Sepanjang hampir keseluruhan abad ke-20, wujud sebuah negara di tenggara Eropah yang dipanggil Yugoslavia. Hari ini, walaubagaimanapun, negara ini berpecah kepada 6 buah negara bebas. Jadi apakah yang menjadi punca kepada perpecahan Yugoslavia? Sebelum melihat kepada puncanya, kita perlu memahami sejarah di sebalik kewujudan negara Yugoslavia. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pembentukan Yugoslavia Sehingga Selepas Perang Dunia Ke-2

pembentukan yugoslavia

Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, pada penghujung tahun 1918, Yugoslavia terbentuk daripada kesatuan Kingdom of Serbia, Kingdom of Montenegro dan sebahagian daripada wilayah yang pernah menjadi milik Empayar Austria-Hungary.

Kesatuan wilayah ini pada asalnya diberi nama Kingdom of Serbs, Croats and Sloveness, namun kemudiannya ditukarkan kepada Kingdom of Yugoslavia. Kesatuan ini bertahan sehingga sekitar tahun 1941, apabila Yugoslavia telah ditakluki oleh Kuasa Paksi di bawah Nazi Jerman dan Fascist Itali ketika Perang Dunia ke-2. 

Kuasa Paksi melantik kerajaan boneka mereka sendiri yang secara efektifnya mengakhiri Kingdom of Yugoslavia. Pada tahun 1945, selepas Kuasa Bersekutu (Britain, Perancis dan Amerika Syarikat) memenangi Perang Dunia ke-2, negara Yugoslavia ditubuhkan semula, kali ini sebagai sebuah negara sosialis.

Kali ini, Yugoslavia adalah sebuah persekutuan yang terdiri daripada 6 buah republik, iaitu Slovenia, Crotia, Bosnia and Herzegovina, Serbia, Montenegro dan Macedonia. 

joseph stalin tito yugoslavia

Selepas pada awalnya berpihak kepada Joseph Stalin dan Soviet Union, Yugoslavia memilih untuk menjadi neutral sepanjang Perang Dingin, dan turut menjadi antara negara pengasas dalam Pergerakan Negara Berkecuali, yang terdiri daripada India, Mesir, Indonesia dan Ghana. Sepanjang kewujudan Yugoslavia, kerap kali berlaku ketegangan antara kumpulan etnik yang berbeza.

Hal ini boleh menyebabkan kejatuhan negara tersebut, namun di bawah pemerintahan presiden pertama mereka iaitu Josip Broz Tito, ketegangan tersebut berjaya dikawal, dengan mempromosikan persaudaraan dan perpaduan antara keenam-enam republik, dan terus menolak semangat nasionalisme, kadang kala dengan paksaan. 

Bermulanya Keretakan Dalam Yugoslavia

josip broz tito mati yugoslavia

Kematian Tito pada tahun 1980 kerap kali dilihat sebagai bermulannya pengakhiran buat Yugoslavia. Ketika 1980an, ekonomi Yugoslavia mula merosot, ketegangan etnik mula melonjak, dan semangat nasionalisme mula tersebar antara sesetengah daripada 6 republik yang ada. Hal ini, ditambah dengan kejatuhan komunisme di seluruh dunia, menyumbang kepada berlakunya Perang Yugoslavia dan perpecahannya. 

Parti politik yang memerintah Yugoslavia adalah League of Communists, yang terdiri daripada 8 ahli, 6 daripadanya adalah daripada republik masing-masing, dan 2 lagi adalah daripada 2 wilayah autonomi Serbia, iaitu Vojvodina dan Kosovo.

Pada tahun 1986, Slobodan Milosevic dilantik menjadi pemimpin wilayah Serbia. Milosevic dan penyokongnya berasa tidak selesa dengan wilayah autonomi Serbia, kerana Belgrade (pusat pemerintahan Serbia) tidak mempunyai kuasa politik untuk mengawal wilayah-wilayah yang berkenaan. 

penyokong milosevic bantahan di kosovo 52

Penyokong-penyokong Milosevic, melalui bantahan besar-besaran, yang dikenali sebagai 'Rallies of Truth', berjaya menggulingkan pemimpin-pemimpin politik di Kosovo, Vojvodina dan Montenegro, yang kemudiannya digantikan dengan sekutu Milosevic.

