara Switzerlang dan Jerman, Busingen terus kekal di bawah penguasaan kerajaan Jerman.

Sehingga kini di kalangan penduduk Busingen dilaporkan masih berharap mereka dapat menyertai Switzerland secara rasmi.

Nota - kami tidak menyenaraikan Brunei dan Temburong, kerana rakyat Brunei boleh berulang alik antara dua kawasan itu, tanpa melalui negara kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)