5 aktor paling banyak watak lejen

Menjadi pelakon di Hollywood dilihat sebagai satu kerjaya yang cukup menguntungkan, dengan pendapatan yang diperolehi mampu mencapai amaun yang tak mampu dijangkau individu-individu lain walau bekerja bertahun lamanya.

Bagaimanapun, ada kalanya wang ringgit bukanlah menjadi ukuran kerana bagi sesetengah pelakon, dapat memegang watak yang akan terus diingati ramai adalah sasaran utama sementara wang ringgit adalah bonus.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 pelakon lelaki yang paling banyak memegang watak bertahap lehen dalam filem popular di peringkat antarabangsa yang kami rasakan sesuai untuk dikongsikan bersama-sama.

1. Liam Neeson

liam neeson

Liam Neeson dilihat antara aktor yang paling versatil dan cukup berjaya dalam memilih watak. Mula menjadi ikonik selepas lakonannya dalam filem Darkman sebagai watak utama, Liam meletakkan dirinya sebagai lejen selepas membawakan watak Oskar Schindler dalam filem 'Schindler's List.'

Dia menjadi salah satu penyelamat kepada filem Star Wars Episode I The Phantom Menace berikutan lakonannya sebagai Qui Gon Jinn yang disukai ramai dan menjadi pelakon aksi hebat dalam trilogi 'Taken.' Liam juga menyumbangkan suaranya untuk salah satu watak paling disukai remaja dan kanak-kanak, apabila membawa watak singa bernama Aslan dalam siri The Chronicles of Narnia.

2. Hugo Weaving

hugo weaving

Kita mengenali dia sebagai Agent Smith, program komputer yang perlu menghapuskan Neo dalam trilogi The Matrix dan sebagai Elrond, ketua kaum Elf yang mempunyai pengaruh besar dalam peperangan dalam trilogi Lord of the Rings. Selain itu, Hugo Weaving juga memberikan impak besar melalui lakonannya sebagai V dalam filem V for Vendetta, sehingga menjadi ikutan ramai aktivis dunia. Beliau juga menyumbangkan suara beliau sebagai ketua penjahat Decepticon dalam siri filem Transformers.

3. Harrison Ford

harrison ford

Watak yang dipegang Harrison Ford rasanya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Bertanggungjawab mempopularkan dua watak paling ikonik dalam industri perfileman dunia, Harrison meninggalkan legasi Han Solo dan Indiana Jones dalam 8 filem kesemuanya, setakat ini. Harrison Ford juga terkenal sebagai pemegang watak Presiden James Marshall dalam filem Air Force One dan juga watak Jack Ryan, dalam siri adaptasi novel Tom Clancy; Patriot Games dan Clear & Present Danger.

Pada 2017, Harrison kembali membintangi watak ikonik 'Rick Deckard' dalam filem 'Blade Runner 2049' disamping Ryan Gosling, kesinambungan kisah yang dipaparkan dalam filem 'Blade Runner' yang menjadi acuan kepada banyak filem sains fiksyen sehingga kini.

4. Christoper Lee

christopher lee

Mendiang Christopher Lee rasanya cukup diingati sebagai pemegang watak Saruman dalam tirlogi filem Lord of the Rings dan dua filem The Hobbits. Begitupun, sebelum memegang watak Saruman, Christopher Lee lebih dikenali dengan memegang watak sebagai Dracula dalam pelbagai filem daripada 1958 hingga 1972. Dia adalah aktor yang bertanggungjawab mempopularkan Dracula yang mempunyai taring dalam filem. Selain itu, Christopher Lee juga menjadi ikon perfileman selepas memegang watak jahat Dr. Fu Manchu dalam pelbagai filem adaptasi novel karya Sam Rohmer.

5. Gary Oldman

gary oldman

Pelakon yang lebih gemar membiarkan lakonannya sendiri bersuara untuk dirinya, Gary Oldman merupakan antara pelakon yang sukar untuk distereotaipkan lakonannya. Lakonannya sebagai polis jahat dalam filem Leon the Professional dan penyanyi kumpulan Sex Pistols, Sid Vicious dipuji ramai peminat filem. Kerap bertukar-tukar watak, banyak lakonannya sebagai penjahat diistilahkan sebagai klasik termasuklah dalam filem 'True Romance', 'Air Force One' dan 'The Fifth Element.'

Bagi generasi muda, pembawaan Gary Oldman sebagai watak Sirius Black dalam siri Harry Potter kerap diingati kerana Sirius memainkan peranan yang cukup besar dalam filem tersebut. Selain itu, Gary juga membawa peranan penting sebagai Jim Gordon dalam ketiga-tiga filem trilogi Dark Knight bersama Christian Bale.




Hakcipta iluminasi.com (2017)