Teknologi baru yang dibangunkan oleh masyarakat tidak dapat dinafikan majoritinya bertujuan untuk memudahkan sesuatu perkara berlaku.

Sebagai contoh, pengenalan sistem e-hailing mempermudahkan sistem tempahan teksi yang selama ini kita gunakan, memperbaiki banyak kelemahan yang ada serta memperkenalkan banyak faedah baru kepada pengguna dan juga pengusaha.Bagaimanapun, dalam masa yang sama - ada juga pihak menganggap e-hailing akan menyebabkan punca rezeki mereka tergendala.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Itulah kontroversi yang sedang hangat dibincangkan penggiat industri Hollywood ketika ini, selepas kejayaan filem animasi 'Trolls World Tour' dilihat bakal menjadi titik tolak perubahan besar industri mereka; serta kejatuhan tradisi tayangan pawagam yang telah diamalkan sekian lama.

Filem besar pertama di lancar secara digital hari pertama tayangan

watak dalam filem trolls world tour

Berikutan penyebaran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, banyak industri-industri mengalami impak yang sangat ketara khasnya industri penerbangan dan pelancongan.

Perbincangan tentang impak Covid-19 kepada industri hiburan sebelum ini lebih kepada pertukaran tarikh tayangan dan penangguhan pengambaran, dikatakan tetap akan menjejaskan industri tersebut namun impak negatifnya tidaklah seteruk apa yang menimpa industri lain.

Dalam tempoh wabak ini, yang untung adalah pengendali video strim. Teknologi penstriman juga telah mula menjadi satu opsyen besar, apabila pelanggan mula menjadikan sajian mereka sebagai pilihan - dibantu studio filem yang telah mula melancarkan projek-projek lebih kecil untuk tayangan pertama dalam Netflix dan sebagainya.

Ini memberi kelegaan kepada penggiat industri seni yang terjejas akibat Covid-19, di mana mereka masih boleh menerbitkan filem dan penonton juga mampu menontonnya dengan mudah.

'Trolls World Tour' pada awal perancangannya mula ditayangkan di pawagam pada 10 April 2020. Disebabkan pandemik, penerbit filem itu Universal Studios mengambil keputusan untuk melancarkan filem itu serentak dengan pengedaran berbentuk digital pada hari yang sama dengan tayangan pawagam.

Langkah ini belum pernah dilakukan mana-mana studio gergasi dunia menjadikan filem animasi comel itu dalam kedudukan unik, memecahkan trend industri semasa.

Pengusaha panggung bertindak melindungi kepentingan mereka

amc gergasi pawagam amerika syarikat

Semua pihak yang menjalankan perniagaan sudah pastilah akan memastikan sektor perniagaan yang mereka jalankan tidak terganggu.

Bagi syarikat-syarikat pawagam besar di Amerika Syarikat seperti AMC dan Cineplex, kerjasama pihak studio dalam memastikan pawagam menjadi lokasi pertama tayangan mana-mana filem blockbuster perlulah dipertahankan.

Filem besar seperti 'Avengers : Endgame' dipersetujui untuk menunggu tempoh 90 hari selepas tayangan pertama di pawagam, sebelum mula diedarkan secara digital.Ini adalah persetujuan yang berjaya dicapai antara pawagam dan penerbit.

Bagaimanapun, untuk syarikat strim digital seperti Netflix yang menjadi peneraju sektor ini, mereka memandang bahawa penstriman merupakan masa depan hiburan dunia.

Netflix sudah beberapa kali bertelagah dengan syarikat-syarikat pawagam dalam beberapa isu disebabkan oleh usaha mereka mendapatkan hak penyiaran digital filem besar, seperti apa yang berlaku untuk filem 'The Irishman' arahan Martin Scorsese.

Tindakan Netflix cuba mengacau tradisi dilihat penggugat kepada panggung wayang gambar mula menyebabkan syarikat-syarikat pawagam mengikat kontrak 90 hari penangguhan dengan studio; bagi memastikan filem ditayangkan di pawagam terlebih dahulu, sebelum boleh disiarkan di Netflix, Amazon, Apple TV dan lain-lain.

