Jika anda buka statistik yang merekodkan tentang kes-kes Covid-19 di seluruh dunia, salah satu negara yang mempunyai purata kes untuk setiap 1 juta populasi yang agak tinggi adalah Singapura.

Pada ketika artikel ini ditulis, Singapura mencatatkan 2,923 kes untuk setiap satu juta penduduk melebihi United Kingdom (2,614), Perancis (2,564) serta menghampiri Amerika Syarikat (3,418) dan Itali (3,431). Ini adalah negara-negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 serta mencatatkan angka kematian yang sangat tinggi mencecah puluhan ribu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi jika kita merujuk kepada angka kematian di Singapura - angkanya mengejutkan! Hanya 16 kematian dicatatkan. Apa keajaiban yang dilakukan oleh pihak kesihatan Singapura sebenarnya sehingga menampakkan pola perkembangan yang jauh berbeza berbanding negara-negara maju lain?

Jumlah kes tertinggi di Asia Tenggara

singapore lengang circuit breaker

Singapura bukanlah sebuah negara besar dengan kadar populasi sekitar 5.6 juta orang keseluruhannya. Bagaimanapun, kadar jangkitan Covid-19 di negara itu merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara, serta ketiga tertinggi di benua Asia selepas China dan India.

Ini menunjukkan situasi penyebaran wabak di Singapura agak unik, kerana tidak 'seiring' dengan laporan-laporan negara lain - termasuklah di negara kita.

Malaysia mempunyai kadar jangkitan hanya 6,071 berbanding Singapura yang telah mencecah lebih 17,000 kes. Kadar kematian kita adalah 103 orang sementara Singapura pula, seperti kami sudah sebutkan di atas - hanya 16 nyawa terkorban.

Ini bermakna, Singapura mempunyai kadar kematian 0.85 orang untuk setiap 1,000 kes sementara kita pula 17 kematian untuk kadar yang serupa.

Faktor utama yang membolehkan situasi ini berlaku, adalah disebabkan kadar ujian saringan yang tinggi berjaya dilaksanakan di negara itu. Daripada jumlah populasi 5.6 juta orang, sehingga kini Kementerian Kesihatan Singapura (KKS) berjaya melakukan ujian ke atas lebih 140,000 ribu orang memberikan mereka purata 24,600 ujian untuk setiap 1 juta populasi.

Itu adalah punca kenapa jumlah kes jangkitan Covid-19 sangat tinggi di negara tersebut. Jumlah ujian yang berjaya dijalankan dalam skala besar mampu mengenalpasti pesakit yang positif jangkitan, sehinggakan laporan tentang jumlah kes di Singapura melonjak naik.

Kejayaan ujian saringan di Singapura juga jauh melebihi negara maju lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis yang mempunyai purata jangkitan hampir serupa di negara mereka. Faktor ini menjawab soalan kenapa jumlah kes di Singapura tinggi.

Kenapa kadar kematian mereka rendah pula?

Peratusan pesakit muda terkena jangkitan

dorm poekerja asing singapura

Satu faktor yang diakui sendiri oleh kerajaan Singapura adalah kaitan antara kes-kes jangkitan baru yang hanya melibatkan kumpulan migran di negara itu.

Kes jangkitan tertinggi dilaporkan berlaku di kalangan kumpulan migran berusia muda yang tubuhnya masih kuat melawan jangkitan, bukan saja membantu merendahkan kadar kematian tetapi turut sama menyumbang kepada kerendahan kes yang perlu dikendalikan di hospital.

Berikutan daripada jumlah pesakit berusia muda atau dewasa yang ramai, kaedah rawatan yang perlu dilaksanakan ke atas mereka juga berbeza.

Pesakit yang didapati positif Covid-19 di Singapura rata-ratanya tidak perlu menjalani rawatan secara intensif, hanya perlu menjalani isolasi di pusat-pusat yang telah ditetapkan kerajaan untuk mereka pulih.

singapore covid 19 jumlah kes

Ini sekaligus membantu mengosongkan katil-katil di hospital untuk kegunaan kes-kes jangkitan Covid-19 yang serius sahaja - khasnya kes yang melibatkan golongan warga tua.

Kekurangan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi membolehkan petugas perubatan memberikan tumpuan khusus kepada mereka yang benar-benar memerlukan penjagaan, tanpa perlu mereka bersusah payah bekerja tanpa henti seperti yang berlaku di kebanyakan negara lain.

Situasi ini membantu menyumbang kepada pengurangan kadar kematian kerana setiap pesakit berjaya mendapatkan rawatan yang berkualiti dan mampan, manakala pesakit yang tidak kritikal pula berjaya sembuh sendiri selepas isolasi.

Kerjasama warga tua berkurung dalam kediaman

singapore warga tua

Selain itu, salah satu fokus utama kerajaan Singapura semasa bermulanya penyebaran wabak Covid-19 yang menyumbang, adalah persediaan dalam memastikan warga tua mematuhi perintah kawalan pergerakan dengan ketat.

Peringatan yang difokuskan khas untuk warga tua disalurkan dalam media tanpa henti serta melalui ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong agar tidak ada warga tua melanggar perintah ini. Nyata arahan-arahan ini berjaya dituruti dengan baik, sehingga menyebabkan situasi berbeza wujud di Singapura berbanding negara lain yang terjejas teruk.

Singapura turut dibantu peratusan populasi warga tua lebih rendah dalam masyarakat mereka.

Seandainya dibandingkan dengan kes-kes Eropah, laporan kes jangkitan Covid-19 melibatkan individu yang ditempatkan dalam rumah penjagaan warga tua sangat rendah di Singapura, dengan hanya 5 rumah jagaan dicatatkan wujud kes positif.

Di Eropah, anggaran separuh daripada mangsa jangkitan yang meninggal dunia adalah warga tua yang tinggal dalam pusat jagaan serta sangat terdedah dengan risiko jangkitan.

Perintah 'Circuit Breaker' yang panjang

disinfeksi di singapura

Pengenalan 'circuit breaker' - jargon unik untuk perintah kawalan pergerakan di republik itu mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat mereka pada awalnya.

Namun di sebalik kekangan tidak dibenarkan bebas bermula 5 April hingga 4 Mei dan baru saja dipanjangkan sehingga 1 Jun 2020; kita semua tahu langkah ini sangat berjaya mengawal penularan wabak.

Denda tinggi turut dikenakan ke atas pesalah yang ingkar! Mana-mana individu yang ditangkap melanggar peraturan yang diperkenalkan, boleh didenda sehingga SGD10,000 atau RM30,350 serta penjara enam bulan.

Dalam fasa kedua yang baru saja diumumkan pada 21 April itu, lebih banyak premis perniagaan dan pejabat perlu ditutup serta perkhidmatan penting ditangguhkan.

singapura lengang empty singapore

Tempoh kurungan yang dipanjangkan sehingga ke bulan Jun itu dipercayai berpunca daripada kemungkinan wujudnya kes-kes tersembunyi, dikhuatiri mampu memulakan kluster baru jangkitan.

Kerajaan Singapura juga bertindak memanjangkan perintah kawalan kerana bimbang seandainya berlaku kebocoran jangkitan daripada pusat-pusat kediaman pekerja asing, yang menjadi punca utama kes-kes jangkitan di negara itu.

Hanya dengan mengehadkan pergerakan kumpulan pekerja asing di kawasan tempat tinggal mereka, barulah jangkitan dipercayai dapat dihentikan penularannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)