Oleh pada 03 Aug 2017 kategori

Peminat siri TV popular Game of Thrones mesti kenal dengan Jason Momoa. Watak Khal Drogo dalam cerita tersebut telah berjaya melonjakkan nama Jason Momoa menjadi bintang kelas A sebaris dengan selebriti-selebriti terkenal yang lain.

Jason yang berasal dari Honolulu, Hawaii telah dikesan bakatnya pada lewat tahun 90-an oleh pereka fesyen bernama Takeo Kobayashi. Takeo mendorongnya untuk mencuba nasib sebagai seorang model.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setahun selepas itu, Jason memenangi anugerah Hawaii's Model of the Year dan mula menceburkan diri dalam bidang lakonan membintangi drama seperti Baywatch Hawaii dan North Shore.

jason momoa game of thrones

Kini, sejak berjaya mendapatkan watak Aquaman dengan DC Cinematic Universe, Jason dijangka menjadi salah seorang bintang handalan di Hollywood dan bakal dilihat dengan lebih kerap di layar putih dalam beberapa tahun mendatang.

Sebelum filem Justice League dan Aquaman ditayangkan, mari kita kenali terlebih dahulu filem-filem terdahulu Jason Momoa. Ini mungkin 5 filem terbaik beliau setakat ini:

1. Filem Conan the Barbarian (2011)

Selepas kemunculannya sebagai Khal Drogo dalam Game of Thrones, Jason mula lebih dikenali sehingga pengarah filem Conan the Barbarian menawarkan watak utama filem ini kepadanya. Watak Conan dalam filem ini merupakan adaptasi karakter sama yang dipegang oleh Arnold Schwarzenegger pada tahun 1982.

jason momoa conan the barbarian

Walaupun filem itu menjadi box-office, ia tidak berakhir dengan komen positif daripada para pengkritik. Namun, tidak semua pengkritik membenci filem itu. Manohla Dargis dari New York Times memuji lakonan Jason ditambah pula dengan fizikal badan yang sasa.

2. Filem Bullet to the Head (2012)

Bullet to the Head merupakan sebuah filem aksi ngeri yang agak cheesy dan terasa seperti menonton filem 80-an atau 90-an. Digandingkan dengan aktor terkenal Sylvester Stallone, Jason memegang watak Keegan sebagai seorang bekas askar yang kemudian menjadi pembunuh upahan.

jason momoa sylvester stallone dalam bullet to the head

3. Filem Road to Paloma (2014)

Jason Momoa sendiri menjadi penerbit, penulis skrip, pengarah dan juga pelakon dalam filem yang menceritakan tentang Wolf, seorang lelaki Amerika asli yang melarikan diri dari pihak polis selepas membunuh pembunuh ibunya. Filem itu kemudian mengikuti perjalanannya menaiki motosikal untuk mengebumikan abu ibunya sebelum ditangkap polis.

jason momoa road to paloma

Filem ini telah berjaya dibandingkan secara positif dengan filem-filem klasik motosikal yang lain seperti Easy Rider. Gary Goldstein dari Los Angeles Times memuji arahan dan lakonan Jason yang sangat penuh dengan jiwa dan kerohanian.

4. Filem Wolves (2014)

Filem ini taklah sehebat mana kerana jalan ceritanya yang agak klise di mana seorang pelajar sekolah yang popular bertukar menjadi serigala jadian. Namun, jika anda peminat setia Jason Momoa, anda bolehlah mempertimbangkan untuk menonton filem ini untuk melihat lakonannya yang dinamik.

jason momoa wolves

5. Filem Debug (2014)

Debug ialah sebuah filem seram sains fiksyen mengenai sekumpulan pengaturcara komputer yang memerangi kecerdasan buatan (AI) yang berada di dalam kapal angkasa lepas mereka. Jason memegang watak sebagai AI "pembunuh" yang mengidam untuk menjadi manusia dan membuatkan para pengaturcara berbalah sesama sendiri.

jason momoa debug

Wow, tak sabar rasanya menantikan filem-filem Aquaman yang bakal muncul tidak lama lagi. Sementara menunggu dengan sabar, anda bolehlah tonton dulu 5 filem di atas atau mana-mana drama lakonan Jason Momoa. Memang mantap!




Hakcipta iluminasi.com (2017)