Oleh pada 09 Apr 2018 kategori

Kredit foto: maskulin.com.my

Selepas empat hari tayangan di Malaysia dan Brunei, filem sensasi, Dukun berjaya mengumpul kutipan tiket lebih RM6.2 juta!

Menurut Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, filem itu mencatat sejarah tersendiri kerana pemamer atau pemilik pawagam menayangkannya 34 kali sehari atas respon baik yang diterima daripada penonton.

jumlah kutipan mengejutkan filem dukun selepas 4 hari tayangan 2

Kredit foto: Instagram Astro Shaw

"Setakat ini, Dukun mencipta sejarah peribadi buat Astro Shaw baik daripada segi kutipan hari pertama dan keempat hinggalah ditayang lebih 30 kali sehari oleh pemamer.

"Malah, filem ini menduduki tangga pertama carta pawagam mengatasi filem antarabangsa.

"Terima kasih atas sokongan 'kaki wayang' yang 'turun' ke pawagam. Tidak terkecuali artis yang tanpa berbelah bagi berkongsi pengalaman mereka menonton filem ini menerusi laman sosial," katanya memetik laporan BH Online.

Dukun mendapat sokongan penuh rakan selebriti, antaranya Nabila Huda, Azhan Rani dan Fathia Latiff.

Malah, video seram perempuan berkebaya merah yang dihasilkan untuk publisiti filem arahan Dain Said itu, disebarkan seminggu sebelum tayangan filem ini di pawagam, sehingga kini meraih lebih 30 juta tontonan.

Mengulas sambutan hebat yang diterima, Najwa berkata, pihaknya teruja dengan inisiatif yang diberikan pelbagai pihak, justeru menyeru kesemua netizen yang masih belum menyaksikan filem ini di panggung supaya segera hadir ke pawagam berdekatan.

Dukun yang diinspirasikan daripada kisah benar, akhirnya ditayangkan kepada penonton selepas 12 tahun terperap, bermula 5 April lalu di 133 pawagam di seluruh negara termasuk Brunei.

Berkisar tentang ahli politik, Datuk Jefri, lakonan Adlin Aman Ramlie yang mendapatkan bantuan Diana (Datin Seri Umie Aida) untuk menjadikan dirinya kebal, selain ingin meraih masa depan yang cerah dalam bidang politik.

Antara lain dilakonkan nama-nama hebat seperti Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan, Elyana dan Faizal Hussein.




Hakcipta iluminasi.com (2017)