Salah satu perkara yang sangat dibimbangi semasa terjadinya wabak Covid-19, adalah ketidaktahuan politik dalam menguruskan wabak.
Ketidaktahuan boleh berlaku dalam beberapa cara seperti memiliki pemimpin yang jelas tidak berkeupayaan memimpin dan ada kalanya juga disebabkan pertelagahan politik yang berlaku di kalangan ahli politik negara itu.
Salah satu negara paling teruk terjejas disebabkan Covid-19 adalah Sepanyol.
BESARKAN TEKS A- A+
Setakat ini, sudah lebih 25 ribu orang meninggal dunia di negara tersebut. Mereka turut berhadapan dengan purata jumlah kes tertinggi diantara semua negara yang terjejas teruk. Apa yang berlaku di Sepanyol dan apakah kaitan politik dengan semua ini?
Demokrasi yang gagal berfungsi
Konflik politik wujud selepas keputusan pilihanraya Sepanyol tahun 2019, menyaksikan tiada pihak mendapat sokongan majoriti mengakibatkan pilihanraya terpaksa diadakan dua kali dalam tahun yang sama.
Ini mengakibatkan kerajaan Sepanyol gagal dibentuk selama 235 hari, sehinggalah sebuah parti kecil Podemos yang memegang 35 kerusi bersetuju untuk bergabung dengan parti sosialis PSOE yang memenangi kerusi terbanyak - membolehkan kerajaan minoriti dibentuk menjadikan kerajaan Sepanyol yang ada, agak tempang dari segi kuasanya.
Tidak dibantu gabungan pembangkang yang agak kuat dalam jumlah kerusi, menyebabkan wujud jurang ketara antara kerajaan dan pembangkang dalam menangani isu pandemik yang sedang melanda mereka.
Berbeza dengan negara lain di mana majoriti pihak pembangkang memilih untuk menghentikan sengketa bagi memberi ruang kepada kerajaan mengambil tindakan yang wajar; kerajaan Sepanyol sejak awal lagi perlu berdepan dengan tekanan demi tekanan seteru mereka.
Kondisi ini mengakibatkan banyak pihak di Sepanyol menjadikan musim Covid-19 sebagai cara meluaskan pengaruh dan kuasa, demi memastikan demokrasi 'terpelihara' dan pandemik dapat dikawal.
Bahaya kerajaan minoriti
Undian bagi menentukan sokongan kepada Pedro Sanchez dari parti PSOE untuk jawatan Perdana Menteri Sepanyol, memberikan kemenangan tipis 167-165.
Kegagalan untuk mendapat majoriti mutlak dalam jumlah kerusi pilihanraya yang diperlukan, menyukarkan langkah kerajaan Sepanyol dalam membuat keputusan.
Pihak pembangkang Sepanyol sejak mula sudah mengkritik tindakan kerajaan membenarkan penganjuran perhimpunan Hari Wanita yang berlangsung pada 8 Mac, yang dianggap menjadi titik permulaan serangan demi serangan yang diterima kerajaan Sepanyol.
Kerajaan Sepanyol disifatkan lambat bertindak serta gagal melaksanakan tindakan dengan konsisten, kerap menukar-nukar keputusan sehingga menyebabkan situasi yang berlaku di Sepanyol menjadi bertambah buruk.
Beberapa pihak di bahagian pembangkang tidak segan-segan menuduh kerajaan Sepanyol khasnya Sanchez sendiri sebagai penipu, didakwa menyembunyikan angka kematian dek takut hilang kepercayaan orang ramai.
Konflik semasa pandemik
Pada peringkat awal, majoriti dewan sebulat suara bersetuju untuk membenarkan perintah darurat diperkenalkan kepada negara mereka bermula 14 Mac 2020. Serentak dengan pengumuman itu, kerajaan pusat Sepanyol diberikan kuasa sepenuhnya ke atas pentadbiran serta kawalan pergerakan orang ramai.
Walaupun diterima, langkah ini dikritik kerana akan menyebabkan kerajaan Sepanyol mampu melakukan keputusan langkah mengawal wabak yang perlu diambil, tanpa boleh dicabar. Pentadbir wilayah autonomi Sepanyol juga menyuarakan kebimbangan mereka hilang kawalan ke atas sistem kesihatan wilayah mereka, disebabkan pengisytiharan itu.
Kritikan mula lantang selepas kerajaan Sepanyol dikatakan gagal untuk mengawal wabak walaupun kuasa sudah diberikan, menyebabkan kredibiliti kerajaan Sepanyol mula dicabar secara terbuka.
