Membikin sesebuah filem merupakan satu proses yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga yang banyak. Proses yang memakan masa berhari, berbulan dan mungkin juga bertahun-tahun lamanya akhirnya akan dipadatkan supaya padan dengan durasi filem yang diperlukan, sekitar 1 ke 3 jam sebagai contoh.

Menonton di pawagam tidak menceritakan kisah-kisah yang berlaku di belakang tabir, melainkan kita sendiri gemar mengikuti video-video 'proses pembikinan' atau 'the making of' yang membuka cerita yang berlaku semasa produksi, untuk tontonan penonton.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada produksi filem yang dibangunkan untuk bertujuan mencipta rekod, ada filem yang secara tidak sengaja menjadi filem terpanjang dunia dan ada juga pasukan produksi yang terpaksa menunggu berpuluh tahun lamanya, untuk menantikan hasil tangan mereka siap. Tahukah anda kisah di sebalik 3 buah filem pemegang rekod dunia setakat ini?

1. Filem paling pantas dihasilkan

suyamvaram filem tamil

Hebat sekali kesungguhan yang dipaparkan oleh kru dan pelakon produksi filem 'Suyamvaram', sebuah filem Tamil yang berjaya menggabungkan penglibatan 14 orang pengarah, 19 orang pengarah sinematografi dan lebih 30 orang pelakon terkenal dalam industri filem Tamil di India.

Atas kejayaan membariskan lebih 30 orang pelakon terkenal, 'Suyamvaram' diiktiraf oleh Limca Book of Records (mirip Guinness Book of Records) di India sebagai filem yang berjaya mengumpulkan nama-nama bintang paling ramai dalam satu filem.

Namun rekod itu bukanlah kejayaan terbesar filem ini. Apa yang menjadikan 'Suyamvaram' sangat popular, adalah kerana filem itu berjaya disiapkan daripada mula sampai tamat produksi - dalam tempoh kurang 24 jam. 23 jam 58 minit kalau nak kira tepat. Produksinya hanya mengambil masa kurang 24 jam untuk menyiapkan filem sepanjang 2 jam setengah.

Apa yang menakjubkan berkenaan rekod ini adalah syarat-syaratnya. Untuk melayakkan filem tersebut disenaraikan sebagai filem paling pantas dihasilkan, masa yang diukur akan bermula sebaik sahaja produksi filem itu bermula sehinggalah filem itu selamat ditayangkan di pawagam - jadi anda boleh bayangkanlah sendiri bagaimana efisiennya mereka bekerja.

Filem itu memulakan produksi pada jam 7 pagi hari Isnin dan selamat ditayangkan di pawagam pada jam 6.58 pagi hari Selasa. 2,500 orang kru terlibat dalam pembikinan filem ini melibatkan 27 buah lokasi kesemuanya. (rujukan)

2. Filem paling lama tempoh produksinya

john huston orson welles

Jika 'Suyamvaram' memegang takhta sebagai filem durasi penuh paling pantas dihasilkan, filem 'The Other Side of the Wind' (TOSOTW) pula memegang rekod sebaliknya. TOSOTW menjadi filem paling lama berada dalam produksi berikutan pelbagai masalah yang timbul.

Filem ini memulakan produksi pertamanya pada tahun 1970 dan selesai proses penggambaran pada tahun 1976 oleh pengarah lagenda Hollywood, Orson Welles. Proses suntingan pula dilakukan secara berperingkat-peringkat oleh Welles sendiri dan proses itu memakan masa yang sangat panjang - sehinggalah Welles meninggal dunia pada tahun 1985 tanpa sempat menyiapkan filem tersebut.

Ini menyebabkan projek filem ini mula berdepan kesukaran dalam menyiapkannya, sambil memenuhi visi Welles yang mahu menjadikan filem ini sebagai filem yang akan memahatkan nama beliau sebagai pengarah terulung Hollywood. Oleh kerana berlaku perebutan hak cipta, negatif asal filem ini akhirnya disimpan di sebuah peti besi di Paris, sebelum hak miliknya dibeli pada tahun 2014.

filem paling panjang tempoh produksinya

Di bawah pemilik hak cipta baru, projek filem ini kembali diteruskan dan berjaya ditayangkan pada 31 Ogos 2018 semasa festival filem Venice. Malangnya, majoriti pelakon dan kru filem yang terlibat dalam pembikinan filem ini telah pun meninggal dunia semasa tayangan pertama filem ini.

Pengkritik memuji filem ini sebagai salah satu filem klasik yang mempersembahkan kemahiran sebenar Orson Welles dalam pembikinan filem, layak dikatakan antara filem terbaik beliau yang sebelum itu turut mengarahkan filem Citizen Kane, Macbeth dan Othello. Apabila dihitung sejak mula produksi sehinggalah ditayangkan pada tahun 2018, 48 tahun diperlukan untuk The Other Side of the Wind dianggap selesai pembikinannya.

3. Filem paling panjang

logistics filem terpanjang

Sekiranya anda mempunyai masa terluang yang banyak, anda boleh cuba menonton filem berjudul 'Logistics.' Filem ini mempunyai durasi sepanjang 857 jam atau 51,420 minit atau 35 hari 17 jam. Panjang bukan?

Digarapkan sebagai sebuah filem eksperimental yang hadir daripada idea 'dari mana gajet elektronik datang?' dua pengarah iaitu Erika Magnusson and Daniel Andersson cuba mencari jawapan kepada soalan tersebut dan melalui sendiri setiap saat proses penghasilan sebuah 'pedometer' yang digunakan untuk mengukur langkah yang diambil.

'Logistics' dipaparkan dalam bentuk kronologi terbalik, di mana penonton akan melihat sendiri bermulanya proses pembelian pedometer itu sebelum kembali ke belakang, melihat sendiri bagaimana pedometer itu boleh tiba ke kedai jualannya. Kisah itu disambung-sambung, melalui pelbagai kaedah serta cara, merentas benua sehinggalah tiba ke lokasi di mana setiap bahagian dalam pedometer itu direka dan dibuat.

Perjalanan filem itu yang dipaparkan tanpa sebarang suntingan, bermula di Stockholm, Sweden melalui beberapa bandar pelabuhan di Jerman, Belanda, Sepanyol sebelum tiba ke sebuah kilang di Shenzhen, China.

Ditayangkan secara rasmi pada 1 Disember 2012, tidak diketahui sama ada wujud atau tidak penonton yang berjaya menonton filem ini dari mula hingga tamat. Jika ada, nama dia perlu dimasukkan ke dalam rekod dunia - sebagai orang paling sabar dan tekun menonton filem. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)