Oleh pada 30 Jun 2019 kategori

Bagi Frank Armah, setiap kali tiba waktu tayangan sebuah filem baru di negara beliau, Ghana - dia diberikan matlamat yang jelas; pastikan tiket wayang laku. Oleh yang demikian, tanggungjawabnya sebagai pelukis poster amat mudah untuk menarik minat orang ramai menonton.

Sekiranya filem itu ganas, posternya mesti jauh lebih ganas. Sekiranya filem itu dipenuhi adegan seks, posternya mesti jauh lebih provokatif berbanding filemnya. Itu idea tugasannya setiap kali tayangan filem baru bakal diadakan sekitar tahun 80-an dan 90-an.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebiasaannya, pelukis poster seperti Armah langsung tidak pernah menonton filem itu jadi mereka perlu bergantung kepada imaginasi sendiri, membikin poster berdasarkan kepada sinopsis atau ringkasan cerita yang ada. Itu menyebabkan poster yang dihasilkan pelukis seperti Armah mampu mengandungi perkara yang tidak pun wujud dalam filem tersebut.

Nafas kedua buat karya unik pelukis Ghana

postef filem mission impossiblr

Poster-poster ini pada ketika masih digunakan tidak semuanya berjaya menarik minat orang ke pawagam. Illustrasi yang dihasilkan juga ada kalanya lebih mirip lukisan seorang amatur yang baru berjinak-jinak mahu melukis. Bagaimanapun, selepas lebih 20 tahun dihasilkan kini poster-poster filem aneh hasil kerja anak muda Ghana ini mula mendapat perhatian masyarakat dunia - seterusnya meningkatkan nilai karya mereka.

poster filem ghana mission impossible 606

Semuanya dimulakan oleh seorang pengumpul karya seni bernama Ernie Wolfe, yang beroperasi di Los Angeles, Amerika Syarikat. Kunjungan beliau ke negara Ghana sekitar tahun 90-an membuka mata beliau pada keunikan poster-poster filem di sana. Ini kerana pada beliau, poster itu membuka perbincangan tentang perbezaan pendapat di antara mereka yang menonton filem itu dan pelukis seperti Armah, yang menilai filem itu hanya berlandaskan imaginasi sendiri.

Bagi Wolfe, di situlah terletaknya nilai-nilai poster ini kerana lukisan di dalamnya membawa identiti yang telah hilang dalam era globalisasi. Kemudahan teknologi maklumat memudahkan perkongsian poster rasmi sesebuah filem, menyebabkan pengiklanan sesebuah filem kini menjadi seragam.

Bermulanya budaya poster syok sendiri di Ghana

poster filem ghana jurassic park

Walaupun kemudahan menonton filem sudah ada di beberapa bandar besar di negara tersebut, penduduk di luar bandar masih lagi kurang mendapat peluang serupa sekitar tahun 70-an. Banyak kampung masih ketiadaan bekalan elektrik dan jauh sekali kemudahan pawagam. Bagaimanapun, minat untuk menonton tetap ada menyebabkan permintaan perlu dipenuhi.

Beberapa orang pengusaha yang berani mengambil risiko melaburkan wang bagi membeli beberapa buah generator pembekal kuasa, projektor serta pita VCR yang diletakkan di sebuah lori. Lori itu pula akan ke destinasi-destinasi terpilih sebagai sebuah pawagam bergerak. Bagi mempromosikan tayangan-tayangan filem ini, pelukis-pelukis tempatan ditagih khidmatnya.

Bagi seorang pelukis bernama Daniel Anum Jasper, dia biasanya hanya diberikan kotak pita VCR itu dan pandai-pandai sendiri menambah apa yang perlu. Ada pengusaha wayang yang menceritakan filem itu secara lisan, jadi Jasper perlu membayangkan apa yang berlaku untuk diterjemahkan ke dalam bentuk poster.

Berdepan kekangan kewangan, pengusaha biasanya enggan membayar upah yang mencukupi kerana poster yang baik memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk disiapkan. Jadi Jasper serta pengusaha itu bersetuju untuk menjadikan apa yang ada di sekeliling mereka sebagai kanvas. Bahan seperti papan tanda jalan atau papan iklan akhirnya menjadi tempat di mana pelukis seperti Japser dan Armah berkarya.

postet filem ghana catwoman

Semua ini dikatakan berpunca daripada pemerintahan tentera yang berlaku pada era 70-an dan 80-an, yang melarang import masuk mesin cetak yang mampu mencetak poster. Daripada larangan itu, masyarakat Ghana mula kreatif mencari jalan memberikan publisiti pada tayangan filem yang baru sampai.

Budaya lukisan poster ini mula perlahan selepas permulaan abad baru. Sama seperti negara lain, Ghana juga mula menerima kemasukan teknologi memudahkan penghasilan poster berdasarkan kepada visual rasmi filem yang bakal ditayangkan. Proses melukis poster dikatakan mengambil masa terlalu lama, berbanding terus mencetak poster asal filem - menyebabkan lama kelamaan keringat pelukis poster filem tidak lagi diperlukan.

Orang ramai yang sudah mampu mengakses internet juga kini lebih terdedah dengan informasi berkaitan filem serta mempelajari budaya popular dengan lebih dekat, menyebabkan isi kandungan poster mereka mula dipersoalkan.

Peluang kedua selepas disisihkan

poster filem ghana the matrix

Ernie Wolfe berpeluang melihat jatuh bangun industri lukisan poster filem di Ghana, namun hanya satu yang tidak berubah sejak dulu - dia sudah jatuh cinta dengan budaya tersebut. Pengaruh Wolfe dalam bidang seni membolehkan dia mula mempromosikan lukisan-lukisan ini yang semakin dilupakan kepada pembikin filem di Hollywood sendiri.

Wolfe bertanggungjawab memperkenalkan budaya tersebut kepada pengarah filem seram lagenda, Clive Barker di mana salah sebuah filemnya - Hellraiser III mendapat sentuhan serupa di Ghana. Berikutan populariti yang semakin meningkat, semakin ramai peminat seni lukisan poster di seluruh dunia cuba mendapatkan lukisan-lukisan asal yang dihasilkan ketika era kegemilangan budaya tersebut, menyebabkan nama pelukis seperti Armah dan Jasper mula dikenali ramai.

Hasil kerja mereka yang agak kasar berbanding teknologi penghasilan poster zaman sekarang semakin mendapat tempat, kerana keunikannya yang tersendiri. Secara tak langsung permintaan-permintaan ini menjadi sumber baru pendapatan bagi mereka berdua.

exhibition poster film ghana

Walaupun begitu tidak dapat dinafikan, berbeza dengan zaman sekarang di mana kesemua informasi yang diperlukan boleh diperolehi menerusi internet- Armah dan Jasper mengakui hasil karya mereka kini nyata berbeza dengan karya mereka terdahulu.

Ada sesuatu yang ajaib apabila sebuah poster kepada sebuah filem dihasilkan tanpa pelukis tahu apa yang dilukisnya. Ini menjadikan apa yang mereka hasilkan sukar dijangka serta mempunyai identiti yang membuatkan setiap rekaan mereka istimewa.

Zaman emas lukisan poster filem di Ghana telah berakhir, bukan kerana permintaan tiada tetapi kerana lambakan informasi yang terlalu memudahkan kita - sehinggakan imaginasi tidak lagi perlu diperah apabila seseorang itu perlu berkarya.


Artikel ini adalah olahan semula artikel 'How Ghana's Gory, Gaudy Movie Posters Became High Art' yang diterbitkan pada 4 Februari 2016.




Hakcipta iluminasi.com (2017)