Sebut pasal pelakon, kita akan membayangkan individu berwajah tampan dan cantik yang memainkan watak-watak dalam filem atau drama.

Amat jarang sekali kita menceritakan tentang satu kategori pelakon yang sangat penting, namun kurang dikenali - iaitu pelakon watak bukan manusia atau 'creature actor.' Realitinya, ramai pelakon boleh berlakon; tetapi tidak ramai pelakon mampu melakonkan watak makhluk bukan manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bilangan pelakon dalam kategori ini agak kecil serta kurang disebut berbanding pelakon biasa walaupun bakat mereka sangat unik. Berikut adalah lima pelakon 'creature actor' yang lebih terkenal sebagai pelakon bukan manusia dalam kerjaya lakonan mereka.

1. Andy Serkis

andy serkis gollum caesar

Kita mulakan artikel ini dengan nama paling terkenal dalam senarai ini di industri Hollywood - Andy Serkis.

Seorang pelakon dari England, Serkis mula dikenali di seluruh dunia selepas dia menjadi pemain watak Gollum dalam siri trilogi Lord of the Rings. Bagaimanapun Serkis sebenarnya mempunyai karier panjang sebagai pelakon biasa, tetapi pembawaan beliau sebagai watak makhluk bukan manusialah yang diingati ramai.

Serkis turut membawakan watak Snoke dalam siri filem Star Wars serta mengagumkan semua orang sebagai Caesar dalam trilogi 'Planet of the Apes' yang memulakan semula siri klasik tersebut, bagi generasi baru peminat filem.

Lakonannya pula lebih terarah kepada pengadunan teknologi tangkapan gerak, tidak menggunakan kaedah prostetik atau solekan seperti aktor lain dalam senarai ini.

2. Javier Botet

javier botet watak misteri raksasa hantu

Bagi peminat filem seram, anda berkemungkinan besar pernah menonton filem lakonan Javier Botet, tanpa mengenali siapa dirinya.

Ini kerana Botet seorangaktor dari Sepanyol ini kerap terpilih untuk memainkan watak raksasa berikutan tubuh fizikalnya yang unik. Beliau mempunyai ketinggian 2.01 meter serta mengalami penyakit sindrom Marfan, mengakibatkan tangan dan kakinya memanjang dan mengurus.

Keadaan fizikalnya itu dimanfaatkan sepenuhnya Botet, membolehkan dia membintangi banyak filem sebagai raksasa atau makhluk yang menakutkan.

Antara watak paling diingati dimainkan Botet adalah watak utama  trilogi filem seram Sepanyol 'REC', watak makhluk ganjil bernama Mama dalam filem Mama, watak raksasa dalam The Conjuring 2 dan The Mummy.

Botet juga pernah terlibat dalam siri televisyen popular 'Game of Thrones'.

3. Bolaji Badejo

bolaji badelo alien

Nama Bolaji Badejo kurang dikenali sebagai seorang pelakon kerana sepanjang karier beliau sebagai pelakon - dia hanya membintangi satu filem sahaja.

Walau bagaimanapun, lakonan beliau sebagai makhluk asing Xenomorph dalam filem 'Alien' yang diterbitkan pada tahun 1979 terus dirujuk sehingga kini sebagai antara persembahan terbaik watak makhluk dalam filem.

Badejo baru berusia 22 tahun semasa mendapat tawaran melakonkan watak tersebut.

Dia secara tidak sengaja bertemu pengarah Ridley Scott di dalam sebuah bar di London yang pada ketika itu sedang dalam pra-produksi filem Alien. Tubuh tinggi lampai pemuda dari Nigeria itu yang mencecah 2.08 meter menarik minatnya, digunakan sebaik mungkin bagi menghidupkan watak ikonik tersebut.

Badejo tidak berkesempatan untuk terus memainkan watak tersebut dalam filem seterusnya selepas pulang ke negara asal pada tahun 1980. Dia meninggal dunia pada tahun 1992 akibat penyakit abnormaliti dalam darah.

4. Edd Osmond

edd osmond dumbo pelakon

Berlainan dengan majoriti nama dalam senarai ini yang mempunyai fizikal tinggi lampai, Edd Osmond anak kelahiran Wales pada tahun 1992 ini pula hanya mempunyai ketinggian 1.37 meter.

Saiz beliau yang kecil itu membolehkan beliau mendapat tawaran untuk memegang banyak watak makhluk atau haiwan bersaiz kecil, yang memerlukan gerakan lincah.

Osmond menjadi antara tenaga penting di sebalik pembikinan filem animasi Tarzan tahun 2013, filem-filem besar seperti Jupiter Ascending, Maleficent dan Snow White and the Huntsman, sebelum menempa nama sebagai pemain watak utama filem 'Dumbo', di mana dia memainkan watak Dumbo sendiri.

edd osmond dumbo

Sepanjang keseluruhan filem Osmond perlu berfikir dan beraksi sebagai seekor anak gajah, bagi menghidupkan watak tersebut yang akhirnya akan dijadikan rujukan mencipta semua pergerakan Dumbo.

Melihat aksi lakonan beliau yang perlu berjalan 'empat kaki' setiap masa atas tanah sahaja, sudah cukup memenatkan kita.

5. Doug Jones

doug jones creature actor

Nama Doug Jones besar kemungkinan tidak pernah mendengar namanya, berbanding Andy Serkis yang profilnya lebih hebat. Tetapi Doug Jones merupakan ikon utama di kalangan barisan pelakon watak makhluk bukan manusia paling disegani dan diikuti.

Jones terkenal kerana kerap melakukan kolaborasi bersama pengarah terkenal (dan unik) dari Sepanyol, Guillermo del Toro dalam filem-filem yang seringkali menampilkan watak-watak aneh sebagai watak utama ceritanya.

doug jones watak utama

Jones cukup disegani sebagai seorang pelakon yang mampu membawakan watak aneh secara semula jadi walaupun perlu memakai sut dan solekan yang bersifat tradisional, menjulang namanya sebagai antara aktor paling berjaya dalam industri walaupun wajahnya kurang dikenali.

Nama beliau mula dikenali ramai selepas memegang watak dalam filem 'Pan's Labyrinth' dan 'Hellboy'.

Filem 'The Shape of Water' memerlukan beliau memainkan watak seekor (seorang?) makhluk berupa ikan yang jatuh cinta dengan seorang manusia, mematerikan nama beliau sebagai pelakon watak bukan manusia paling unggul dalam industri setakat ini.

'The Shape of Water' merangkul banyak anugerah filem terbaik antarabangsa, dengan kekuatan interaksi antara beliau dengan watak heroin utama filem itu seringkali dipuji, walaupun dia terpaksa berlakon dalam kepanasan akibat pemakaian sut yang tebal.




Hakcipta iluminasi.com (2017)