Semuanya bermula daripada insiden tahun 2015 melibatkan filem 'Beast of No Nation, lakonan Idris Elba.

Netflix berjaya membeli hak penyiaran filem itu dan merancang akan menayangkannya serentak dengan pawagam, mengakibatkan gabungan empat pengusaha pawagam Amerika Syarikat bertindak memboikot filem tersebut dan hanya menayangkannya secara tayangan terhad.

Mereka merasakan tindakan penerbit filem itu yang menjualkan hak penyiaran hari pertama kepada Netflix, telah melanggar perjanjian 90 hari yang sepatutnya dihormati semua pihak.

Trolls World Tour mencipta rekod baru

maskot trolls world tour poppy branch

Berbeza dengan filem 'Beast of No Nation', 'Trolls World Tour' ditayangkan serentak dalam format pawagam dan digital, disebabkan oleh pandemik yang melanda.

Namun sambutan menggalakkan yang diterima melalui penstriman mendorong Universal Studios untuk mengumumkan perancangan untuk terus kekal dengan konsep tayangan pertama sebegitu - mengakibatkan tradisi tempoh menunggu 90 hari yang ada tidak lagi relevan.

'Trolls World Tour' menjadi filem pertama mengutip sewaan video dalam satu hari tertinggi semasa hari pertama tayangannya, memecah rekod sejarah penerbitan secara atas talian.

Di Amerika Syarikat dan Kanada sahaja, filem itu mampu mengutip $100 juta jumlah nilai sewaan tanpa perlu melalui tayangan pawagam, membolehkan Universal Studios mengutip keuntungan lebih besar melalui filem itu, berbanding filem pertamanya yang diedar menggunakan kaedah tradisional.

Hasil kejayaan luar jangka itu, wakil Universal Studios menyatakan keinginan untuk mengekalkan format serupa dengan tayangan serentak secara strim dan pawagam untuk semua terbitan mereka selepas ini.

Kenyataan itu menyebabkan pihak-pihak pawagam khasnya syarikat AMC yang mengendalikan lebih 1,000 buah pawagam sekitar Amerika Syarikat berikrar akan mula memboikot semua filem Universal di masa akan datang.

Antara francais popular di bawah rumah penerbitan itu adalah Fast and Furious, Jurassic Park dan filem bertemakan Lego.

Adakah ini adalah titik permulaan tradisi baru?

netflix gugat kedudukan pawagam

Adakah anda masih ke pawagam?

Kemudahan internet di rumah membolehkan penulis mendapatkan akses kepada filem-filem dengan mudah, sama ada melalui aplikasi seperti Netflix atau melalui sistem VOD yang diselia penerbitan televisyen seperti Unifi dan Astro.

Bagi penulis, pawagam memang menyajikan satu pengalaman tontonan yang jauh berbeza berbanding tontonan di rumah. Dengan skrin gergasi dan sistem audio yang mantap, pengalaman menonton itu unik serta sukar untuk direplikasikan.

Dalam masa yang sama keperluan untuk membayar RM15 ke atas untuk satu tiket wayang serta harga bertih jagung yang tak masuk akal, membuatkan pengalaman itu jadi sedikit rosak. Apatah lagi apabila kos ke pawagam saja sudah melebihi kadar langganan bulanan Netflix, misalnya.

Membaca tentang kontroversi yang sedang melanda Hollywood ketika ini, jelas sekali impak pengenalan teknologi dalam membawa perubahan kepada institusi pawagam yang telah lama wujud serta perubahan tradisi yang telah diamalkan sejak zaman dahulu.

Bolehkah pawagam bertahan? Mungkin boleh tetapi dalam format yang sangat berbeza. Saiznya mungkin akan jadi lebih kecil dan jumlah skrin pawagamnya akan dikurangkan bagi memastikan kos lebih rendah dikekalkan.

Namun harga bertih jagungnya besar kemungkinan akan jadi lebih tinggi harganya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)