Bagi seorang pelakon, peluang untuk melakonkan watak utama menjadi idaman setiap individu dalam karier mereka.

Memegang watak utama memberikan mereka peluang untuk mendapatkan watak terbaik, peluang melakonkan babak paling penting serta menjadi figura yang menggerakkan jalan cerita meninggikan peluang untuk watak itu selamat dalam penceritaan.

Tetapi ada juga aktor yang kurang bernasib baik seringkali memainkan watak yang dimatikan lebih awal, gagal bertahan sehingga ke hujung - walaupun mereka sendiri merupakan nama besar dalam industri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima pelakon paling kerap terbunuh dalam filem yang dibintangi mereka. Oleh kerana kita membincangkan tentang kematian dalam filem - ada banyak spoiler dalam senarai ini ya.

6. Charlize Theron

charlizetheron 339445

Ada beberapa orang aktor lama yang sebenarnya duduk lebih tinggi berbanding Charlize Theron dalam senarai ini, tetapi kami rasakan beliau perlu diletakkan dalam senarai ini kerana Theron adalah pelakon wanita paling berprofil tinggi kerap mati dalam filem lakonannya.

Agak mengejutkan bukan? Pelakon cantik ini telah beberapa kali memainkan watak yang akhirnya terbunuh dengan kejam seperti watak yang dimainkan beliau dalam filem Prometheus, di mana dia mati dihempap kapal angkasa.

Selain itu watak utama yang dimainkan Theron dalam filem 'Monster' terbitan tahun 2003 juga menemui penamat yang kurang menyenangkan, setelah mati akibat suntikan beracun. Lakonan beliau dalam filem tersebut yang diolah berdasarkan kisah sebenar, meledakkan nama Theron dalam industri melayakkan dia menang banyak anugerah pelakon wanita terbaik utama tahun 2004.

Sepanjang karier, Theron telah 'terbunuh' sebanyak 17 kali; penampilan pertamanya sebagai pelakon dalam filem Children of the Corn III juga berakhir dengan kematian.

5. Samuel L. Jackson

mace windu samuel l jackson

Karier Samuel L. Jackson sebagai bintang filem aksi terkenal terus bersinar walaupun Jackson ketika ini sudah pun berusia 73 tahun!

Sepanjang karier beliau yang nampaknya seakan tidak mahu perlahan, Jackson sudah pun diminta mati sebanyak 32 kali dengan kematian beliau dalam filem Avengers Infinity War menjadi antara adegan yang cukup diingati.

Selain itu watak beliau sebagai Mace Windu dalam siri trilogi kedua Star Wars juga berdepan kematian ngeri, selepas dicampak keluar dari tempat tinggi oleh Darth Sidious/Maharaja Palpatine akibat pengkhianatan yang dilakukan Anakin Skywalker.

Bagaimanapun, cara beliau terbunuh dalam filem Deep Blue Sea tetap menjadi antara adegan filem paling lucu/sadis dalam karier beliau.

4. John Hurt

john hurt

Mendiang John Hurt terlibat dalam banyak filem sepanjang karier beliau dan kali terakhir beliau memainkan watak yang dimatikan, sebelum meninggal dunia adalah dalam sebuah filem berjudul 'Damascus Cover', yang turut menjadi penampilan terakhir beliau.

Hurt memegang watak bernama Gilbert Kane dalam filem Alien, yang akhirnya terpaksa mengandungkan anak kepada makhluk asing mengerikan itu sebelum meninggal dunia selepas 'bayi' itu mahu keluar dari perut beliau.

Adegan itu pula dirancang tanpa pengetahuan pelakon lain yang turut terlibat, menjadikan reaksi mereka melihat 'anak makhluk asing' terpacul keluar dari dada beliau adalah reaksi spontan yang benar.

Apa yang melucukan, Hurt muncul melakukan penampulan ringkas watak dan adegan serupa sekali lagi dalam filem parodi 'Spaceballs' - menemui penamat sama. Karier panjang beliau memerlukan Hurt memainkan watak yang dimatikan sebanyak 45 kali.

Adegan beliau ditembak mati dalam filem V For Vendetta menjadi antara adegan paling puas ditonton penulis, ekoran watak yang dimainkan beliau memang patut menerima nasib sebegitu.

