filem dengan sequel paling teruk

Menghasilkan karya filem yang diterima baik bukanlah perkara mudah. Lebih susah adalah untuk menghasilkan sambungan kepada filem awal yang turut disambut baik.

Ramai pengkarya filem mampu berjaya dalam filem pertama - tetapi lebih ramai menerima nasib filem sambungannya dipandang sepi malahan dilupakan. 

Berikut adalah lima filem ikonik yang mempunyai sambungan yang terlalu mengecewakan. Frust betul.

1. 'Rasen/Spiral' sambungan kepada 'Ring'

rasen spiral sambungan ring sadako 439

Sedar tak, semasa fenomena filem Jepun 'The Ring' dengan watak seram Sadako menghantui masyarakat dunia - filem sambungannya 'Rasen' atau 'Spiral' turut dilancarkan serentak? 

Ini kerana selepas mengambil kira populariti novel dan siri filem TV yang telah ditayangkan di Jepun, dua pasukan produksi ditugaskan menghasilkan kedua-dua filem dalam jangkamasa sama untuk terbitan hari sama.

'Ring' dan 'Rasen' dilancarkan pada 31 Januari 1998, dengan 'Rasen' bertindak sebagai sambungan terus kepada penamat filem 'Ring'.

Namun 'Rasen' bukan saja gagal di pasaran malahan tidak dihiraukan peminat filem 'Ring', memaksa sambungan kepada 'Ring' dibuat semula.

Menggunakan khidmat pengarah yang sama untuk filem 'Ring' iaitu Hideo Nakata, 'Ring 2' diterbitkan pada 23 Januari 1999 hampir setahun selepas tayangan filem pertama.

Rombakan ini berjaya, selepas Ring 2 meneruskan momentum yang telah dimulakan 'Ring', membawa ramai peminat filem seram baru mengenali siapakah lembaga gadis yang duduk dalam telaga dan mampu keluar dari peti TV.

2. 'Jaws : The Revenge' sambungan 'Jaws'

jaws the revenge filem bodoh

Semasa tayangannya, filem 'Jaws' dilaporkan mengakibatkan aktiviti mandi manda di pantai menurun, ekoran kebimbangan orang ramai berhadapan serangan ikan jerung ganas. 

Sambungannya 'Jaws 2' berjaya mengekalkan populariti filem pertama, membawa keuntungan besar kepada penerbitnya.

Kemudian filem 'Jaws - The Revenge' diterbitkan sebagai sinambungan 'Jaws 2.'

Hasilnya, 'Jaws - The Revenge' merupakan antara filem yang memegang markah sifar di laman web popular Rotten Tomatoes hasil daripada 40 ulasan.

Kualiti filem ini memang menjunam habis dalam semua aspek, layak dikatakan filem bodoh. Apa yang paling bodoh tentang filem ini? 

Berbeza dengan dua filem lebih awal, watak ikan jerung yang digeruni digambarkan mampu menyimpan dendam terhadap watak utama dalam filem tersebut.

Secara strategik ikan jerung itu bertindak menyerang satu per satu ahli keluarga watak seolah seekor haiwan berakal pula.

Lebih melucukan, setelah keluarga itu pergi bercuti di Bahamas, sebuah negara yang agak jauh dari lokasi asal kejadian - ikan jerung itu didapati mengekori mereka.

Tanpa mengambil kira logik akal dan sains, jerung itu bertindak sendirian membunuh satu per satu musuhnya hanya kerana dendam.

3. 'Book of Shadows: Blair Witch 2'

the blair witch book of shadows sequel teruk

'The Blair Witch Project' menjadi antara filem dengan teknik pemasaran yang berjaya, berani membawa keunikan baru dalam zaman di mana 'pemasaran tular' belum dikenali ramai. 

Dipasarkan seolah-olah rakaman sebenar dunia nyata, filem itu menyaksikan kumpulan pelajar melakukan kajian masuk ke hutan mencari makhluk dalam legenda, sebelum mereka dihantui lembaga mistik yang sepatutnya menjadi fokus kajian mereka.

