Setiap hari pasti ada rungutan tentang capaian internet di negara kita, yang kerap kali dikatakan perlahan serta tidak mampu menyaingi negara-negara Asia Tenggara lain.

Tidak dapat dinafikan kelajuan internet kita mungkin kurang menyerlah berbanding kelajuan terkini, tetapi daripada segi sistem, undang-undang dan infrastruktur - negara kita boleh berbangga dengan apa yang sudah kita kecapi ketika ini. Setiap hari kita masih boleh mengakses internet tanpa gangguan, melainkan anda cuba mengakses laman-laman web yang benar-benar perlu disekat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana agaknya kisah tentang capaian internet di negara yang benar-benar berusaha menyekat rakyat mereka, daripada melayari apa yang mereka mahukan? Berikut adalah lima negara dalam dunia paling ketat mengawal internet dan bagaimana kesannya pada masyarakat mereka.

China

china great firewall

Sistem regulasi serta kawalan jaringan internet yang digunakan oleh kerajaan China ke atas rakyat mereka, merupakan sistem sekuriti paling maju yang ada setakat ini untuk tujuan itu. Sistem tapisan utama mereka dikenali sebagai 'The Great Firewall of China' atau GFW diambil sempena nama Tembok Besar China yang ada.

Sistem itu dibangunkan dengan menggabungkan undang-undang yang menghalalkan kawalan kerajaan ke atas semua akses keluar masuk capaian internet dibantu oleh teknologi moden yang dibangunkan. Tujuan utamanya adalah untuk menghalang pengguna di China mengakses sesetengah laman web yang hendak dihalang seperti majoriti laman web media sosial termasuklah enjin carian Google sendiri, sebelum dilonggarkan kawalannya.

Digunakan sebagai salah satu metode mengawal unsur-unsur buruk 'mengganggu' pemikiran rakyat China, sistem GFW juga dikatakan sebagai salah satu usaha dalam melindungi rahsia-rahsia syarikat teknologi rakyat China daripada dicerobohi informasi dalamannya - agar kerjasama syarikat-syarikat ini dengan kerajaan China dalam pembangunan teknologi-teknologi baru dapat terus dipelihara.

Walaupun dilihat buruk daripada perspektif masyarakat luar, sekatan ini sebenarnya banyak membantu usahawan China membangunkan sendiri alternatif sebagai ganti laman web yang disekat - seterusnya menjadikan aplikasi milik orang tempatan sebagai pilihan mutlak warga China keseluruhannya, tanpa perlu bergantung dengan sistem yang dibangunkan orang luar.

Ethiopia

ethiopia sekatan internet

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Ethiopia dikatakan semakin gemar menggunakan kuasa mereka dalam menyekat bukan saja capaian internet, malahan rangkaian telekomunikasi - bagi menghalang penyebaran bahan yang membawa sentimen anti kerajaan.

Pada bulan Jun 2016, atas beberapa tunjuk perasaan yang berlaku, kerajaan Ethiopia didapati dengan sengaja mengganggu akses internet ke atas laman media sosial serta aplikasi mesej.

Tindakan itu dikatakan agak melampau kerana negara itu sendiri tidak memiliki jumlah pengguna internet yang besar, dengan hanya 15 peratus penduduk negara itu mempunyai capaian internet. Angka itu dijangkakan tidak akan berkembang pesat disebabkan oleh sekatan kerajaan ke atas pasaran penyedia internet (ISP), memilih untuk menghadkan jumlah ISP yang ada agar senang dipantau dan dilesenkan.

Oleh kerana itulah tidak besar jumlah penduduk Ethiopia memiliki telefon pintar, dengan majoriti antara mereka masih bergantung kepada capaian internet melalui kafe-kafe siber yang ada. Sehingga kini kerajaan Ethiopia masih mengamalkan kaedah serupa bagi mengekalkan kuasa, menyekat kandungan yang sensitif dan mematikan capaian internet setiap kali berlakunya insiden anti kerajaan.

Iran

iran internet sekatan kerajaan

Berikutan ketatnya kerajaan Iran melindungi bagaimana mereka menyekat capaian internet dalam usaha melindungi rakyat mereka daripada anasir luar, tidak banyak yang kita ketahui pada awalnya tentang langkah negara itu. Bagaimanapun, beberapa orang warga Iran yang tidak diketahui bekerjasama dengan penyelidik daripada University of Michigan berjaya mencerahkan apa yang kita tidak ketahui.

