woody harrelson covid 19 wuhan

Sedarkah, sementara kita sedang berkurung di rumah di Malaysia - di United Kingdom tular satu teori yang mengaitkan teknologi 5G dengan jangkitan Covid-19.

KIsahnya, sebelum berlaku pandemik yang menyebabkan kematian ini lagi, sudah muncul pelbagai dakwaan serta penyelidikan mengkritik penggunaan teknologi komunikasi 5G dan kesannya pada manusia. Pakar-pakar profesional dan juga bukan profesional mengaitkan teknologi baru itu sebagai punca kepada masalah kesihatan orang ramai.

Dengan berlakunya pandemik Covid-19, tak susah pun untuk mana-mana pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan kedua-duanya. Hasilnya, serangan sudahpun berlaku di United Kingdom melibatkan tiang-tiang telekomunikasi 5G yang dipasang. Ini kisahnya.

Punca sebenar teori konspirasi

gelombang rangkaian 5g punca corona virus covid 19

Semenjak diperkenalkan, teknologi gelombang komunikasi generasi ke-5 atau '5G' memang telah menjadi sasaran pihak-pihak tertentu yang mendakwa dengan bukti atau tiada bukti - teknologi gelombang yang digunakan mampu mengakibatkan masalah kesihatan teruk pada manusia.

Semua teknologi komunikasi seperti kita sudah ketahui menggunakan gelombang yang mampu menghasilkan radiasi elektromagnetik.

Bagaimanapun, berbeza dengan teknologi gelombang sebelum ini yang menggunapakai frekuensi tahap rendah - 5G akan menggunakan gelombang berfrekuensi tinggi bagi membolehkan proses penghantaran data secara konsisten.

Keupayaan gelombang 5G mempunyai kekuatan berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding gelombang 4G, menggunakan gelombang bersaiz milimeter yang lebih mampat dan mampu menyimpan lebih banyak data dalam satu gelombang.

4G pula menggunakan gelombang bersaiz sentimeter.

Bagi menghantar gelombang-gelombang itu secara konsisten, kekuatan gelombang atau frekuensinya perlu ditingkatkan. Ini adalah hujah serangan utama yang digunakan oleh golongan yang skeptikal terhadap teknologi 5G.

Apa yang dipercayai boleh berlaku?

pemancar gelombang 5g covid 19

Individu-individu yang percaya dengan konspirasi 5G percaya : penggunaan gelombang yang tinggi dalam saiz yang rapat, akan menyebabkan berlakunya apa yang dikategorikan sebagai 'pencemeran elektromagnetik' atau 'electrosmog.'

Situasi 'electrosmog' merupakan kondisi di mana tubuh manusia terdedah dengan gelombang-gelombang yang sentiasa bergerak tanpa kita sedari, termasuklah gelombang yang sudah ada seperti dari peranti komunikasi kita sekarang, saluran elektrik, satelit dan sebagainya.

Disebabkan penggunaan gelombang 5G berkuasa tinggi dalam saiz yang mampat, pengkritik percaya gelombang itu mampu (pautan pdf) menyebabkan kerosakan pada bahagian kulit, mempercepatkan tahap kerosakan retina mata, memberi kesan pada operasi jantung, merosakkan sistem imunisasi manusia, melambatkan penumbuhan sel baru, mengganggu tumbuhan serta mengganggu ekosistem bumi.

Banyak hujah diutarakan, tetapi adakah semua tuduhan ini tidak berasas? Sebenarnya, ada asasnya dari segi saintifik. Tetapi artikel ini tidak bertujuan untuk menerangkan tentang isu tersebut.

Mengapa teori konspirasi 5G penyebab Covid-19 jadi popular?

5g kesan pada manusia

Sudah mempunyai stigma-stigma tertentu - mudah untuk teknologi disebalik 5G menjadi sasaran utama untuk dikaitkan dengan pandemik Covid-19.

Individu-individu mula menyebut bahawa isyarat daripada menara pemancar Covid-19 merupakan penyebab utama virus disebarkan.

Apa yang lebih menakutkan, ada pihak mula menyifatkan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku sebenarnya helah bagi menyembunyikan kesan buruk gelombang 5G, yang didakwa menjadi punca masalah kesihatan kepada semua pesakit yang dijangkiti.

Disebabkan oleh masalah ini, beberapa insiden buruk mula berlaku - khasnya melibatkan warga di United Kingdom.

Pengikut konspirasi yang taksub mula menyerang pemancar 5G yang dipasang di Liverpool, menyebabkan operator telekomunikasi Vodafone terpaksa mengeluarkan kenyataan merayu agar tindakan ganas dihentikan - selepas 3 menara pemancar milik mereka dibakar.

Di mana konspirasi ini bermula?

woody harrelson wuhan covid 19

Walaupun teori mengaitkan Covid-19 dengan 5G sudah lama disebut, teori ini baru tular dalam skala besar minggu ini.

Semuanya dikatakan berpunca daripada satu perkongsian media sosial Facebook yang dibuat pada 10 Mac 2020. Pengguna Facebook yang menggunakan akaun atas nama 'Ben Mackie' menulis tulisan panjang tentang bahaya 5G serta hubungannya dengan Covid-19.

Hantaran itu yang dikongsi lebih 1,300 kali sebelum dipadamkan tular dan menjadi permulaan lebih ramai ahli masyarakat dunia mengaitkan Covid-19 dengan 5G.

Teori konspirasi itu kemudiannya meletup selepas selebriti terkenal dunia hiburan seperti M.I.A yang juga warga Britain, menulis di laman Twitter mengaitkan 5G dan Covid-19 serta mempersoalkan kenapa projek pemasangan pemancar 5G masih perlu dijalankan di Britain; sedangkan dunia sedang menghadapi pandemik.

Aktor terkenal Woody Harrelson (Hunger Games, Three Billboards Outside Ebbing, Missouri) memuat naik perkongsian mengaitkan Wuhan sebagai lokasi permulaan pemasangan pemancar 5G di China serta penyebab utama jangkitan - menyebabkan teori konspirasi ini mula diterima lebih ramai. (kemaskini - semua pautan perkongsian aktor itu sudah dipadamkan)

Disokong oleh 2 juta pengikut setia, perkongsian Harrelson mendapat liputan orang ramai dan media. Bagi yang mula percaya, mereka nampak logiknya kerana dilihat seiring dengan perkongsian awal yang dilakukan anggota 'Stop 5G UK' hampir sebulan sebelum itu.

Hasil daripada kekecohan yang melanda, beberapa pihak mula menaikkan kembali kenyataan-kenyataan yang telah disiarkan sejak tahun 2016 melibatkan perang dingin Russia dan Amerika Syarikat.

Kerajaan Russia menerusi agensi media pro-Russia menuduh sistem komunikasi 5G yang dibangunkan dengan kerjasama penuh Amerika Syarikat sebagai satu eksperimen yang sangat berbahaya kepada tamadun manusia.Apa pandangan anda dalam hal ini? Kongsikan dalam ruangan komen kami.



Hakcipta iluminasi.com (2017)