Gaya hidup mewah sering menjadi imej yang dipaparkan selebriti-selebriti, tak kiralah tempatan atau antarabangsa. 

Bagaimanapun kemewahan yang ditonjolkan datang dengan usaha serta penat lelah yang perlu dijalani terlebih dahulu. Membina nama besar perlu bermula dari bawah.

Berikut adalah lima pelakon yang berani mengambil risiko yang akhirnya membawa hasil besar pada tahap kewangan dan perjalanan kerjaya mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Harrison Ford (Star Wars Episode 1 : A New Hope)

harrison ford star wars

Nama Harrison Ford kini gah sebagai pemain banyak watak ikonik dalam industri filem, namun kerjayanya tetap bermula selepas memegang watak 'Han Solo' dalam filem Star Wars pertama.

Filem tersebut pada ketika itu tidak membariskan pelakon-pelakon terkenal sebaliknya banyak bergantung dengan barisan pelakon yang belum mencipta nama, termasuklah Ford sendiri. 

Dalam perjanjian awal, Ford ditawarkan watak tersebut dengan gaji sebanyak $1,000 (RM4,188) seminggu. Dia menolaknya pada peringkat awal sebelum bersetuju - membolehkan dia bekerja selama 10 minggu memberikannya pendapatan sebanyak $10,000 keseluruhan (RM41,880).

Jumlah ini bagaimanapunbelum mengambil kira peruntukan royalti sebanyak 0.5% yang diterima.

Barisan pelakon filem itu bernasib baik filem itu meletup, memberikan Ford pendapatan tambahan $2 juta hasil daripada kutipan tiket yang memberangsangkan.

2. Brad Pitt (Thelma and Louise)

brad pitt thelma louise

Terpilih menjadi pelakon pembantu dalam filem yang dibarisi dua nama besar iaitu Susan Sarandon dan Geena Davis dalam filem 'Thelma and Louise', Brad Pitt baru berusia 26 tahun ketika itu masih mencari rentak dalam industri filem sekitar tahun 1991.

Selepas lebih satu dekad karier drama dan filem yang disertai gagal membuka peluang besar kepadanya, Pitt memilih untuk menerima tawaran filem tersebut walaupun hanya dibayar $6,000 (RM25,130) untuk keseluruhan produksi.

Filem tersebut membawa kejayaan besar kepada semua yang terlibat, menerima enam pencalonan di Anugerah Academy dan memenangi anugerah lakonlayar terbaik.

Wajah kacak Brad Pitt mula menjadi igauan gadis-gadis selepas itu menjadi batu loncatan untuk beliau memulakan karier sebagai seorang pelakon berkaliber besar di Hollywood.

3. Jamie Lee Curtis (Halloween)

jamie lee curtis myers

'Halloween' kini merupakan filem ikonik yang dikatakan acuan kepada banyak filem-filem misteri era moden.

Digarap sebagai sebuah filem berbajet rendah dengan peruntukan keseluruhan hanya sebanyak $325,000 - filem itu bukan saja memperkenalkan kita dengan penjahat terkenal Michael Myers tetapi turut sama melonjakkan karier Curtis sebagai bintang filem ternama Hollywood.

Untuk berlakon dalam filem tersebut, Curtis bersetuju untuk menerima bayaran sebanyak $2,000 seminggu (RM8,375) dengan produksi selama 4 minggu, memberikan beliau $8,000 (RM33,500) untuk keseluruhan kerja.

Dia juga diberikan hanya $200 untuk membeli sendiri kostum yang dirasakan sesuai dengan wataknya.

Filem tersebut selamat ditayangkan pada tahun 1978, menjadi filem pertama dilakonkan Curtis - berjaya mengutip $45 juta kutipan.

Curtis meneruskan momentum, membintangi beberapa filem seram selepas itu dan siri filem 'Halloween' pula masih diterbitkan sehingga kini.

4. Hillary Swank (Boys Don't Cry)

boys dont cry hillary swank

Kisah bagaimana Hillary Swank menukarkan karier beliau harus dipelajari setiap individu.

Ketika baru berusia 24 tahun, Swank membuat keputusan menerima tawaran sebuah produksi filem yang memaparkan isu sensitif berkaitan transgender.

Swank berharap risiko membawa watak tersebut akan mengubah kariernya, yang  bergelut dengan produksi drama TV serta tidak ke mana-mana.

'Boys Don't Cry' meletup walaupun filem tersebut berdepan kekangan bajet dengan nama Swank memenangi kategori pelakon wanita terbaik Anugerah Akademi, mengangkat status beliau sebagai penggiat seni.

Untuk keseluruhan produksi filem tersebut, Swank hanya dibayar $3,000 (RM12,565) tetapi nyata pengorbanan yang beliau persetujui setimpal dengan ledakan karier yang telah beliau terima.

5. Mel Gibson (Mad Max)

mad max mel gibson dc294

Mel Gibson merupakan antara nama besar yang benar-benar memulakan karier dari bawah.

Untuk watak pertama yang dimainkan dalam filem berjudul 'Summer City', Gibson hanya menerima bayaran $400 (RM1675)!!

Walau bagaimanapun, filem 'Mad Max' menukarkan bukan saja karier beliau bahkan pengarah filem tersebut George Miller sehingga menjadi nama besar. 

Difilemkan dengan hanya bajet sekitar AUD400,000 (RM1.2 juta), 'Mad Max' ditayangkan dalam tahun 1979, berjaya mengutip lebih $100 juta (RM418 juta) hasil kutipan di pawagam seluruh dunia.

Mel Gibson hanya dibayar $15,000 (RM62,800) sebagai bintang utama filem, memaksanya untuk terus berjimat cermat dalam hidup untuk beberapa tahun berikutnya masih bergelut dalam industri filem Australia.

Namun legasi filem tersebut mula menjulang namanya.

Perjalanan karier Gibson mula berubah, berjaya mendapat bayaran melebihi $1 juta (RM4.18 juta) kali pertama memainkan watak sama dalam filem ketiga trilogi Mad Max iaitu 'Beyond Thunderdome.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)