Oleh pada 10 Jul 2020 kategori

Perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19 yang diperkenalkan di negara kita, walaupun pada dasarnya kelihatan sangat mengongkong sebenarnya mendapat kerjasama yang sangat baik oleh majoriti rakyat Malaysia.

Walaupun ada beberapa kumpulan yang ingkar pada awalnya, masih cuba sembunyi-sembunyi makan tengah hari beramai-ramai atau tetap cuba menganjurkan kenduri-kendara, lama-kelamaan kes-kes sebegitu lenyap dan orang ramai mula mengikuti arahan dengan baik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerjasama ini menjadi tonggak utama yang membantu negara kita merendahkan kes-kes jangkitan baru daripada menular. Bagaimanapun, berbeza dengan kita di Malaysia, rakyat negara luar seperti Serbia pula enggan mematuhi kawalan yang dikenakan ke atas mereka.

Sehinggakan mereka sanggup merusuh dan bertempur dengan polis, hanya kerana tidak mahu dikawal akibat kedatangan semula gelombang kedua.

Gelombang kedua akibat pembukaan semula

bangunan parlimen serbia

Serbia mula melonggarkan kawalan ke atas warga mereka, yang telah diperkenalkan sejak bulan Mac berikutan kehadiran pilihanraya Parlimen mereka.

Pilihanraya tersebut yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada bulan April 2020 ditunda kepada 21 Jun 2020, disebabkan oleh larangan perhimpunan yang dijalankan.

Disebabkan oleh keperluan untuk menjalankan pilihanraya, kerajaan Serbia memilih untuk menarik balik perintah kawalan pergerakan pada 6 Mei bagi membolehkan proses pilihanraya dimulakan.

Apa yang membimbangkan, ketika larangan itu ditarik balik angka kes-kes terbaru di Serbia masih layak dikatakan tinggi walaupun dalam pola menurun, berlegar di antara purata 70 kes setiap hari.

Dalam pengumumannya, Ana Brnabic, Perdana Menteri Serbia mengumumkan kebenaran untuk orang ramai keluar seperti biasa dengan beberapa kekangan pada mulanya.

Rancangan yang diluluskan sebulat suara Parlimen Serbia adalah untuk melonggarkan kekangan itu pada 15 Jun 2020 diperkenal membolehkan himpunan awam seperti majlis perkahwinan dan sambutan harijadi, hampir dengan tarikh pilihanraya.

Brnabic mengatakan Serbia telah menang dalam perlawanan menentang pandemik, disebabkan oleh data-data jangkitan mereka yang layak dikatakan berkesan kaedah pengawalannya.

Mereka tidak menjangkakan gelombang kedua akan melanda Serbia, beberapa minggu berikutnya.

Selepas 'tamatnya' pilihanraya Serbia

kemenangan aleksander vucic

Bermula pertengahan bulan Jun, warga Serbia khasnya di ibu negara mereka Belgrade mula merasai kembali kebebasan untuk keluar.

Perlawanan bola sepak di antara Red Star Belgrade dan Partisan Belgrade menarik lebih 25,000 penyokong untuk hadir ke stadium. Kempen pilihanraya mula rancak dijalankan bagi rakyat Serbia menentukan gabungan paling layak untuk menjadi kerajaan.

Bagi proses pilihanraya, penjarakkan antara setiap individu diwajibkan namun hanya petugas dimestikan memakai topeng muka. Pengundi? Atas pilihan mereka.

Dalam pilihanraya tersebut yang dijalankan tanpa penyertaan pihak pembangkang disebabkan oleh tindakan boikot, Serbian Progressive Party yang diketuai Presiden Serbia, Aleksander Vucic berjaya memenangi dengan mudah 190 daripada 250 kerusi Perlimen melalui kiraan tidak rasmi.

Tindakan boikot pihak pembangkang itu dilakukan selepas majoriti parti pembangkang Serbia bersetuju untuk memulaukan pilihanraya tersebut, selagi mana kebebasan media dan perjalanan pilihanraya dianggap dikawal kerajaan.

Selepas pilihanraya diadakan, agensi NGO CRTA yang memantau perjalanan pilihanraya mengeluarkan laporan bahawa wujud beberapa faktor campur tangan kerajaan Serbia yang berkemungkinan besar menyebabkan keputusan pilihanraya terlalu memihak kepada kerajaan.

