Apakah yang akan berlaku kepada produksi sesebuah filem, sekiranya di pertengahan pengambaran ketika skrip masih belum selesai dilakonkan kesemuanya - kru produksi perlu berhadapan kematian pelakon yang menjadi tunjang cerita?

Tidak banyak kes-kes sebegini berlaku walaupun saban tahun, ribuan filem terhasil meletakkan pasukan produksi yang menghadapi situasi sebegini, duduk dalam satu kategori unik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lebih unik kematian yang berlaku melibatkan nama besar yang cukup dikenali di peringkat antarabangsa. Berikut adalah lima filem yang memerlukan produsernya bergerak kreatif mencari jalan bagaimana hendak menggantikan pelakon utama selepas kematian mereka.

1. Jean Harlow dalam filem 'Saratoga'

saratoga jean harlow

Siapa Jean Harlow?

Dikenali sebagai pelakon simbol seks semasa era permulaan industri filem, Jean Harlow meninggal dunia pada 7 Jun 1937 semasa pengambaran filem 'Saratoga' bersama pelakon lelaki terkenal, Clark Gable.

Kes kematian Harlow yang berlaku sebelum filem ini sempat disiapkan, berpunca daripada tahap kesihatan Harlow yang semakin menurun - walaupun ketika itu baru berusia 26 tahun.

Gable dalam beberapa sesi pengambaran adegan intim bersama Harlow, mengadu nafas Harlow berbau seakan-akan air kencing; tidak disedari berpunca daripada kegagalan buah pinggang tahap akhir yang menimpa Harlow ketika itu.

Selepas kematian Harlow, wujud usaha pihak studio untuk menggantikan sepenuhnya watak Harlow dengan seorang pelakon wanita lain. Namun atas desakan peminat, keputusan itu ditarik dan semua adegan yang tidak sempat dimainkan Harlow - digantikan dengan seorang pelakon wanita dan teknik pengambaran yang tidak kerap menampakkan wajah digunakan.

Kes kematian Harlow menjadi kes pertama dalam industri hiburan Hollywood di mana seorang bintang filem besar, meninggal dunia ketika filem lakonan beliau belum sempat disiapkan.

2. Bruce Lee dalam filem 'Game of Death'

bruce lee game of death

Kisah bagaimana produksi filem 'Game of Death' cuba menamatkan juga filem tersebut, tanpa kehadiran bintang kung-fu terkenal Bruce Lee - merupakan satu kisah legenda dalam industri hiburan Hollywood.

Sebelum kematian beliau, mendiang Bruce Lee hanya sempat melakonkan kira-kira 100 minit adegan 'Game of Death' yang diperlukan dalam skrip. Apatah lagi semasa pengambaran, Bruce Lee mengalihkan komitmen beliau untuk menyiapkan dahulu filem 'Enter the Dragon' bagi pasaran antarabangsa.

Produksi 'Game of Death' terhenti untuk beberapa ketika, sebelum studio penerbitannya memilih untuk meneruskan pengambaran dengan menggunakan bermacam cara luar kotak. Apa yang kita tahu, wujud dua versi filem 'Game of Death' yang berbeza, versi 1972 yang lebih mirip dengan visi asal Lee serta versi 1978 yang disiapkan oleh Golden Harvest, berdasarkan kepada olahan semula lakon layar Lee.

Versi tahun 1972 dianggap sebagai sebuah filem tidak lengkap dan 1978 dianggap sebagai filem yang selesai pengambarannya.

Bagi menggantikan Bruce Lee, perubahan besar-besaran kepada skrip asal dilaksanakan. Termasuklah sub-plot di tambahan mana watak yang sepatutnya dimainkan Lee, dikatakan perlu menjalani pembedahan plastik pada wajah bagi memperjelaskan kenapa wajah watak tersebut berubah dalam jalan cerita.

3. Brandon Lee dalam filem 'The Crow'

the crow brandon lee

Jika ayahnya Bruce Lee meninggal dunia akibat penyakit semasa pengambaran, malangnya Brandon Lee anak kepada Bruce Lee pula terbunuh akibat kemalangan semasa pengambaran filem kultus 'The Crow.'

