Bagi kaki filem, menonton filem di sama ada di pawagam atau 'pawagam' sendiri di rumah sudah menjadi satu rutin kemestian.

Kemajuan teknologi yang digunakan bagi membolehkan kita menonton filem juga sudah menjadi sangat matang, sehinggakan kita tidak lagi perlu keluar rumah untuk menonton filem dalam resolusi yang sangat tinggi- sebaliknya besar kemungkinan semuanya sudah tersedia di hujung jari. 

Bagaimanapun, untuk tiba ke tahap kini pelbagai dugaan dan cabaran perlu ditempuhi generasi terdahulu. Jika dilihat semula hanya 10 ke 20 tahun ke belakang, ternyata besar perbezaan kaedah masyarakat kita menonton filem. Berikut adalah lima memori paling diingati penulis - anda pula bagaimana?

1. VCD tukar disc tengah cerita

filem format vcd

Sebelum wujud cakera Blu-ray, sebelum adanya DVD, rakyat Malaysia perlu bergantung kepada cakera jenis VCD bagi menonton filem. 

VCD pula tidak mampu menyimpan sebuah filem dalam satu keping, jadi filem yang perlu ditonton akan dibahagikan kepada dua keping cakera. Jika filem itu mempunyai durasi sehingga 3 jam seperti filem Hindi - 3 keping. 

Bayangkan, kita tengah sedap khusyuk menonton tiba-tiba video terhenti. Siapa yang nak bangun masukkan cakera no.2 untuk sambung filem? Tidak ada siapa nak. Biasanya kalau menonton kawan, waktu inilah kita akan mengungkit semua bantuan dan pertolongan yang dah kita lakukan. 

Sehinggalah ada seorang secara sukarela bangun menawarkan diri untuk menukar cakera supaya filem boleh dimainkan semula.

2. Panggung wayang boleh merokok

merokok dalam pawagam

Sebelum wujud panggung wayang berbentuk francais yang dapat kita lihat sekarang, majoriti pawagam dikendalikan oleh syarikat-syarikat persendirian. 

Oleh sebab itulah kualiti di antara pawagam ke pawagam sekitar 20 ke 30 tahun dahulu, tidak ada standard daripada segi kendaliannya. Ada pawagam yang dapat kita lihat kurang terjaga, tetapi menawarkan harga tiket paling murah.

Bila dah jadi yang paling murah, penyelenggaraannya juga agak cincai-boncai. Ada pawagam yang membenarkan penonton merokok semasa tayangan berlangsung, walaupun kita duduk dalam keadaan berdingin hawanya.

Puntung rokok bersepah atas lantai, mungkin hanya akan disapu sekali sehari pada detik penutupan pawagam hari itu. Tak tahulah bagaimana rasanya pengalaman penonton bagi penonton yang tak merokok. 

Bagi yang merokok - menonton filem, dalam suasana sejuk dan siap merokok memang nikmat betul la.

3. Wayang drive thru

panggung wayang pandu lalu

Sebelum TV dan pemain cakera/pita video menjadi lebih berpatutan harganya, bagi segelintir rakyat Malaysia - menonton filem di pawagam yang dibuat khas di kawasan parkir kereta merupakan satu pemandangan biasa.

Kita masuk dengan kereta, memilih 'spot' sudut tontonan terbaik dan mula menonton wayang walaupun kualiti visualnya hahaha, layak dikatakan rendah sekali tayangannya. Gambarnya kabur dan terlebih cerah.

Audionya pula disalur menerusi pembesar suara utama. Bagi sesetengah pengusaha wayang pandu lalu ini, mereka juga membekalkan pembesar suara yang boleh diletakkan dalam kereta tetapi bergantung dengan kedudukan parkir kereta kita - pembesar suaranya masih bersambung dengan wayar.

Enjin perlu dimatikan. Tingkap perlulah dibuka. Duduklah kita dalam kereta selama hampir 2 jam menonton filem yang kadangkala tak jelas apa berlaku sebenarnya.

4. Video stuck tengah cerita

kesan khas vhs tape video dulu dulu

Bila komputer dah mula jadi satu perkara biasa, ramai orang mula menggunakan komputer untuk menonton filem menggunakan format VCD.

Susah tau nak tonton VCD dalam komputer dulu-dulu. Dulu mana ada sistem autoplay. Kita perlu ada perisian khas. Bila dah masukkan cakera, buka perisian, tekan 'Open' > 'Select Folder' dan pilih failnya yang biasanya tak dipaparkan dengan ikon yang betul. Kadangkala mudah, kadangkala susah prosesnya. 

Komputer 20 tahun dahulu pula sangat manja. Mudah betul hang. Bila hang, apa nak buat? Cuba keluarkan VCD, masukkan semula VCD tu dan tengok bersambung tak filem. Jika tak biasanya perlu restart komputer kerana keseluruhan komputer dah terhenti berjalan. 

Kita tengah layan cerita sedap, tiba-tiba gambar terhenti - memang rasa kecewa habis. Tekan CTRL-ALT-DELETE tak ada reaksi. Tekan-tekan papan kekunci pun tak jadi. Tungguhlah komputer mula semula.

5. Audio dan video tak selari, resolusi pula rendah 

filem resolusi rendah 3gp

Dalam era di mana video beresolusi tinggi sudah mampu disalurkan hanya dengan rangkaian internet - tergelak penulis bila membayangkan bagaimana peminat filem satu ketika dulu cukup berpuas hati menonton filem dalam resolusi 352x240 piksel sahaja.

Jika nak dikira berdasarkan format HD, boleh kita kata kualiti VCD adalah 1/5 HD. Tetapi dengan gambar pecah-pecah itu jugalah rakyat Malaysia berulang kali menonton filem kesukaaan kita semua. Tak mengambil kira saiz skrin TV atau monitor kita satu ketika dulu yang standardnya hanyalah 14 inci. 

Anehnya - dengan skrin kecik sebegitu pun, 15 orang boleh tengok satu filem. Zaman sekarang, telefon pintar ada skrin saiz 6 inci untuk tatapan seorang pun rasa tak puas.

Kalau kita ni jenis tak pandai jaga VCD, selalu terbiar sehingga bercalar bahagian permukaannya - habislah. Nanti adalah gambar jadi sangkut, pecah atau lebih malang tetap berjalan, tapi video dengan audionya tak selari.

Gambar dah meletup, bunyi bom baru keluar 3 saat kemudian. Belum muka mulut, suara pelakon menjerit dah kedengaran.

Begitulah berbezanya lagak rakyat Malaysia menonton filem digital dulu kira-kira 20 ke 30 tahun lepas. Jika anda tak pernah rasai semua kepayahan ini, panjatkanlah rasa syukur setiap kali menonton filem secara strim video. Pilih, tekan, terus dapat tonton.

Bezanya generasi dulu dengan sekarang, orang dulu mudah nak putuskan filem mana nak ditonton. Zaman sekarang, 30 minit menelaah senarai filem pun belum tentu dapat tentukan filem mana nak ditengok.

iklan


Hakcipta iluminasi.com (2017)