kutipan kl special force selepas 10 hari tayangan yang mengejutkan 1

Kredit foto: Instagram KL Special Force

Penerbit, Datuk Yusof Haslam, mahu filem arahan anaknya, Syafiq Yusof, 25, iaitu KL Special Force terus memungut kutipan tinggi biarpun terpaksa berdepan dengan persaingan beberapa filem antarabangsa lain.

Apa yang pasti, menurut Yusof, sambutan baik yang diterima terhadap filem aksi berkenaan tentu sahaja memberikan semangat buat Syafiq untuk terus tampil dengan karya cemerlang.

Sehingga kini, filem terbitan bersama Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios itu dilaporkan sudahpun mencapai kutipan sebanyak RM9 juta selepas 10 hari tayangan.

kutipan kl special force selepas 10 hari tayangan yang mengejutkan 2

Kredit foto: Instagram Syafiq Yusof

"Sebenarnya, kami tidak meletakkan harapan tinggi dari segi kutipan, namun jumlah yang dicatatkan KL Special Force sehingga kini menunjukkan perkembangan positif. Syafiq sendiri kini dilihat lebih bersemangat untuk mengorak langkah dalam bidang pengarahan," kata Yusof sebagaimana dilaporkan portal BH Online.

Sementara itu, Yusof akui pihaknya belum mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem kedua sebagai kesinambungan kepada karya bercorak kepolisan itu. 

"Buat masa ini, kami belum mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan judul susulannya kerana jadual kerja Syafiq sangat padat. Lazimnya, dia dan abangnya, Syamsul, paling banyak pun hanya akan menghasilkan dua filem setahun.

"Syafiq sendiri mengakui, KL Special Force masih mempunyai beberapa kelemahan kerana filem aksi sebegini memerlukan tempoh selama tiga bulan, sekurang-kurangnya, untuk menjalani penggambaran," ujarnya.

kutipan kl special force selepas 10 hari tayangan yang mengejutkan 3

Kredit foto: Instagram KL Special Force

Menerusi tinjauan di laman sosial mendapati rata-rata peminat mengagumi filem penuh aksi itu, dan ada juga antara mereka yang menganggap buah tangan terbaru Syafiq ini sebagai penanda aras baharu filem tempatan.

KL Special Force dijayakan gandingan mantap barisan pelakon terkemuka seperti Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Esma Daniel, Sabrina Ali, Ramona Zamzam, Puteri Balqis, Josiah Hogan dan ramai lagi.

Mengenai perkembangan lain, Yusof berkata, Syafiq kini sedang menanti masa untuk memulakan penggambaran filem seram terbaru berjudul Misteri Delaila yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

Antara pelakon yang terlibat termasuk Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Rosyam, Elizabeth Tan dan ramai lagi.


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)