Secara efektifnya, Serbia berjaya menubuhkan sebuah blok undian, mendapat 4 daripada 8 undi, iaitu daripada Serbia, Kosovo, Vojvodina dan Montenegro. Keempat-empat republik Yugoslavia yang lain, terutamanya Slovenia telah mengkritik tindakan ini secara terbuka.  

Pada tahun 1989, wilayah autonomi Kosovo telah dihapuskan. Kosovo terdiri daripada 80 peratus etnik Albania, dengan etnik Serbia sebagai minoriti.

Tidak mengejutkan, kebanyakan etnik Albania berasa sangat tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, dan ini telah menyebabkan mogok lapar oleh para pelombong di Kosovo, yang terdiri lebih daripada 1,300 orang etnik Albania. 

mesyuarat league of communists

Ketika apa yang dikatakan sebagai mesyuarat terakhir League of Communists, telah berlaku perbahasan yang hangat antara pemimpin-pemimpin Slovenia dan Serbia tentang struktur Yugoslavia.

Slovenia meminta lebih banyak autonomi untuk setiap republik, manakala Serbia pula mahukan perpaduan dan pemusatan. Para delegasi Slovenia meninggalkan mesyuarat kongres tersebut sebagai tanda bantahan, dan kemudiannya diikuti oleh Croatia dan Macedonia. 

Selepas League of Communists Yugoslavia dibubarkan, pilihan raya yang terdiri daripada beberapa parti di kesemua 6 republik telah dijalankan buat kali pertama.

Rakyat Croatia telah melantik parti Croatian Democratic Union (HDZ) yang baru ditubuhkan untuk memerintah, melalui pemimpinnya iaitu Franjo Tudman. Bendera Croatia telah dinaikkan ketika mana negara tersebut bergerak ke arah pengumuman merdeka tidak lama kemudian. 

Bermulanya Perang Saudara di Croatia 

perang di croatia

Populasi Croatia kebanyakkannya terdiri daripada etnik Croats, namun negara tersebut turut mempunyai minoriti besar etnik Serbs (Serbia), dan sebahagian besar wilayah di Croatia didiami oleh majoriti etnik tersebut, terutamanya di sepanjang sempadan dengan Bosnia. Bagi kebanyakan Croatian Serbs (rakyat Croatia etnik Serbs), kerajaan yang baru dilantik memberi kebimbangan kepada mereka.

Kebanyakan etnik Serbs masih mengingati kali terakhir Croatia menjadi negara bebas, The Independent State of Croatia, iaitu ketika Perang Dunia ke-2. yang diperintah oleh ultranasionalis, kumpulan fasis (pelampau), iaitu Ustase, yang bersekutu dengan Nazi Jerman. Kumpulan ekstremis Croats ini turut terlibat dalam peristiwa Holocaust, melakukan kempem pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Serbs. 

croatian serbs menentang kemerdekaan croatia

Jadi ketika tahun 1990, masih ramai etnik Serbs yang mengingati secara jelas kekejaman yang dilakukan terhadap mereka lebih kurang setengah abad lalu, dan ramai berasa risau dengan kerajaan baharu yang memerintah Croatia. Knin, sebuah bandar majoriti Serbs, penduduk tempatan etnik tersebut memulakan pemberontakan dengan menutup jalan-jalan utama.

Helikopter Croatian Special Forces terpaksa dihantar bagi menyelesaikan pemberontakan itu dengan menggunakan kekerasan. Namun, ketika dalam perjalanan ke sana, jet pejuang tentera Yugoslavia telah memintas helikopter tersebut, dan mengarahkan mereka untuk berpatah balik atau berdepan dengan serangan. Mereka berpatah balik. Hal ini menghangatkan lagi keadaan.

Campur Tangan Tentera Yugoslavia Merumitkan Lagi Keadaan

jet pejuang tentera yugoslavia

Ini bukan lagi isu pemberontakan etnik Serbs, ianya adalah isu yang lebih besar, kerana mereka turut dibantu oleh Yugoslav National Army. Dalam beberapa minggu dan bulan berikutnya, tentera Yugoslavia turut membekalkan pemberontak-pemberontak tersebut dengan senjata api.

Lebih banyak lagi kawasan yang didominasi oleh etnik Serbs di Croatia melakukan pemberontakan, menawan bandar-bandar yang didiami majoriti Serbs, dengan misi untuk menyertai Serbia.

