Oleh pada 25 Aug 2019 kategori

Anda pasti salah seorang peminat filem kan? Kalau tak pun, sekurang-kurangnya pernah menonton filem.

Perasan tak setiap kali sebelum bermulanya sebuah filem, pasti akan ada visual atau animasi yang memaparkan logo studio-studio yang menghasilkan filem itu. Tidak semua studio mempunyai logo yang boleh dikatakan mampu membentuk 'pop-culture' tetapi bagi lima logo di bawah, tak dinafikan rekaan-rekaannya mempunyai visual yang mempunyai sejarah beratus tahun lamanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda sedikit kisah di sebalik logo-logo studio filem terbesar dunia ini? Berikut adalah lima sejarah ringkas logo studio filem yang sering menghiasi filem-filem kegemaran kita.

1. Metro Goldwyn Meyer

logo metro goldwyn meyer singa

Salah satu logo paling mudah diingati berikutan penggunaan singa hidup yang menjadi fokus kepada logo ini - singa ikonik ini sudah menghiasi logo MGM sejak tahun 1916 lagi. Apa nama singa itu? Secara rasminya singa itu dinamakan sebagai Leo, tetapi setakat ini watak sebenar singa itu dimainkan oleh 7 ekor singa yang berlainan. Hanya satu benar-benar bernama Leo.

mgm lion tangkap gambar singa

Rekaan asal logo ini sebenarnya diinspirasikan oleh rekaan logo tempat di mana Howard Dietz, pegawai pemasaran studio Columbia Pictures belajar iaitu Columbia University. Ketika itu Columbia Pictures masih lagi menggunakan nama Goldwyn Pictures.

Selepas dibeli oleh Marcus Loew pada tahun 1924, Loew menggabungkan Goldwyn Pictures dengan studio milik beliau iaitu Metro Pictures Association dan juga sebuah lagi studio bernama Louis B.Mayer Studio - menubuhkan Metro-Goldwyn-Mayer Studio atau MGM. Jika anda lihat pada logo MGM tertera teks 'Art' Gratia Artis'; frasa itu membawa maksud 'seni hanya dihasilkan untuk seni.'

2. Columbia Pictures

columbia pictures

Logo Columbia Pictures semasa awal penubuhan syarikat tersebut pada tahun 1924 memaparkan seorang wanita mirip tentera Roman, lengkap dengan perisai berdiri sambil memegang tangkai gandum di tangannya.

Hanya pada tahun 1926 logo Columbia Pictures mula memaparkan seorang wanita berdiri memegang obor di tangan kanannya. Siapakah wanita dalam logo itu? Beliau dinamakan sebagai 'Miss Columbia' atau 'Lady Columbia', personafikasi budaya Amerika Syarikat dalam bentuk manusia. Nama personafikasi ini pula diambil daripada nama tokoh besar Christopher Colombus.

jenny joseph model columbia pictures

Wanita yang menjadi model kepada personafikasi itu yang sehingga kini boleh dilihat dalam logo Columbia Pictures, merupakan wanita bernama Jenny Joseph seorang pereka grafik. Dalam sesi fotografi yang dilakukan pada tahun 1992, Jenny hanya memegang sebatang tiang lampu sebagai ganti obor.

3. 20th Century FOX

20th century fox logo 1994 2010

Logo studio ini tidak banyak berubah kecuali penambahbaikan dilakukan pada kualiti visual serta komposisinya. Direka oleh seorang animator bernama Emil Kosa Jr - berikutan ketiadaan teknologi komputer ketika itu, Emil menggunakan lukisan yang dibuat di atas kaca dan teknik gerak henti bagi menghasilkan pergerakan yang diingini.

Selepas perubahan format pada saiz filem berlaku sekitar tahun 1950-an, seorang artis bernama Ricky Longo ditugaskan untuk menghasilkan semula visual logo tersebut dalam bentuk skrin lebar.

Filem 'Star Wars' menjadi filem pertama di mana audio yang dimainkan ketika animasi logo itu terus bersambung dengan audio filem, menghasilkan kesan yang unik dan segar untuk peminat filem ketika itu. Logo 20th Century Fox yang ada sekarang pula merupakan hasil animasi studio Blue Sky, syarikat yang sangat terkenal dengan siri filem animasi 'Ice Age' dihasilkan pada tahun 2009.

4. Universal Pictures

perubahan logo universal studio

Walaupun mengekalkan tema yang hampir serupa iaitu planet yang dikelilingi teks sejak mula lagi, pada mulanya logo Universal tidak memaparkan planet bumi tetapi lebih mirip dengan planet Zuhal. Hanya pada tahun 1923, visual planet itu digantikan dengan visual yang lebih mirip dengan bumi serta menjadi asas kepada logo Universal sekarang.

universal logo sejarah

Bagi mencantikkan lagi animasi yang ada, visual kapal terbang ditambah pada era 1930-an mengelilingi bumi, sebelum pelbagai lagi animasi menarik ditambah bagi menghasilkan variasi logo yang berbeza-beza.

Untuk meraikan ulang tahun ke 100 penubuhan studio ini, Weta Digital - studio yang terkenal dalam penghasilan kesan visual filem 'Lord of the Ring's diberikan tanggungjawab mengolah semula logo Universal untuk terbitan pada tahun 2012.

5. Paramount Pictures

original paramount logo

William Hodkinson merupakan seorang pemilik panggung wayang di Utah, Amerika Syarikat. Sistem bayaran pendahuluan bagi mendapatkan hak pengedaran eksklusif yang beliau bangunkan bagi pengedaran filem ketika itu, menjadi batu asas kepada sistem yang digunakan ketika ini.

Hasil daripada kejayaan dalam perniagaan, Hodkinson memilih untuk menggabungkan perniagaannya dengan sebuah syarikat pengeluar filem, bagi membolehkan beliau menghasilkan filem sendiri. Semasa berjalan di New York, Hodkinson ternampak sebuah bangunan yang dinamakan Paramount.

Menyukai nama tersebut, Hodkinson menubuhkan Paramount Pictures.

Objek apa yang mampu menjadi simbol kepada makna 'Paramount'? Gunung! Hodkinson duduk di pejabatnya, melukis di atas kertas sebuah gunung tinggi dengan bintang-bintang mengelilingi puncaknya.

logo vintaj paramount

Tidak diketahui gunung mana yang menjadi inspirasi kepada logo tersebut, namun banyak pihak menyebut tentang sebuah gunung bernama Ben Lomond yang terletak di Scotland sebagai lokasi dunia nyata gunung itu.

Pada tahun 1987, Paramount mengupah seorang artis bernama Dario Campanile untuk menghasilkan lukisan gunung tersebut dan logo itu digunakan sehinggalah tahun 2002. Hasil teknologi yang semakin canggih membolehkan logo ikonik ini dihasilkan menggunakan komputer dengan kesan visual yang lebih terperinci. Logo Paramount yang sebelum itu lebih statik, kini mempunyai hasil animasi yang lebih dinamik dan segar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)