Produk menjadi identiti utama sesuatu jenama itu dikenali ramai. Sebut tentang sesuatu jenis produk, sudah pasti amat mudah untuk kita mengaitkan produk tersebut dengan jenama yang sudah terkenal.
Hubungan antara jenama dan produk ini sangat penting untuk dipelihara - jadi tidak menghairankan banyak syarikat membelanjakan berjuta ringgit hanya untuk membantu penjenamaan mereka ke atas sesuatu produk terus segar diingatan pengguna.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun ada juga masanya sesetengah jenama terkenal entah kenapa mampu mengeluarkan produk yang langsung tak berkait, malahan tak masuk akal produknya sehingga mampu membuatkan kita menggaru-garu kepala.
1. Lilin berperisa keluaran KFC
Anda biasa makan kentang putar KFC? Penulis agak gemarkannya. Pernahkah anda membayangkan apa akan berlaku kalau krim kentang putar itu atau sos berwarna coklat yang dicurah di atasnya; ditukarkan kepada lilin wangi?
Itulah idea yang difikirkan pengurusan KFC di United Kingdsom selepas mereka melancarkan lilin aroma kuah tersebut. Bagaimanapun, keluarannya terhad hanya 230 unit dikeluarkan. Hmm...boleh bayangkan satu bilik berbau kuah kentang putar.
2. Pelindung matahari KFC
Kekal dengan KFC lagi! Kami tak tahu apa yang cuba dilakukan oleh pengurusan KFC selepas meluluskan pengeluaran krim pelindung matahari SPF30 untuk kegunaan pembeli.
Apa yang membezakan krim keluaran KFC dengan krim-krim lain; pemakai yang memakainya akan mendapati bahagian yang disapukan krim tersebut akan berbau bak ayam goreng KFC yang terkenal.
3. Makanan sejuk beku Colgate
Hanya membayangkan logo Colgate dicetak atas makanan sudah cukup memualkan, belum kita merasainya lagi.
Colgate melancarkan siri makanan sejuk beku yang dinamakan sebagai Colgate Kitchen Entrees pada tahun 1982, bagi pasaran Amerika Syarikat. Produk seperti lasagna daging dan salad dijual dalam kotak yang memaparkan logo Colgate secara besar-besaran.
Nasib baiklah Colgate tidak menjalankan eksperimen seperti apa yang cuba dilakukan KFC. Namun siri produk ini berdepan kegagalan teruk, besar kemungkinan kerana orang ramai takut hendak mencubanya.
4. Siri baju Big Mac
Logo McDonald's sering dicetak atas baju untuk dijadikan hiasan. Tetapi mahukah anda baju yang dicetak dengan gambar burger Big Mac keluaran syarikat itu?
Mungkin anda nak dan anda adalah sasaran McDonald's di Sweden, selepas mereka melancarkan siri fesyen berorientasikan burger Big Mac.
Anda bukan saja boleh mendapatkan baju T, bahkan anda boleh membeli seluar, baju hujan, cadar dan but dihiasi ilustrasi Big Mac berulang.
5. Telefon jenama ESPN
Bagi peminat sukan, ESPN menjadi antara sumber utama paling berkaliber untuk orang ramai mendapatkan laporan terkini berkaitan sukan yang mereka ikuti.
Atas kredibiliti itulah ESPN melancarkan Mobile ESPN, sebuah peranti telefon yang akan menghubungkan terus peminat dengan pelayar kendalian mereka, bagi memastikan semua informasi diterima cepat.
Setiap satu unit Mobile ESPN dijual pada harga $300 dengan yuran langganan di antara $65 ke $225 sebulan. Mobile ESPN dikritik hebat, dihentikan perkhidmatannya tidak sampai setahun selepas pelancaran.
6. Pewangi Zippo
Bagi remaja sekolah yang baru nak belajar merokok, memiliki Zippo merupakan satu kebanggaan besar. Apatah lagi apabila ada pemetik api Zippo ni, kita boleh buat bermacam gaya 'cool' untuk menyalakan rokok.
Idea itu dipanjangkan lagi untuk cuba meliputi wanita, selepas Zippo melancarkan pewangi yang dinamakan sebagai Zippo The Woman pada tahun 2012, dengan bau bunga-bungaan harum. Bentuk botolnya?
Sama seperti sebuah pemetik api Zippo yang asli.
7. Microsoft dan bermacam produk aneh
Untuk yang terakhir, kami tinggalkan anda dengan siri produk paling aneh pada kami. Kami yakin anda tahu tentang Microsoft, gergasi pengkomputeran yang telah mengubah cara kita menggunakan komputer.
Tahukah anda pada tahun 2009, semasa pelancaran sistem operasi Windows 7 di Jepun - Microsoft dan Burger King telah bekerjasama melancarkan menu baru 'Windows 7 Whopper' di mana burger Whopper dihidangkan dengan 7 kepingan daging?
Sebelum itu, Microsoft juga melancarkan siri tisu tandas Windows Vista Ultimate lengkap dengan cetakan penerangan berkenaan fungsi perisian sistem operasi itu di atas kertas tandas tersebut.
Setiap kali Microsoft menganjurkan persidangan atau konvensyen melibatkan pembangunan perisian, mereka juga akan menghidangkan Microsoft Soda bermacam jenis perisa bagi menghilangkan dahaga peserta - secara percuma.
Dua produk aneh yang berjaya
Berbeza dengan semua produk dalam senarai ini serta jenamanya yang agak di luar kebiasaan, ada dua produk yang layak dikatakan berjaya memecah stigma yang ada serta kekal menjadi relevan sehingga kini.
Yang pertama adalah usaha pengarah kilang syarikat pengeluar minuman keras Guinness yang mahu memudahkan semakan fakta tentang rekod-rekod dunia yang pernah dicatatkan, selepas dia gagal menemui jawapan kepada perbincangan yang disertainya.
Hasilnya syarikat Guinness menjemput beberapa orang penulis dan editor untuk mencipta kompilasi fakta dan figura yang bakal dijilidkan. Kini 'Guinnes Book of Records' kekal sebagai standard dalam pengumpulan rekod-rekod dicatatkan manusia.
Contoh kedua pula adalah Michelin Guide yang digunakan untuk mengklasifikasikan kualiti restoran yang ada. Pada awalnya Michelin Guide keluaran syarikat tayar Michelin hanyalah untuk mengumpulkan informasi berkenaan bengkel, senarai mekanik, hotel dan stesen minyak di Perancis bagi membantu pemandu.
Senarai mereka mula berkembang turut sama merekodkan restoran-restoran yang ada bagi memudahkan orang ramai berkunjung.
Melihat populariti senarai restoran dalam Michelin Guide, Michelin mula memberikan ulasan serta skor bintang kepada restoran yang baik kualitinya. Pada awalnya hanya restoran yang disyorkan akan diberikan satu bintang sebelum sistem skor mereka ditukarkan kepada 1, 2 atau 3 bintang.
Kini skor Michelin menjadi antara buruan utama restoran dunia. Dah dapat satu bintang pun dah cukup gah untuk reputasi restoran tersebut.
Begitulah kisah ringkas bagaimana sebuah syarikat minuman keras dan sebuah syarikat tayar, mula sinonim dengan fakta dunia serta kualiti restoran yang ada.