3 kumpulan pemberontak berasingan mengisytiharkan kawasan tawanan mereka sebagai bebas daripada Croatia. 3 kumpulan ini kemudiannya bergabung dan cuba untuk bersatu dengan Serbia.

Pada 25 Jun 1991, Slovenia dan Croatia secara rasmi mengumumkan kemerdekaan negara masing-masing. Sudah tentu pada saat ini, Perang Yugoslavia sudah bermula, namun ianya lebih tertumpu kepada Croatia, antara etnik Croats dan Serbs. 

Slovenia Meninggalkan Yugoslavia dan Mencapai Kemerdekaan

kemerdekaan slovenia daripada yugoslavia

Walaubagaimanapun, dengan pengumuman kemerdekaan oleh Slovenia, secara tidak langsung hal ini membawa mereka bersama ke dalam peperangan tersebut. Tentera Yugoslavia telah terbang ke Slovenia, dengan niat untuk meminta mereka secara baik untuk menimbang semula keputusan kemerdekaan mereka.

2 hari selepas pengumuman kemerdekaan, bermulalah apa yang diketahui sebagai Perang 10 Hari, antara Slovenia dan tentera Yugoslavia. Berbanding perang-perang lain di Yugoslavia, perang ini mengakibatkan korban yang lebih sedikit. 

Selepas berakhirnya Perang 10 Hari, di bawah penajaan European Community, sebuah perjanjian telah ditandatangani antara Slovenia, Croatia dan Yugoslavia. Dokumen tersebut bertujuan untuk membuka rundingan antara kesemua pihak untuk menyelesaikan segala isu dengan aman.

Yugoslavia menarik balik tentera mereka, namun perjanjian tersebut sebenarnya tidak memberi kesan dalam menghentikan konflik dalaman antara republik-republik yang berkenaan.  

perang 10 hari di slovenia

Yugoslavia telah bersedia untuk menyerang Slovenia secara habis-habisan, dengan kereta kebal, jet pejuang dan artileri. Kuasa ketenteraan mereka adalah jauh lebih kuat, dan dengan mudah mereka berupaya untuk menawan Slovenia.

Walaubagaimanapun, kebenaran daripada Serbia diperlukan untuk tujuan tersebut, di mana Serbia enggan bekerjasama. Wakil-wakil daripada Serbia di dalam Yugoslavia tidak kisah sekiranya Slovenia keluar daripada kesatuan mereka. 

Slovenia adalah sebuah negara di mana sebahagian besar rakyatnya terdiri daripada etnik Slovenes. Disebabkan hanya sebilangan kecil sahaja etnik Serbs yang tinggal di Slovenia, Serbia tidak peduli akan kemerdekaan Slovenia.

Lain pula dengan Croatia yang mempunyai etnik Serbs yang ramai di negaranya. Jadi Serbia tidak ingin melepaskan Croatia begitu sahaja. Presiden Croatia dengan lantang dan secara terbuka mengatakan bahawa beliau akan mempertahankan setiap inci tanah Croatia. 

Croatian Serbs Semakin Rancak Menawan Wilayah-Wilayah di Croatia

campur tangan tentera yugoslavia di croatia 697

Nasionalis Serbs di Croatia sudah berjaya mengambil alih banyak bandar dan perkampungan di negara tersebut, namun keadaan di bandar sempadan Vukovar di Croatia menjadi lebih parah, di mana konflik di antara Croatia dan pemberontak Serbs semakin memuncak.

Tentera Yugoslavia telah menghantar banyak sokongan ketenteraan di kawasan tersebut, mendakwa hanya memainkan peranan sebagai unit pengaman. 

Tentera Yugoslavia bersama dengan Croatian Serbs meneruskan penawanan lebih banyak lagi perkampungan, di mana sebahagian daripadanya didiami oleh majoriti Croats. Mereka tidak lagi fokus kepada wilayah Croatia yang didiami majoriti Serbs.

Disebabkan keganasan yang semakin memuncak, presiden daripada kesemua 6 republik telah dipanggil ke The Hague, Belanda oleh European Community, bagi membincangkan pelan perdamaian. 

