filem yang banyak kena saman

Anda terasa teruja menantikan pelancaran sebuah filem. Setiap minggu anda nantikan kemunculan pratontonnya agar dapat anda melihat serba sedikit sinopsis jalan ceritanya.

Tibalah hari yang dinantikan dan anda menontonnya di pawagam. Timbul persoalan dalam kepala anda "kenapa pula filem ni jauh benar bezanya dengan previunya?" Anda rasa tertipu dan menyumpah-nyumpah. Majoriti orang, itulah reaksi mereka sekiranya rasa kena bohong dengan filem.

Tetapi bagi segelintir individu lain, mereka merasakan apa yang berlaku adalah satu bentuk penipuan yang perlu dibawa ke mahkamah. Berikut adalah lima filem yang mencetuskan kontroversi, dirasakan tidak jujur sehingga memerlukan perbicaraan oleh penontonnya.

1. Drive

filem drive disaman trailer menipu

Filem aksi lakonan Ryan Gosling ini memaparkan watak tidak bernama, yang hanya dikenali sebagai 'driver' cuba membantu seorang wanita dan anaknya daripada masalah melibatkan suami wanita tersebut.

Kami sudah sebutkan dalam perenggan pembukaan artikel ini tentang tindakan saman yang dihadapi produser filem kerana menipu penonton, melalui previu yang didakwa menyeleweng.

'Drive' berhadapan masalah ini selepas seorang wanita bernama Sarah Deming dari Michigan - bertindak menyaman penerbitnya kerana memasarkan filem ini ibarat filem aksi 'Fast and Furious' tetapi hasilnya jauh berbeza, dianggap melanggar akta perlindungan pengguna Michigan.

Selain itu Sarah juga menyaman penerbit filem itu kerana mempopularkan sentimen keganasan terhadap masyarakat Yahudi. Saman yang dimulakan pada tahun 2011 pada mulanya ditolak, kerana hakim berpendapat filem tersebut ada memaparkan adegan kejar mengejar.

Sarah melakukan permohonan bagi menukarkan hakim kerana merasakan hakim itu sendiri membawa sentimen anti-Semitik semasa perbicaraan berjalan.

2. Frozen

filem frozen sama dengan kisah hidupnya

Bagi ramai kanak-kanak perempuan, 'Frozen' merupakan filem yang sangat popular di kalangan mereka tetapi bagi Isabella Tanikumi - filem tersebut adalah kisah hidupnya.

Disebabkan wujud banyak persamaan antara filem tersebut dengan dirinya, Isabella bertindak menyaman Disney penerbit filem 'Frozen' dengan tuntutan ganti rugi $250 juta.

Isabella percaya penerbit filem 'Frozen' sebenarnya meniru kisah hidupnya yang telah diterbitkan dalam bentuk memoir berjudul 'The Yearnings of the Heart', terbitan tahun 2011.

Dalam buku tersebut, Isabella menceritakan tentang perjalanan hidupnya membesar dari kawasan pergunungan di Peru sehinggalah dia berhijrah ke Amerika Syarikat. Tidak dapat dinafikan wujud beberapa persamaan antara buku itu dan filem Frozen.

18 persamaan yang difailkan Isabella dalam tuntutannya bagaimanapun ditolak hakim pada tahun 2015, kerana tidak ada persamaan ketara yang menunjukkan Disney mencedok kisah hidup Isabella untuk difilemkan.

3. 2001: A Space Odyssey

filem space odyssey ipad samsung galaxy tab 10 1

Dalam kes saman melibatkan dua syarikat gergasi dunia iaitu Samsung dan Apple, Apple mendakwa peranti terbaru Samsung (ketika itu) iaitu Samsung Galaxy Tab 10.1 yang dilancarkan pada pertengahan tahun 2011 merupakan produk hasil rekaan Apple.

Dakwaan ini menyebabkan peranti jenama Samsung itu ditahan penjualannya di Eropah, kerana dikatakan mengambil idea asal daripada peranti iPad keluaran Apple seterusnya melanggar paten dan hak cipta.

