Oleh pada 04 Sep 2019 kategori

Dalam siri komik watak adiwira Batman, perseteruan watak tersebut dengan penjahat yang seakan cermin kepada dirinya iaitu Joker kerap kali diangkat sebagai tulang belakang jalan cerita paling popular berpengaruh.

Walaupun Batman merupakan seorang hartawan, dibantu teknologi yang hebat serta keupayaan fizikal yang mengagumkan - Joker yang hanya seorang pengganas bermasalah mental, kerap kali mampu menandingi malahan ada kalanya berjaya menguasai hubungan mereka berdua.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berbeza dengan watak penjahat adiwira Batman lain yang mempunyai kekuatan atau peralatan luar biasa, Joker menggugat Batman hanya dengan tawanya serta taktik psikologinya. Oleh kerana itu, watak Joker menjadi antara watak paling sukar untuk dibawa ekoran keperluan untuk mendalami masalah watak tersebut. Sudah banyak filem dan siri memaparkan watak bermasalah ini, tetapi siapakah pelakon terbaik yang pernah menjayakan watak ini dengan sangat baik?

5. Jared Leto (Suicide Squad)

jared leto joker suicide squad

Sejak dari awal lagi watak Joker dalam filem Suicide Squad berhadapan dengan kritikan. Rekaannya yang dilihat terlalu cuba 'try hard' untuk nampak lain, selain daripada wajahnya yang kelihatan dibuat-buat.

Tidak dinafikan Jared Leto merupakan seorang pelakon yang baik tetapi watak Joker dalam filem tersebut seakan-akan tidak mempunyai hala tuju yang jelas daripada segi rekaannya. Apa yang dilihat, oleh kerana kejayaan watak Joker yang dibawa mendiang Heath Ledger yang sah akan menjadi perbandingan - pihak produser memilih untuk menjadikan Joker dalam Suicide Squad seorang yang 'sangat annoying' untuk dilihat.

4. Cesar Romero (Batman : The Movie)

cesar romero joker batman 1966

Diterbitkan sebagai penutup kepada musim pertama siri televisyen Batman, filem 'Batman : The Movie' adalah filem pertama yang menampilkan watak Batman dan Joker, diterbitkan pada tahun 1966.

Watak Joker dalam filem tersebut dilakonkan oleh pelakon terkenal, mendiang Cesar Romero. Bagaimanapun, untuk melakukan perbandingan bagaimana dia melakonkan watak tersebut adalah tidak adil untuk kita menjadikan watak-watak Joker dalam era moden, sebagai penanda aras.

Ini kerana pada ketika itu juga siri Batman agak ringan serta tidak serius jadi pembawaan watak Joker juga perlu mencerminkan tema 'Batman' pada zaman tersebut. Cesar meneruskan karier memegang watak ikonik tersebut, dalam 3 musim siri televisyen - membuat kemunculan dalam 22 episod yang penuh dengan hilai tawa.

3. Jack Nicholson (Batman)

batman nicholson jack

Kontroversi melanda filem Batman arahan Tim Burton sejak mula lagi, selepas Michael Keaton diumumkan bakal membawakan watak adiwira Batman dan jutawan Bruce Wayne dalam filem tersebut - disebabkan reaksi peminat yang merasakan Keaton tidak secocok dengan watak tersebut.

Bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari proses untuk memilih pelakon kepada watak Joker sebenarnya jauh lebih rumit kerana Tim Burton benar-benar mahukan pelakon yang mampu membawakan visi Joker yang diimpikannya.

Nama seperti pelakon komedi Robin Williams serta penyanyi terkenal David Bowie disebutkan, tetapi peminat serta produser filem itu sendiri menyedari hanya satu nama saja layak untuk membawakan watak tersebut - Jack Nicholson, aktor legenda yang pada ketika itu sudah dikenali ramai.

Nicholson mengambil masa yang panjang sebelum bersetuju mengambil tawaran tersebut, bimbangkan kariernya terjejas kerana dia belum pernah berlakon filem sedemikian. Bagaimanapun, pemilihan yang tepat serta lakonan mantap Nicholson menjadi batu asas kepada pembawaan watak-watak Joker selepas itu.

2. Mark Hamill (pelbagai)

mark hamill suara joker luke skywalker

Selain terkenal sebagai pemegang watak Luke Skywalker dalam siri filem Star Wars, Mark Hamill juga dikenali sebagai salah seorang pelakon suara terbaik bagi watak pengganas tersebut, yang telah pun bermula sejak tahun 1992 dalam siri 'Batman : The Animated Series.'

Hamill kemudiannya membawakan watak serupa dalam filem Batman : Mask of the Phantasm serta beberapa filem animasi Batman lain, sebelum kembali meletup dengan penampilan beliau dalam filem animasi 'Batman : The Killing Joke', filem yang memaparkan asal-usul penjahat Joker dan bagaimana dia berubah daripada seorang lelaki biasa, kepada seorang penjahat yang tidak menghiraukan apa-apa.

Selain siri animasi televisyen dan filem, Hamill juga banyak kali terlibat sebagai pelakon suara watak Joker dalam judul-judul permainan video, melakonkan watak tersebut dengan sangat berjaya dalam siri permainan video 'Batman : Arkham Asylum' yang diterbitkan oleh Rocksteady Studio.

1. Heath Ledger (The Dark Knight)

heath ledger joker ikonik oscar

Menerima kritikan selepas disahkan sebagai pelakon watak Joker, mendiang Heath Ledger berdepan cabaran besar pada awalnya hanya untuk meyakinkan orang ramai dia layak memegang watak tersebut.

Bagaimanapun, pada awalnya Ledger sendiri menolak untuk menyertai mana-mana penerbitan filem adiwira walaupun ditawarkan pengarah Christopher Nolan. Hanya selepas menyaksikan garapan filem Batman Begins, barulah pandangan Ledger tentang filem adiwira berubah.

Bagi menjayakan watak tersebut, Ledger mengubah hidupnya; mendalami watak tersebut melalui semua komik yang memaparkan penjahat itu serta melatih dirinya tersenyum dan ketawa. Semuanya dilakukan untuk memastikan watak yang dibawanya berbeza dengan watak Joker lakonan Jack Nicholson, yang menjadi penanda aras beliau.

Lebih terkenal sebagai pelakon filem ringan untuk remaja sebelum itu serta sebuah filem kontroversi melibatkan pasangan homoseksual, mendiang Heath Ledger membuktikan kesungguhannya dengan penataan watak yang sangat diingati - serta berjaya memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik lelaki anugerah Oscar bagi tahun 2009, selepas meninggal dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)