Wakil parti konservatif Vox, pemegang kerusi ketiga terbesar Sepanyol secara terang-terang meminta agar Sanchez meletakkan jawatan pada bulan April 2020 atas dakwaan semasa pandemik melanda.
Disebabkan tekanan-tekanan yang diterima serta kritikan yang dihamburkan, usaha kerajaan Sepanyol untuk melaksanakan apa saja tindakan berdepan kesukaran kerana keputusan untuk memanjangkan darurat perlu mendapat undian majoriti di Parlimen.
Pihak pembangkang Sepanyol menyifatkan langkah darurat kerajaan Sepanyol sebagai kaedah yang akan menjahanamkan ekonomi negara mereka.
Kerapuhan kerajaan minoriti menyukarkan langkah ke depan
Penubuhan kerajaan Sepanyol hanya terjadi disebabkan campur tangan parti Podemos yang bergabung dengan parti PSOE.
Disebabkan itulah ketua parti Podemos, Pablo Iglesias yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri menjadi sasaran utama pembangkang bagi memberikan tekanan kepada kerajaan, untuk mewujudkan gabungan baru.
Cadangan Sanchez mahu mewujudkan perjanjian sementara antara kelapan-lapan parti pemegang kerusi bagi memudahkan pentadbiran semasa wabak, diberikan syarat mudah oleh dua parti pembangkang terbesar mereka PP dan Vox; Iglesias perlu dipecat terlebih dahulu dari jawatannya sebelum rundingan boleh dimulakan.
Pengaruh parti Podemos yang bersifat populis jelas kelihatan dalam usaha yang dijalankan pihak kerajaan Sepanyol, khasnya melibatkan kawalan Covid-19.
Dasar yang dijalankan didakwa pihak pembangkang yang lebih pro-kapitalis akan mengubah sistem ekonomi negara mereka, memerlukan perbelanjaan besar yang disalurkan terus untuk kegunaan sistem sosial serta diyakini akan mengganggu gugat hubungan sedia ada antara sektor awam dan swasta.
Suara rakyat suara keramat?
Walaupun berdepan kritikan pembangkang, langkah kerajaan Sepanyol mendapat sokongan penuh rakyat mereka.
Hasil kaji selidik yang dijalankan agensi penyelidikan mendapati 9 daripada 10 warga Sepanyol percaya tindakan pembangkang Sepanyol agak keterlaluan dan mengharapkan agar kerjasama antara semua pihak dapat dibentuk, bagi meringankan beban yang ditanggung kerajaan.
Namun jelas pendapat itu tidak dihiraukan pembangkang Sepanyol.
Usaha kerajaan Sepanyol untuk mewujudkan kerjasama sehingga kini masih belum berjawab. Langkah untuk memanjangkan perintah darurat terus dikritik pihak pembangkang, yang berpendapat durasi yang sudah dibenarkan sudah memadai.
Alasan mereka, kerajaan Sepanyol sendiri sudah mula membenarkan warga Sepanyol keluar bersayart, jadi kenapa kerajaan perlu untuk terus menjalankan sekatan?
Ancaman virus sebagai peluang melebarkan pengaruh
Pada 10 April 2020, kerajaan Sepanyol berjaya mendapatkan kelulusan parlimen bagi memanjangkan tempoh darurat dengan sokongan pecahan wakil pembangkang. Dua parti pembangkang terbesar memilih untuk tidak menyokong. Situasi ini kekal dalam undian seterusnya pada 26 April 2020.
Pada 5 Mei 2020, parlimen Sepanyol sekali lagi bersidang bagi menentukan sama ada perlu atau tidak darurat dilanjutkan. Kali ini harga yang dibayar kerajaan Sepanyol agak besar bagi memastikan mereka menerima majoriti.
Persetujuan itu hanya diterima selepas kerajaan pusat Sepanyol berjanji untuk mendapatkan persetujuan konsensus bersama wilayah-wilayah autonomi di serata Sepanyol dalam melaksanakan kaedah kawalan pergerakan bagi mengawal Covid-19, berbanding mampu bertindak sendiri sebelum ini.
Kerajaan Sepanyol juga bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dengan sebuah parti pembangkang Ciudadanos, dalam mengurus, mentadbir dan menyelia pandemik teruk yang melanda negara mereka.
Hanya selepas persetujuan itu dimeterai, barulah kerajaan Sepanyol berjaya memanjangkan tempoh darurat di Sepanyol sehingga 23 Mei 2020 demi memastikan wabak benar-benar berakhir.
Sama ada perlu dipanjangkan sekali lagi selepas itu, entahlah. Yang jelas dalam musim wabak sekalipun, setiap undi - mesti ada harganya.
Rujukan