sistem kolonial yang masih berjalan

Walaupun banyak pihak percaya zaman kolonialisme oleh orang Eropah telah berakhir semasa penyerahan semula Hong Kong kepada kerajaan China, realitinya masih banyak wilayah di seluruh dunia yang kekal bergantung kepada kuasa kolonial atas bermacam faktor.

Bekas kuasa penjajah yang kini tidak lagi aktif menjajah secara fizikal tetap mempunyai hubungkait dengan negara atau wilayah bekas jajahan mereka; sehinggakan ada negara yang tetap memilih untuk terus kekal sebagai sebuah koloni - tanpa mahu dimerdekakan.

Tahukah anda dalam era moden zaman sekarang, kuasa kolonial masih lagi aktif cuma bentuknya agak berbeza melibatkan lebih 60 buah negara atau wilayah berbeza?

Apa itu negara yang berkebergantungan?

jajahan perancis di negara luar

Negara berkebergantungan atau 'dependant territory' merupakan istilah zaman moden yang digunakan bagi mewakili wilayah atau negara yang tidak mempunyai kemerdekaan penuh daripada penjajahnya yakni bukanlah sebuah badan bebas, tetapi mempunyai kawalan ke atas semua isu domestik.

Sebuah negara berkebergantungan walaupun tidak mempunyai kuasa kedaulatan penuh, masih mempunyai kuasa autonomi yang besar dalam mentadbir sendiri.

Sehingga kini, hanya ada 11 negara yang meliputi kuasa besar dan bekas-bekas negara yang pernah menakluki kawasan lain yang masih mengamalkan sistem ini.

Faktor utama yang menyebabkan sesetengah wilayah atau kawasan untuk terus memilih kekal berada di bawah taklukan 'tidak rasmi' ini, adalah disebabkan tekanan ekonomi yang berlaku ke atas mereka.

Kebanyakan negara berkebergantungan merupakan bekas-bekas jajahan yang sumber ekonomi mereka terhad kepada penghasilan barangan mentah dan asas hasil sistem era kolonial, menyebabkan mereka kekurangan industri dan jumlah pekerja yang mampan bagi membuka ekonomi lebih besar.

Hasil kekangan ini serta faktor geografi yang menyukarkan eksport import, kebanyakan negara ini memilih untuk membenarkan kuasa besar mentadbir mereka secara pusat bagi membolehkan beberapa faedah lain diperolehi.

Kemudahan untuk melakukan pinjaman dengan Bank Dunia boleh dijamin negara pemerintah utama, selain faktor keselamatan dan ketenteraan juga menjadi satu insentif besar untuk kekal sebagai 'koloni' tidak rasmi.

Negara mana masih mempunyai koloni?

sistem kolonialisme zaman moden

3 kuasa besar dunia terus mengamalkan sistem kolonial zaman moden ini dalam skala besar.

Negara Perancis merupakan antara negara yang mempunyai negara berkebergatungan terbanyak, dibahagikan kesemua wilayah tersebut kepada 3 kategori berbeza bergantung kepada tahap kawalan Perancis ke atas wilayah tersebut.

Antara wilayah masih di bawah koloni Perancis adalah French Guiana, Guadelopue, Martinique, Mayotte, Reunion, French Polynesia, Saint Barthelemy, Saint Martin, Saint Pierre and Miquelon, Wallis dan Futuna, New Caledonia, Pulau Clipperton dan French Southern and Antartic Lands.

Bekas kuasa penjajahan terbesar dunia iaitu United Kingdom pula masih menyelia dan mengawal 16 negara berkebergantungan di bawah mereka di bahagikan kepada dua kategori berbeza; 3 wilayah berkebergantungan berautonomi penuh serta 13 lagi kawasan dikategorikan sebagai koloni luar kawasan.

3 wilayah berkebergantungan utama UK adalah Bailiwick of Guernsey dan Bailiwick of Jersey serta Isle of Man. Sementara itu 13 lagi negara berkebergantungan di bawah naungan pemerintahan UK adalah Anguilla, Bermuda, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Kepulauan Falklands, Gibraltar, Montserrat, Kepulauan Pitcairn, Saint Helena dan Kepulauan Turks dan Caicos.

Kuasa terakhir dunia yang mengamalkan sistem ini secara besar adalah Amerika Syarikat di mana mereka masih mempunyai kuasa pentadbiran di negara seperti Guam, Kepulauan Northern Mariana, Puerto Rico, Kepulauan US Virgin dan American Samoa.

Apakah negara lain yang turut mempunyai koloni?

negara yang masih mengamalkan koloni 258

Beberapa negara lain turut sama mempunyai wilayah atau kawasan berkebergantungannya sendiri.

New Zealand mempunyai dua kawasan wilayah iaitu Kepulauan Cook dan Niue. Sementara sebuah lagi kawasan kepulauan iaitu Tokelau pula telah dua kali melalui proses undian kemerdekaan, di mana rakyat Tokelau memilih untuk kekal bersama New Zealand.

Australia pula mempunyai enam kawasan berkebergantungan, iaitu Kepulauan Christmas, Kepulauan Cocos, Kepulauan Norfolk, Ashmore, Kepulauan Coral Sea dan Kepulauan Hear dan McDonald.

Ironinya - New Zealand dan Australia sehingga kini masih tidak membuang identiti kolonial United Kingdom dari bendera mereka!

Denmark mempunyai Kepulauan Faroe dan Greenland dibawah naungan mereka, Finland mempunyai Aland, Belanda mempunyai Aruba, Curacao dan Sint Maarten sementara yang terakhir Norway mempunyai Svalbard dan Jan Mayen.

Negara China pula mengamalkan pendekatan berbeza dalam menangani isu ini, mengamalkan sistem 'satu negara dua sistem' bagi membolehkan persetujuan autonomi dipersetujui untuk satu tempoh tertentu di antara mereka dengan Hong Kong dan Macau - sebelum kerajaan China kembali menguasai kembali pentadbiran sepenuhnya.

Begitulah secara ringkasnya bentuk-bentuk jajahan yang masih berlaku dalam zaman sekarang melibatkan kuasa-kuasa luar, menggunakan kesan dan pengaruh yang telah terbentuk dalam mengekalkan dominasi sama ada dalam bentuk mutlak atau tidak mutlak terhadap sesuatu komuniti.



Hakcipta iluminasi.com (2017)