Samsung yang berhadapan risiko kerugian besar, mempertahankan diri dengan menggunakan satu hujah yang tidak disangka-sangka; idea penciptaan tablet sebenarnya datang daripada filem klasik '2001 : A Space Odyssey' yang memaparkan peranti fiksyen serupa - bukannya idea asal Apple yang asli.

Cubaan Samsung untuk menayangkan adegan filem tersebut yang memaparkan peranti tablet itu di mahkamah bagaimanapun ditolak hakim, kerana tidak membantu menjelaskan adakah Samsung telah melanggar hak cipta Apple atau tidak; sebaliknya hanya berjaya menunjukkan bukan Apple yang mendapat idea awal tentang tablet.

4. Monster's Inc dan Pixar

monster inc plagiat hasil seni orang lain

Syarikat animasi terkenal Pixar sebenarnya sudah banyak kali berdepan saman hak cipta. Antara yang paling terkenal adalah kes melibatkan maskot Pixar, lampu meja yang dinamakan Luxo.

Direka berdasarkan rekaan sebenar lampu meja keluaran Luxo ASA, sebuah syarikat dari Norway - tindakan Pixar menghasilkan animasi berdasarkan rekaan lampu meja mereka mempopularkan jenama itu membolehkan Pixar dan Luxo bersetuju untuk meneruskan kolaborasi.

Bagaimanapun, selepas Pixar mengeluarkan model mainan lampu Luxo pada tahun 2009 sebagai hadiah untuk pembeli DVD filem mereka - Luxo bertindak menyaman Pixar. Persetujuan dicapai - Luxo membenarkan Pixar menggunakan rekaan mereka, tetapi kebenaran itu hanya terhad dalam bentuk animasi sahaja.

Pixar juga pernah berhadapan saman berkenaan filem 'Monster's Inc', yang didakwa mengambil idea asal seorang pelukis bernama Stanley Miller. Harus kami akui, rekaannya nampak sama dan persamaan yang disenaraikan - sangat meyakinkan.

Stanley juga dilaporkan cuba menjaja rekaannya untuk penerbitan Hollywood sejak tahun 1998, sehinggalah seorang wakil Pixar datang menemuinya membincangkan perkara tersebut pada tahun 2000; namun mereka gagal mencapai kata putus.

Kes di antara Stanley Miller dan Pixar berakhir dengan keputusan hakim memihak kepada Stanley - tetapi Pixar memilih untuk menyelesaikan tuntutan itu di luar mahkamah.

5. Borat

borat filem kena saman banyak

Anda sudah menonton filem ini? Walaupun banyak adegan mengarut, kami akui teknik pembikinan filem secara gerila dengan pemaparan reaksi dunia nyata orang ramai sangat melucukan. Bagaimanapun disebabkan oleh teknik itu - 'Borat' menjadi antara filem paling banyak disaman di mahkamah.

Diterbitkan pada tahun 2006, saman pertama diterima penerbit filem itu dilakukan oleh sebuah kampung bernama Glod di Romania, selepas watak dalam filem itu bertindak memalukan seluruh kampung mereka dalam filem tersebut dengan bermacam cara.

Penduduk mendakwa mereka diberitahu akan menjadi peserta dalam sebuah dokumentari, tidak menyangka mereka akan dijadikan bahan ketawa seluruh dunia. Malangnya, bukti yang tidak kukuh menyebabkan kes ini diketepikan.

Dua orang anak muda yang menandatangani kontrak untuk difilemkan dalam adegan kurang sopan, bertindak menyaman penerbitan 'Borat' kerana telah memalukan mereka.

Dua anak muda itu juga memohon agar semua adegan melibatkan mereka dibuang kerana bakal menjejaskan masa depan mereka.

Saman itu juga ditolak.

Kami sebenarnya dah 'lost count' berapa banyak tuntutan saman dikeluarkan, disebabkan filem ini serta watak ciptaan aktor 'Borat', Sacha Baron Cohen.



Hakcipta iluminasi.com (2017)