Pelan Carrington, Ke Arah Perdamaian dan Kemerdekaan Kesemua Republik

pelan lord carrinton untuk yugoslavia

Presiden Croatia, Franjo Tudman berkata bahawa Croatia mempunyai hak untuk bebas daripada Yugoslavia. Presiden Serbia, Slobodan Milosevic, memberi respon dengan berkata bahawa sekiranya Croatia mempunyai hak bebas, maka etnik Serbs di Croatia mempunyai hak untuk menyertai Serbia.

Perunding European Community, Lord Carrington membentangkan suatu soalan kepada Milosevic, "Adakah awak sanggup untuk menerima kemerdekaan Croatia, tertakluk kepada hak kemanusiaan Serbs di luar Serbia." Yang mengejutkan, Milosevic menjawab, "Ya, saya sanggup."

Dalam masa yang sama, tentera Yugoslavia membuat perancangan untuk menyerang ibu negara Croatia, Zagreb. Namun, serangan seperti itu hadir dengan risiko yang sangat besar, sekatan ekonomi atau campur tangan kuasa asing.

Carrington mahukan perjanjian mulut ini dijadikan dalam bentuk perjanjian bertulis. Namun, apabila tiba masa untuk menandatangani dokumen tersebut, ada sedikit perbezaan berbanding apa yang dijanjikan sebelumnya. 

Republik Serbia Berang Dengan Pelan Carrington

slobodan milosevic pemimpin republik serbia

Perjanjian tersebut bukan sahaja mengiktiraf kemerdekaan Croatia, malah menuntut kemerdekaan untuk kesemua baki 5 republik yang lain. Milosevic enggan menandatanganinya, kerana beliau tidak mahu membubarkan Yugoslavia.

Pelan Carrington bukan hanya untuk Serbia dan Milosevic, tetapi untuk kesemua republik yang mengundi untuk pelan tersebut. Pelan tersebut memerlukan 5 undian untuk diluluskan. Serbia menolak pelan tersebut, namun 5 lagi republik yang lain semuanya bersetuju. 

Hal ini adalah sangat mengejutkan buat Serbia, kerana Montenegro adalah sekutu kuat republik tersebut. Sebenarnya tindakan Montenegro tersebut telah dipengaruhi oleh tawaran Itali bagi membantu republik berkenaan sekiranya mereka bersetuju dengan Pelan Carrington.

Pelan tersebut dijangka bakal diteruskan, namun Serbia telah memeras ugut presiden Montenegro untuk menghantar sepucuk surat kepada Lord Carrington untuk mengubah undiannya, atau Montenegro akan dikecam sebagai pengkhianat kepada Yugoslavia. Surat tersebut akhirnya dihantar, dan Pelan Carrington akhirnya gagal.

kemerdekaan macedonia 1991

Sekitar waktu yang sama, Macedonia mengadakan sebuah referendum kemerdekaan, di mana 95 peratus rakyatnya menyokong. Macedonia adalah satu-satunya republik yang berjaya membebaskan negaranya daripada Yugoslavia sepenuhnya secara aman. Sementara itu di Croatia, kubu kuatnya di Vukovar telah dikepung.

Tentera Croatia yang kecil berjaya mempertahankan bandar tersebut selama 87 hari, sebelum akhirnya jatuh kepada tentera Yugoslavia yang lebih besar. Etnik Serbs telah berjaya menawan sekurang-kurangnya separuh daripada tanah Croatia. 

Pada Januari 1992, sebuah perjanjian gencatan senjata telah ditandatangani antara tentera Croats dan pemberontak Serbs.

Namun peperangan di Yugoslavia bukanlah hanya antara Croatia dan Serbia, kerana ianya lebih rumit daripada itu. Malah, peperangan paling berdarah di Yugoslavia adalah Perang Bosnia.  

Kesimpulan

malaysia berbilang kaum

Mempunyai etnik yang berbeza di sesebuah negara bukanlah suatu yang mudah, kerana masing-masing mempunyai semangat nasionalisme yang tersendiri. Syukur Malaysia masih aman walaupun mempunyai pelbagai etnik berbeza. Semoga keamanan dan kemakmuran ini akan berterusan sampai bila-bila.

[SAMBUNGAN: Sejarah Perpecahan Yugoslavia dan Kaitannya Dengan Perang Bosnia (1992 - 1995) (Bahagian 2)]

Sumber:

  1. history.state.gov
  2. en.wikipedia.org
  3. humanityinaction.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)