Pada awalnya pasukan produksi memilih untuk menamatkan terus pengambaran filem itu, akibat daripada insiden yang disebabkan kecuaian pasukan prop filem tersebut.

Akhirnya mereka memilih untuk menggunakan khidmat seorang pelakon lagak ngeri bernama Chad Stahelski, rakan baik Brandon Lee yang mempunyai ciri-ciri tubuh serupa beliau untuk melakonkan adegan yang masih tertunggak.

Dengan menggunakan tubuh Stahelski, kru visual kesan khas menggunakan perisian komputer untuk 'menampalkan' wajah Lee pada tubuh Stahelski yang dipadankan - hasilnya boleh dikatakan cukup memuaskan untuk kesan khas yang dibuat berdasarkan teknologi tahun 1993.

Hasil pengalaman berlakon dalam filem tersebut menjadi batu loncatan Stahelski untuk bergerak dalam industri filem Hollywood, khasnya dalam genre filem aksi. Kini Stahelski terkenal sebagai pengarah utama kesemua filem 'John Wick', lakonan Keanu Reeves.

4. Paul Walker dalam filem 'Furious 7'

paul walker furios fast meinggal dunia

Kematian mendiang Paul Walker akibat kemalangan kenderaan, mengejutkan peminat siri filem 'Fast and Furious'. Lebih malang, insiden itu berlaku semasa Walker sedang dalam pengambaran filem ketujuh 'Furious 7'.

Ekoran daripada perlunya merombak semula semua perancangan dan skrip yang ditulis, perkara paling terkesan adalah rombakan semula kepada penamat filem tersebut yang perlu memberikan noktah penting kepada penglibatan Walker dalam siri itu.

Watak Walker iaitu 'Brian O'Conner' tidak dimatikan, sebaliknya digarap membuat keputusan untuk menjauhkan diri daripada dunia jenayah yang mereka sertai serta mahu menumpukan hidup kepada keluarga.

Untuk mendapatkan adegan tambahan bagi memenuhi perubahan besar-besaran ini, dua adik beradik kepada Paul iaitu Cody dan Caleb Walker dijadikan pelakon pengganti dan wajah asal Paul yang diambil daripada arkib rakaman yang ada, ditampalkan pada wajah kedua-duanya.

Beberapa minit akhir filem 'Furious 7' walaupun ditulis sebagai penamat kepada watak fiksyen tersebut, sangat jelas sebenarnya merupakan penghormatan terakhir kepada aktor sebenar yang memainkan wataknya.

5. Heath Ledger dalam filem 'The Imaginarium of Doctor Parnassus'

heath ledger imaginarium doctor parnassus

Seorang pelakon yang sangat berbakat, kematian Heath Ledger merupakan satu kerugian besar kepada industri hiburan.

Lakonan beliau dalam filem The Dark Knight serta filem bertemakan homoseksualiti 'Brokeback Mountain' menunjukkan kemampuan sebenar beliau, namun apakan daya tekanan hidup membawa mendiang kepada penggunaan dadah sehingga Ledger meninggal dunia akibat pengambilan dadah secara berlebihan.

Semasa kematian beliau yang berlaku pada 22 Januari 2008, Ledger sedang sibuk menjalani produksi filem 'The Imaginarium of Doctor Parnassus', sebuah filem fantasi arahan pengarah British, Terry Gilliam.

Pendekatan yang diambil produksi filem adalah dengan mengubah sedikit kaedah filem itu berlangsung, agar tiga pelakon tambahan iaitu Johnny Depp, Jude Law dan Colin Farrell dapat mengambil alih tugas yang ditinggalkan Ledger - tanpa rombakan besar-besaran dijalankan ke atas skrip.

Ini kerana Ledger sebelum kematiannya, sempat menyiapkan babak-babak penting yang mampu menghubungkan jalan ceritanya dengan rapi.

Sebagai penghormatan terakhir kepada mendiang Ledger; Depp, Law dan Farrell kesemuanya menghadiahkan gaji yang mereka terima menghabiskan filem tersebut kepada anak perempuan Ledger, untuk digunakan sebagai dana pendidikan anak mendiang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)