Suasana di negara kita semakin beransur-ansur pulih seperti biasa, sehinggakan kami sendiri di Iluminasi berhenti membicarakan tentang Covid-19.
Ini banyak dibantu daripada kejayaan pihak perubatan dan pentadbiran negara kita, yang harus dipuji berjaya meredakan kebimbangan terhadap pandemik yang melanda disokong kuat keberkesanan sistem perubatan kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun begitu, bukan semua negara Asia sudah berada dalam 'mood' sama. Ada negara ketika ini sedang mengalami serangan gelombang kedua, menyebabkan banyak usaha telah dijalankan terpaksa dihentikan.
Berikut adalah lima negara Asia yang sedang atau diramalkan bakal mengalami gelombang kedua wabak virus corona.
1. China
China mengalami gelombang kedua Covid-10 selepas jangkitan dilaporkan di sebuah kawasan pasar terletak di Beijing pada 11 Jun 2020. Penemuan itu mengakibatkan berlakunya penambahan kes baru sebanyak 328 kes kesemuanya.
Jangkitan ini memecahkan rekod sifar kes China, yang sudah kosong selama 56 hari sebelum itu.
Kerajaan China segera mengambil langkah memperkenalkan semula kawalan pergerakan ke atas Beijing, sebelum mengerahkan kajian dilakukan ke atas sumber jangkitan iaitu Pasar Xinfadi yang terletak di Fengtai.
Dalam memastikan tiada jangkitan seterusnya berlaku, untuk tempoh beberapa minggu selepas jangkitan dilapor, pihak perubatan China berjaya menguji 7 juta penduduk Beijing dibantu dengan penutupan semula sekolah, salon dan kedai makanan.
Pada 1 Julai 2020, kerajaan China mengumumkan hanya satu kes baru ditemui di sekitar kawasan tersebut. Ketika ini, perintah kuarantin 28 hari mandatori diperkenalkan di Beijing dan masih berjalan, kepada semua individu yang direkodkan pernah berdekatan dengan pesakit yang ditemui positif.
2. Korea Selatan
Korea Selatan menjadi antara negara paling dipuji keberkesanan mereka dalam menangani jangkitan Covid-19 pada peringkat awalnya. Mereka berjaya mengawal penularan gelombang pertama sehingga perlahan sejak Mei 2020 lagi.
Dalam ucapan penghargaan atas usaha mereka, Presiden Moon Jae-in turut mendabik dada atas kejayaan negara itu menjalankan apa yang beliau istilahkan sebagai 'K-Quarantine', mengambil nama jolokan muzik popular mereka K-Pop.
Bagaimanapun, kes di Korea Selatan yang telah reda mula hangat semula sekitar 22 Jun 2020, dengan penemuan beberapa kluster baru di Seoul; memerlukan pengenalan semula larangan berkumpul serta penutupan beberapa lokasi awam.
Pada 2 Julai 2020, jumlah kes baru di Korea Selatan mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh 2 minggu sebelumnya - selepas 50 kes baru dilaporkan, 44 daripadanya merupakan jangkitan individu tempatan.
3. Jepun
Pada penghujung bulan Jun, Jepun dilaporkan sudah bersedia untuk mengalami gelombang kedua Covid-19, selepas jumlah kes mencecah 55 kes; kadar tertinggi pernah di alami dalam tempoh beberapa bulan.
Kali terakhir Jepun menampakkan jumlah kes melebihi 50 adalah pada 5 Mei 2020, membolehkan kerajaan Jepun menarik perintah kawalan pergerakan pada 25 Mei 2020.
Disebabkan oleh turun naik jumlah kes terbaru yang agak membimbangkan, kerajaan Jepun kembali meletakkan kawasan-kawasan sesak seperti Tokyo dalam situasi berjaga-jaga.
Sekiranya jumlah kes baru jangkitan kembali mencecah 70, beberapa larangan akan kembali dilaksanakan. Pada 2 Julai 2020, kerajaan Jepun mengesahkan pertambahan 107 kes baru, angka tertinggi dalam tempoh 2 bulan.
Apa yang menakutkan, di antara 107 kes baru ini - 70% daripadanya melibatkan individu berusia 20 ke 30-an. Setakat ini belum ada cadangan untuk Jepun memperkenalkan kembali perintah larangan pergerakan.
4. Indonesia
Indonesia merekodkan sesuatu yang sukar untuk didengari.
Ketika negara kita sudah boleh menarik nafas lega, jiran besar kita itu pula baru saja merekodkan jumlah kes baru tertinggi pada tarikh 2 Julai 2020, dengan penemuan 1,624 kes.
Itu adalah angka tertinggi pernah dicapai semenjak Indonesia melaporkan jumlah kes sejak 2 Mac 2020.
Apa yang sangat membimbangkan; walaupun angka kes baru di Indonesia masih melebihi jumlah 1,000 kes sejak 12 Jun dengan konsisten; beberapa wilayah sudah mula meringankan peraturan kawalan, seperti di Jawa dan Jakarta.
Jawa Timur diisytiharkan sebagai kawasan paling terjejas teruk, disebabkan oleh kepulangan masyarakat bandar kembali ke desa untuk hari raya yang akhirnya menyebabkan jumlah kes di sana memuncak dan kekal tertinggi.
Pada 28 Jun 2020, Presiden Joko Widodo mengeluarkan kenyataan keras akan bertindak memecat atau memansuhkan mana-mana ahli kabinet dan agensi kerajaan yang masih memandang ringan krisis yang sedang dihadapi mereka.
Harapnya, arahan itu tidak membawa kepada pergolakan politik di sana.
5. India
Kerajaan India pada penghujung bulan Mei mengumumkan rancangan untuk melonggarkan perintah kawalan mereka disebabkan desakan ekonomi, bermula pada 8 Jun 2020.
Kelonggaran ini membolehkan industri yang terjejas kembali aktif serta aktiviti keagamaan di rumah-rumah ibadat, berjalan seperti biasa. Bagaimanapun kelonggaran ini membawa kepada pertambahan kes yang agak mendadak.
Chennai, ibu negeri Tamil Nadu terpaksa memperkenalkan semula kawalan pergerakan di daerah tersebut beserta beserta daerah berdekatan. Kebenaran hanya diberikan untuk setiap individu keluar 2km saja, dari lokasi kediaman mereka.
Pada 26 Jun 2020, India melepasi tahap 500,000 kes buat kali pertama dengan hampir 16,000 kematian. Selepas tempoh seminggu, angka itu meningkat kepada 620,000 dengan 18,200 kematian sehingga 2 Julai 2020.
Tidak dapat dinafikan ketika pengumuman kelonggaran kawalan pergerakan dilakukan kerajaan India, wujud petanda jumlah kes mereka sudah mula menurun. Namun banyak pihak juga sejak awal sudah meramalkan kelonggaran yang ada serta penemuan kes baru yang layak dikatakan masih tinggi, hanya akan menyebabkan penularan lebih teruk di India.
Satu perkara yang membezakan India dengan negara lain yang terjejas teruk adalah kemampuan pasukan perubatan mereka menangani kes jangkitan dengan berkesan. Kadar kematian di India jauh lebih rendah berbanding Brazil, Sepanyol, Itali dan United Kingdom.
Brazil dan Sepanyol khasnya berdepan kesukaran disebabkan pergolakan politik yang berlaku, serentak dengan pandemik yang melanda. Brazil ada kisah mereka. Sementara Sepanyol pula lebih kompleks masalahnya.
Kestabilan politik amat penting dalam menghadapi waktu-waktu sukar sebegini.