Kerajaan Iran mewujudkan satu sistem tapisan berpusat yang menyelia semua akses keluar masuk capaian internet negara itu, dengan keutamaan sekatan diberikan kepada laman pornografi dan banyak laman web dalam senarai 500 laman web paling popular dunia.

Pada tahun 2018, aplikasi Telegram yang menjadi pilihan 40 juta rakyat Iran disekat atas alasan keselamatan negara kerana menjadi medan penyebaran sentimen anti kerajaan yang aktif. Sudah beberapa kali tangkapan melibatkan pengendali-pengendali bilik Telegram dilakukan, dengan kes terbaru melibatkan seorang pengendali Telegram berpengaruh bernama Ruhollah Zam, seorang pelarian di Perancis yang didakwa bersubahat dengan kerajaan Perancis, Israel dan Amerika Syarikat.

Syria

syria sekatan kawalan internet

Kisah berkenaan apa yang berlaku kepada aktivis Bassel Khartabil yang mati dibunuh semasa dalam tahanan kerajaan Syria, dikatakan akan terus menghantui negara itu. Seorang aktivis kebebasan internet yang layak dikatakan pakar ICT, Bassel dikatakan bertanggungjawab memulakan tuntutan agar sekatan ke atas capaian internet dibuka bagi rakyat Syria.

Gerakan aktivis yang didokong beliau layak dikatakan berjaya mengubah keterbukaan kerajaan Syria dalam meningkatkan lagi infrastruktur internet di negara itu, dengan banyak laman web luar seperti Wikipedia dan Wordpress mula dibenarkan aksesnya sekitar 2017. Jumlah pengguna internet Syria bertambah tahun ke tahun sehingga mencecah 32% daripada keseluruhan populasi, setakat tahun 2018.

Walaupun semakin baik, sekatan ke atas internet di Syria masih belum layak dikatakan bebas. Kekangan untuk mengakses laman web yang berkait dengan politik serta hal ehwal antarabangsa masih belum dibuka sepenuhnya - dengan masyarakat Syria perlu bergantung kepada laman berita tempatan atau laman berita negara Arab lain yang dibenarkan untuk diakses dan dibaca.

Cuba

penggunaan wifi awam di cuba

Anda mahu tahu sesuatu yang memeranjatkan? Pada hujung tahun lepas sekitar bulan Disember 2017, rakyat Cuba baru mula boleh menikmati akses internet peribadi dengan menggunakan rangkaian 3G.

Kemudiannya, pada tarikh 22 Julai 2019 kerajaan Cuba menarik balik larangan mengimport masuk peranti 'router internet', membolehkan orang ramai mula mendaftar peranti mereka dengan satu-satunya ISP di negara mereka iaitu ETECSA - membolehkan rakyat Cuba mengakses internet di rumah.

Sebelum larangan itu ditarik, majoriti rakyat Cuba perlu hadir ke kawasan-kawasan 'hotspot' kelolaan ETECSA bagi mengakses internet atau kafe siber yang disediakan kerajaan. Adalah satu pemandangan biasa di Cuba apabila puluhan warga mereka berkumpul di satu tempat, sambil setiap orang menghadap telefon masing-masing.

Akses internet mereka dikawal sepenuhnya kerajaan, dengan ETECSA setakat Mac 2019 perlu membayar yuran khas bagi melakukan penyambungan kepada laman-laman web gergasi seperti Google dan Youtube - disebabkan oleh ketiadaan infrastruktur yang lengkap, memerlukan sambungan dilakukan oleh pihak ketiga ke rangkaian antarabangsa.

Ini menyebabkan kos internet di sana sangat tinggi - sekitar RM4.20 satu jam tidak dibantu dengan kadar purata gaji yang rendah sebulan bagi 61% penduduk negara itu, iaitu RM103.59. Ini bermakna semasa artikel ini ditulis, penduduk Cuba masih membelanjakan 4 ke 10% pendapatan mereka sebulan - hanya untuk mengakses internet selama satu jam!




Hakcipta iluminasi.com (2017)