Teknik penggambaran realistik banyak membantu filem ini tampak benar, selain penggunaan pelakon yang tak dikenali.

Populariti filem itu mempopularkan kembali genre filem 'handheld' atau rakaman tangan.

Sambungannya pula 'Book of Shadows: Blair Witch 2' meninggalkan format filem awal, digarap sebagai sebuah filem biasa yang memaparkan sekumpulan pelajar kembali ke lokasi sama, menyiasat apa yang berlaku dalam filem pertama. 

Berdepan banyak masalah ketika produksi termasuklah konflik di antara pengarah dan studio penerbitan, Book of Shadows: Blair Witch 2 menjadi sebuah filem tanpa hala tuju yang lemah dan membosankan.

Penonton lebih ramai yang tertidur daripada ketakutan, termasuklah penulis sendiri. 

Kualiti yang jatuh teruk melayakkan Book of Shadows: Blair Witch 2 memenangi beberapa anugerah kurang asam seperti filem sinambungan paling teruk dan filem sinambungan yang tidak perlu wujud bagi tahun 2000.

4. 'Taken 2' dan 'Taken 3'

taken filem sequal teruk

Ramai suka dengan filem 'Taken' lakonan Liam Neeson, yang kembali mengangkat aktor veteran itu sebagai seorang pelakon aksi pada usia lanjut. 

Bagaimanapun apabila formula sama yang digunapakai dalam filem pertama, cuba diulang semula dalam dua sambungan filem ini iaitu 'Taken 2' dan 'Taken 3', penonton beranggapan produksi filem ini telah kehabisan idea. 

'Taken' sebagai sebuah filem memang ada kelemahan, tetapi tetap berjaya mempersembahkan jalan cerita yang lengkap serta cukup mendebarkan.

Kisah seorang ayah yang perlu menyelamatkan anaknya daripada sindiket pemerdagangan manusia, menjentik rasa bimbang orang ramai.

Dua filem sambungannya pula lemah dan bergantung kepada gimik sama dalam situasi karut. Sukar untuk dipercayai motif kebanyakan wataknya.

Pilihan produksi juga dipertikaikan, apabila mereka menukarkan salah seorang watak baik dalam filem pertama, menjadi penjahat utama dalam filem ketiga.

5. 'The Next Karate Kid'

hillary swank the next karate kid

Kanak-kanak generasi 80-an memang membesar bersama 'Karate Kid', sebuah filem yang mempopularkan seni pertahanan diri Jepun 'karate' kepada umum.

Kami yakin ramai terinspirasi dengan tema filem ini yang membawakan watak seorang kanak-kanak lemah bangkit melawan kaki bulinya, hasil didikan seorang guru yang dapat melihat potensi dalam diri budak itu.

Namun reputasi filem ini yang layak digelar klasik tercalar, dengan kegopohan pihak studio menghasilkan tiga filem sinambungan yang jelas dilakukan hanya untuk mengejar untung.

Tiga filem iaitu 'Karate Kid Part II', 'Karate Kid Part III' dan 'The Next Karate Kid' hilang kualiti penceritaan dan impak yang ada dalam filem pertamanya, mengakibatkan ramai hilang minat untuk terus mengikutinya. 

Walaupun demikian legasi yang ditinggalkan filem asal 'Karate Kid' mampu bertahan lama walaupun sambungannya  berdepan kritikan.

Francais filem ini diteruskan kembali pada tahun 2010 yang mendapat sambutan menggalakkan di pawagam, walaupun tidak meletakkan karate sebagai seni utama.

Kini 'Karate Kid' terus hidup sebagai siri televisyen 'Cobra Kai', membariskan kembali dua pelakon utamanya dalam kisah-kisah komedi aksi yang diterima baik,  sudah masuk musim kelima tayangannya.

Sementara pelakon utama filem 'The Next Karate Kid', Hillary Swank bangkit daripada kegagalan filem itu sehingga bergelar antara pelakon wanita paling disegani dalam industri.



Hakcipta iluminasi.com (2017)