3. Lance Henriksen

lance henriksen

Aktor Lance Henriksen mungkin tidak sebesar nama-nama dalam senarai ini, namun beliau membuktikan kebolehan beliau dalam menceburi pelbagai bidang tak kiralah filem, drama televisyen serta permainan video.

Untuk ketiga-tiga medium berbeza itu, watak beliau pernah diminta untuk mati, direkodkan terbunuh dalam filem sahaja sebanyak 51 kali.

Henriksen juga menjadi satu-satunya pelakon yang mempunyai rekod paling unik dalam industri Hollywood; selepas dia pernah memainkan watak yang dibunuh oleh seorang Terminator, seekor Alien dan juga makhluk mengerikan Predator.

Henriksen bertemu 'ajalnya' dalam filem Terminator, mati ditembak oleh Arnold Schwarzenegger, terbunuh akibat kemalangan dalam filem Alien 3 serta ditikam oleh Predator dalam filem Alien vs Predator tahun 2004.

Lance Henriksen juga memegang rekod mati dibunuh Predator beberapa kali, sekali dalam filem yang disebutkan serta dua kali semasa memainkan watak dalam dua judul permainan video berbeza berasaskan filem 'Aliens.'

2. Christopher Lee

christopher lee jfif

Mendiang Christopher Lee kini sangat sinonim dengan watak Saruman yang dimainkannya dalam trilogi filem Lord of the Rings serta Count Dookoo dalam filem Star Wars. Seperti ramai sudah maklum - kedua-dua watak itu menemui tidak kekal sehingga penghujung cerita.

Bagaimanapun bagi peminat filem klasik, nama beliau sebenarnya lebih sinonim sebagai individu yang kerap memainkan watak ikonik Dracula dalam filem - dengan melakukan lebih 10 penampilan sebagai watak itu kesemuanya akhirnya mati terbunuh.

Kematian watak Saruman merupakan antara adegan paling penting perlu ditonton peminat Lord of the Rings, namun pada awalnya disunting keluar daripada versi pawagam filem Return of the Kings.

Hanya selepas desakan peminat serta Lee sendiri yang memboikot filem tersebut kerana tahu adegan itu dipotong, versi-versi seterusnya mula memasukkan kematian Saruman sebagai babak penting jalan cerita. Sepanjang karier beliau, mendiang Christopher Lee terbunuh sebanyak 60 kali kesemuanya.

1. Danny Trejo

danny trejo aktor paling kerap dibunuh dalam filem

Terkenal dengan wajah garang, Danny Trejo pada awalnya lebih kerap memainkan watak-watak jahat sebelum berjaya mengubah kariernya mula terpilih melakonkan watak-watak anti hero.

Seorang aktor yang lebih terkenal sebagai pelakon aksi filem Gred B, Trejo tampak masih meneruskan rentaknya dalam industri tidak henti-henti melakonkan filem. Hanya dalam tahun 2021 saja, Trejo terlibat dalam lebih 10 buah produksi pelbagai jenis - semuanya dilakukan pada usia 77 tahun!

Trejo direkodkan terlibat dalam lebih 400 buah produksi kesemuanya dan ini meninggikan peluang beliau 'terbunuh' dalam filem. Setakat ini, beliau adalah aktor paling tinggi kadar kematian dalam filem dengan 65 kematian kesemuanya - belum mengambil kira produksi yang masih dalam penerbitannya.

Antara lakonan kematian beliau yang paling diingati adalah dalam filem From Dusk Till Dawn (badan cair sehingga hanya tinggal mata), Con-Air (tangan digari pada badan pesawat sehingga tertanggal dari badan) dan Heat di mana dia meminta dirinya dibunuh, ekoran kecederaan teruk yang dialaminya.

Sekiranya selama ini anda merasakan aktor Sean Bean pelakon watak Ed Stark dan Boromir yang cukup terkenal sebagai pemegang watak 'pasti mati' sebagai juara - maaflah, dia masih dibelakang dalam senarai ini; hanya mencatatkan 23 kali kematian filem.

Aktor itu juga sudah menyatakan dia tidak lagi mahu mengambil watak yang perlu mati dalam filem.




Hakcipta iluminasi.com (2017)