Kebanyakan penerbit filem zaman sekarang lebih gemar merencanakan perjalanan jalan cerita mereka sejak mula, dengan rancangan rapi diatur bagi penghasilan beberapa buah filem bagi melengkapkan jalan cerita. 

Filem-filem yang memerlukan lebih daripada 2 filem bagi menamatkan ceritanya pula biasanya akan diterbitkan pada selang jarak tidak jauh antara satu sama lain, biasanya berselang di antara 2 ke 3 tahun dalam memastikan peminat tidak perlu menunggu lama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, ada juga filem cereka yang memaksa penonton bersabar lama sebelum dapat menonton sambungannya. Berikut adalah lima filem paling panjang penantiannya.

5. The Wizard of Oz > Return to Oz (45 tahun 300 hari)

the wizard of oz

Satu-satunya filem bukan terbitan studio Disney dalam senarai ini, 'The Wizard of Oz' kini diiktiraf sebagai salah satu filem klasik yang sering dirujuk dalam industri perfileman antarabangsa.

Diterbitkan pada tahun 25 Ogos 1939 oleh studio MGM berdasarkan novel fantasi popular 'The Wonderful Wizard of Oz', produksi filem ini pada awalnya berhadapan kesukaran ekoran perbezaan pendapat pasukan penerbitannya serta beberapa kali perubahan pengarah. 

Tayangannya di pawagam gagal membawa hasil besar yang diharapkan, apabila MGM perlu menanggung kerugian besar walaupun dipuji pengulas filem era tersebut.

Usaha-usaha menerbitkan semula filem itu pada tahun 1949 serta tayangan di saluran televisyen CBS pada tahun 1956, mula membawa sambutan lebih menggalakkan mempopularkan filem ini sebagai salah satu filem ikonik.

return to oz filem

Disney membeli hak cipta bagi menghasilkan filem-filem berdasarkan sambungan kepada novel asal cereka ini pada tahun 1954, namun hanya menerbitkan filem sambungannya pada tahun 1985. 

Diberi judul 'Return to Oz', filem sambungan ini mula ditayangkan pada 21 Jun 1985, gagal teruk di pawagam disebabkan oleh konsep pemasaran yang kurang jelas selain ulasan pengkritik yang agak negatif. Tema seram yang menjadi elemen penting penceritaan juga dikritik kurang sesuai untuk kanak-kanak.

Bagaimanapun populariti filem ini mula meningkat dengan peredaran zaman, memperbaiki reputasi filem tersebut sehinggakan kini diangkat sebagai salah satu filem kultus yang sering disalah ertikan.

4. Peter Pan > Return to Never Land (49 tahun 10 hari)

peter pan 1953

Filem animasi popular 'Peter Pan' memaparkan kisah pengembaraan sekumpulan kanak-kanak di lokasi ajaib bernama Never Land, dicipta berdasarkan kepada lakon layar yang dihasilkan pada tahun 1904. 

Diterbitkan pada tahun 5 Februari 1953, 'Peter Pan' merupakan filem terakhir hasil tangan Walt Disney diedarkan oleh syarikat lain - sebelum Disney menubuhkan sendiri rumah penerbitannya untuk bergerak lebih bebas.

Perancangan untuk menerbitkan filem ini sebenarnya telahpun dimulakan sejak tahun 1940, namun terpaksa ditangguhkan ekoran perang dunia.

return to neverland

Sambungannya pula terpaksa menjalani beberapa perubahan studio serta pertukaran rancangan, pada awalnya dirancang hanya untuk format terus ke video tanpa tayangan pawagam. Bagaimanapun Disney akhirnya memilih untuk membangunkan 'Return to Never Land' sebagai sambungan rasmi filem pertamanya dengan terbitan pawagam.

Dilancarkan pada 15 Februari 2002, filem yang menampilkan watak-watak sama beberapa dekad selepas pengembaraan mereka sangat berjaya dari segi kutipan di pawagam, walaupun gagal mendapat ulasan baik daripada penggiat filem.

3. Mary Poppins > Mary Poppins Returns (54 tahun 120 hari)

mary poppins 1964

Ditayangkan pada 27 Ogos 1964, filem 'Mary Poppins' mencipta fenomena dalam industri Hollywood, dipuji pengkritik filem serta mendapat sambutan baik peminat filem di pawagam, sehingga bergelar filem terlaris tahun tersebut.

Kisah kekeluargaan yang dipaparkan dalam bentuk muzikal itu berjaya menyentuh hati banyak pihak, namun mereka perlu menunggu lama untuk menyaksikan sambungan kisahnya.

mary poppins return emily blunt

'Mary Poppins Returns' yang terbit pada 29 November 2018 meletakkan pelakon Emily Blunt sebagai pelakon utama, menyambung semula kisah tersebut untuk khalayak lebih moden. Seperti filem pertamanya, sambungannya juga diterima baik.

'Mary Poppins' mendapat 13 pencalonan anugerah Academy, memenangi 5 daripadanya sementara filem sambungannya pula tercalon dalam 4 kategori, walaupun gagal memenanginya. 

2. Fantasia > Fantasia 2000 (59 tahun 48 hari)

fantasia 1940

Rancangan untuk menerbitkan sambungan kepada filem animasi muzikal klasik Disney 'Fantasia' yang diterbitkan pada 13 November 1940, seringkali berdepan kesukaran.

Hanya selepas kejayaan jualan pita video filem tersebut yang dilancarkan pada tahun 1991, barulah Disney meyakini masih ramai peminat filem tersebut menantikan sambungannya. Lagipun, filem pertama siri ini kurang mendapat sambutan dan hanya mula diterima baik berdekad lamanya selepas diterbitkan.

fantasia 2000 disney

Mengekalkan format segmen yang diwarnai animasi serta lagu-lagu klasikal komposer terulung barat, 'Fantasia 2000' ditayangkan kali pertama pada 17 Disember 1999 dalam bentuk tayangan terhad, sebelum mula ditayang kepada kepada umum pada hari pertama bermulanya alaf baru.

1. Bambi > Bambi 2 (63 tahun 178 hari) 

bambi 1942

Rekod paling lama sambungan kepada filem sehingga ke hari ini masih dipegang oleh filem animasi keluaran Disney iaitu siri filem 'Bambi', yang mengambil masa 63 tahun dan 178 hari untuk peminat filem ini dapat menyaksikan sambungan jalan ceritanya. 

Filem pertama 'Bambi' yang memperkenalkan orang ramai kepada watak anak rusa comel ini digarap berdasarkan kepada buku berjudul 'Bambi - A Life in the Woods' diterbitkan pada 9 Ogos 1942 semasa syarikat penerbitan Disney baru saja bergiat dalam penghasilan animasi berformat filem.

bambi 2 filem sambung terlama

Filem keduanya pula menceritakan kehidupan Bambi selepas berdepan tragedi buruk yang menimpanya dalam filem pertama, menjalani tayangan perdana di pawagam hanya di negara Argentina pada 26 Januari tahun 2006.

Filem itu kemudiannya diterbitkan terus ke format cakera untuk tontonan di rumah dua minggu meliputi pasaran Amerika Syarikat, tanpa menjalani tayangan pawagam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)