Banyak pihak melihat industri hiburan sebagai satu pilihan karier yang harus dimulakan sejak usia muda, bagi membolehkan perjalanan karier dan nama dibentuk dengan asas kukuh tapaknya.

Apatah lagi ramai yang gemar mengatakan semakin tua seseorang, semakin sukar untuk dia melonjakkan diri sebagai seorang yang popular dan ada nama sebagai seorang penggiat seni. Realitinya ramai nama-nama besar dalam industri hiburan khasnya di Hollywood memulakan karier atau menemui lonjakan yang diperlukan, hanya ketika sudah di pertengahan usia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima nama besar yang berjaya ketika tidak lagi bergelar anak muda.

1. Morgan Freeman (52 tahun)

morgan freeman shawshank redemption

Dek kerana usianya, pasti ramai menyangkakan Morgan Freeman telah mengecapi kejayaan sejak mula. Walaupun begitu, Freeman memulakan karier dari bawah, sebagai pelakon teater dan penari pada tahun 1964 serta memegang watak-watak sampingan dalam penerbitan filem dan drama.

Karier beliau mula meningkat sekitar tahun 1987, selepas persembahan beliau mula diterima baik membuka kepada tawaran-tawan lebih besar. Pada tahun 1989, Freeman akhirnya mencapai kejayaan besar selepas filem komedi lakonan beliau 'Driving Miss Daisy' meletup di pawagam.

Ketika itu beliau berusia 52 tahun. Lonjakan yang diperlukan itu membuka jalan kepada Freeman mencipta nama sebagai pelakon disegani di Hollywood. Antara filem wajib tonton lakonan beliau adalah The Shawshank Redemption, Seven dan Million Dollar Baby.

2. Bryan Cranston (44 tahun)

bryan cranston breaking bad

Kini dikenali sebagai wajah paling ikonik dalam siri TV 'Breaking Bad', Bryan Cranston yang lahir pada tahun 1956 memulakan karier dalam filem, sebagai penyumbang suara kepada siri-siri animasi serta watak-watak kecil dalam siri drama di TV.

Nama beliau mula dikenali selepas memainkan watak dalam siri komedi terkenal 'Seinfeld', memegang salah satu watak sampingan yang muncul dalam 5 episod.

Penampilan itu membawa kepada tawaran untuk Cranston memegang watak utama sebagai ketua keluarga yang kelakar dalam siri klasik 'Malcolm in the Middle' selama 151 episod bermula tahun 2000.

Cranston turut menempa nama kali pertama sebagai pengarah, selepas ditawarkan mengarahkan beberapa episod siri itu.

3. Harrison Ford (35 tahun)

harrison ford karier lewat

Perjalanan karier seni Harrison Ford pasti sukar dipercayai, bagi mereka yang tidak tahu. Aktor yang cukup terkenal sebagai pemain watak ikonik Han Solo dan Indiana Jones ini hanya memulakan karier secara tidak sengaja.

Ford yang menggemari seni pertukangan kayu berkhidmat sebagai seorang pereka set filem, pada mulanya enggan untuk bergelar pelakon serius walaupun pernah menyertai beberapa produksi untuk TV.

Bagaimanapun, pujukan salah seorang produser filem di Universal Studios bernama Fred Roos yang percaya dengan karisma Ford memberikan beliau watak sampingan dalam filem 'American Graffiti' ketika dia berusia 30 tahun, dengan George Lucas sebagai pengarah.

Persembahan baik dalam filem itu mendorong kedua-duanya bekerjasama lagi. Lucas dan Ford meneruskan kesinambungan mencipta filem yang dinamakan sebagai 'Star Wars', yang menjulang nama Ford sebagai aktor besar dalam industri pada usia 35 tahun.

4. Steve Carell (43 tahun)

steve carell the office

Kini dikenali sebagai antara aktor paling besar dalam drama dan komedi, perjalanan karier seni Carell memang berliku-liku. Dia cuba terlibat dalam industri filem selama beberapa tahun sekitar dekad 1980-an namun gagal memecah masuk, membawa dirinya agar lebih fokus sebagai pelakon siri TV.

Pada usia 34 tahun, Carell ditawarkan sebagai pelakon dalam siri TV 'The Dana Carvey Show' yang menjadi batu loncatan kerjaya beliau pada tahun 1996.

Bagaimanapun Carell perlu menunggu lebih 7 tahun sebelum dia mula dikenali sebagai pelakon filem. Watak yang dimainkan beliau dalam filem 'Anchorman' membuka jalan, sebelum nasib Carell mula berubah selepas dua projek beliau terlibat meletup.

Filem 'The 40 Year Old Virgin' dan siri TV 'The Office' menjulang nama beliau sebagai seorang pelakon komedi yang cukup baik, ketika beliau sudah berusia 43 tahun. Walaupun dikenali dengan watak kelakar, Carell turut berkemampuan watak serius seperti dalam filem 'Foxcatcher' dan 'The Big Short' serta suara utama siri animasi 'Despicable Me.'

5. Samuel L. Jackson (46 tahun)

samuel l jackson karier lewat

Nama beliau kini sudah terpahat sebagai satu nama ikonik dalam industri filem Hollywood. Walaupun begitu, Samuel L. Jackson juga terpaksa mengharungi perjalanan sukar dalam mencipta nama yang hanya dikecapi ketika dia sudah berusia lebih 4 dekad.

Lahir pada tahun 1948, Jackson mula terlibat dalam kegiatan aktivis pro-kulit hitam walaupun dalam masa yang sama turut melibatkan diri dalam persembahan muzik dan teater komuniti. Perkenalan beliau dengan aktor Morgan Freeman membuka jalan untuk Jackson melatih dirinya dengan lebih serius.

Bagaimanapun pengarah besar Spike Lee adalah individu yang bertanggungjawab mengenalpasti bakat Jackson, menawarkan beberapa watak kecil untuk dimainkan beliau. Filem 'Jungle Fever' arahan Lee membolehkan Jackson memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik.

Jackson kemudiannya mula bekerjasama dengan seorang lagi pengarah besar Quentin Tarantino, menerusi watak pembantu dalam filem True Romance sebelum Tarantino mencipta watak khas hanya untuk dimainkan Jackson, dalam filem klasik 'Pulp Fiction.'

Filem tersebut yang diterbitkan ketika Jackson sudah berusia 46 tahun, membawa perubahan besar dalam karier Jackson - seterusnya membolehkan Jackson dikenali sebagai nama besar Hollywood, membintangi filem seperti 'Unbreakable', siri filem Star Wars dan filem dalam dunia sinematik komik Marvel.




Hakcipta iluminasi.com (2017)