Suruhanjaya Pilihanraya Serbia gagal mengesahkan keputusan rasmi pilihanraya yang telah dijalankan, sebaliknya mengumumkan pengulangan semula pilihanraya di 234 pusat mengundi di seluruh negara mereka, disebabkan oleh beberapa campur tangan yang didakwa mengacau keputusan pilihanraya.

Ini tidak menjejaskan pembentukan kerajaan Serbia berikutan majoriti yang telah diperolehi namun, keadaan mula jadi panas di antara pembangkang dan kerajaandengan rakyat Serbia turut sama mula merasai bahangnya.

Pengenalan semula kawalan pergerakan

penunjuk perasaan rusuhan serbia belgrade

Pada 7 Julai 2020, selepas kematian 13 orang dalam tempoh 24 jam dan lebih 4,000 individu masih positif Covid-19 mengakibatkan katil di hospital Belgrade penuh, kegembiraan yang dirasai warga Serbia mula terganggu.

Kerajaan Serbia menerusi Vucic mengumumkan pengenalan semula kawalan pergerakan bermula pada hari Rabu 8 Julai, di mana perhimpunan melebihi 5 orang dilarang, sebelum awalan pergerakan hujung minggu yang melarang semua individu keluar rumah daripada hari Jumaat sehinggalah hari Ahad dijalankan.

polis belgrade kawal petugas kesihatan

Pengumuman ini mendapat reaksi keras ramai rakyat Serbia, turut dibantu oleh ketidak puasan hati mereka terhadap kerajaan yang dikatakan naik dengan cara menipu.

Diburukkan lagi dengan dakwaan pihak pembangkang yang menyalahkan kerajaan Serbia menarik balik sekatan terlalu awal, menyebabkan wujudnya gelombang kedua.

Apa lagi yang boleh berlaku apabila kebebasan orang ramai mahu ditarik semula dibantu oleh sentimen anti kerajaan yang meluap-luap?

Rusuhan besar-besaran bagi melawan peraturan ini mula berlaku selepas kumpulan besar rakyat Serbia berhimpun dan cuba memecah masuk bangunan parlimen mereka. Tunjuk perasaan yang bermula pada awalnya secara aman membantah pengenalan semula kawalan pergerakan, bertukar menjadi ganas.

Polis Serbia bertindak balas, keras

serbia parliament riot

Kerajaan Serbia menyifatkan apa yang berlaku, sebenarnya didalangi oleh perisik-perisik asing yang cuba mengambil kesempatan ke atas ketidak stabilan Serbia ketika ini.

Perkongsian orang ramai berkenaan tindakan keras pihak polis Serbia dalam menangani perusuh mula tersebar. Taktik keras polis dalam melindungi bangunan parlimen yang cuba dicerobohi dikritik banyak pihak, sebagai keterlaluan.

Dalam kenyataan yang dilakukan Aleksander Vucic, beliau menyifatkan tindakan polis yang agak keras berpunca daripada provokasi perusuh yang bertindak menyerang pihak polis, sama ada melalui provokasi lisan, balingan batu dan ada juga yang menyerang polis secara terbuka.

Banyak fasiliti di dalam dan luar bangunan parlimen Serbia rosak akibat insiden yang masih berlaku.

Disebabkan oleh tunjuk perasaan dan rusuhan serta kontroversi yang dihadapi oleh petugas polis dalam menangani peserta, kerajaan Serbia mengumumkan penarikan semula larangan pergerakan yang telah diumumkan walaupun Vucic merayu kepada orang ramai untuk sedar, katil di hospital mereka ketika ini sedang kembali penuh.

covid 19 serbia statistik

Pada ketika artikel ini ditulis, jumlah jangkitan baru di Serbia telah mencecah 357 kes, meningkat daripada 91 pada hari pilihanraya negara itu yang baru saja berlangsung 3 minggu lepas.

Seandainya situasi di Serbia gagal dikawal dan orang ramai masih tidak mahu memberikan kerjasama, kami yakin angka itu akan bertambah dengan lebih pantas naiknya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)