Oleh pada 16 Sep 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Syamsul Yusof

Filem bergenrekan seram Islamik, Munafik 2 kini mengatasi rekod Hantu Kak Limah (HKL) sekaligus menjadi filem dengan kutipan tertinggi dalam industri perfileman tempatan dengan pungutan sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari tayangan sahaja!  

Sebelum ini Hantu Kak Limah mengumpul RM35 juta selepas tiga minggu berada di pawagam.

Pengarahnya, Syamsul Yusof, menerusi laman Instagram, meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang dianggap sebagai fenomena 'tsunami' filem melayu itu.

tahniah 17 hari tayangan akhirnya munafik 2 atasi kutipan hantu kak limah 2

Kredit foto: Instagram Syamsul Yusof

"Mencecah kutipan RM40 juta hanya dalam 17 hari tayangan. Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia. Bukan mudah untuk filem Melayu capai ke tahap ini. Tsunami filem Melayu.

"Alhamdulillah dan terima kasih. Majulah industri filem Malaysia," tulisnya.

Terdahulu, naskhah terbitan Skop Productions dan President Productions itu mencatat kutipan tayangan awal 2.05 juta, diikuti 21.6 juta dalam empat hari dan RM35 juta dalam tempoh 12 hari.

Menurut Penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam, kutipan tersebut meliputi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Munafik 2 yang menemui penonton sejak 29 Ogos lalu, menelan kos pembikinan sebanyak RM2.9 juta, dibintangi barisan pelakon ternama seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Mawi.

Filem Munafik pertama pada tahun 2016 memungut kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.




Hakcipta iluminasi.com (2017)