Oleh pada 26 Jul 2023 kategori

Filem biopik biasanya akan menjadikan tokoh yang telah meninggalkan impak besar dalam sejarah sesebuah masyarakat, sebagai topik utama.

Negara kita juga tak ketinggalan telah berjaya menghasilkan filem-filem dalam genre sebegini, dengan terbitan terbaru 'Anwar : The Untold Story' mendapat sambutan baik dari kalangan ahli masyarakat, walaupun membawakan tema berunsurkan politik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun disebabkan pelbagai faktor kekangan, banyak juga projek-projek filem biopik yang telah diusahakan gagal ke panggung untuk proses tayangan. Berikut adalah lima filem biopik kita yang terbengkalai, nyawa-nyawa ikan atau mungkin masih ada sinar harapan disiapkan.

1. 'P.Ramlee'

filem biopik p ramlee fbpic 030323

Sayang sekali sehingga ke hari ini negara kita masih belum dapat menonton sebuah filem biopik yang mengisahkan tentang seniman legenda negara kita Tan Sri P. Ramlee.

Bukannya akibat kekurangan usaha mencuba, tetapi entah kenapa projek melibatkan Allahyarham kelihatan sukar untuk diselesaikan.

Cubaan paling jati pernah dimulakan bagi memfilemkan jalan hidup beliau, diumumkan pada tahun 1983.

Dirancang oleh rumah penerbitan filem Segugus Filem serta membariskan pengarah muda (ketika itu) bernama Yusaini Amir, mula menimbulkan isu berkenaan kredibiliti kerana kebolehan beliau yang diragui. 

Diumum pada tahun 1983, filem ini terkontang-kanting dalam pembikinan, dikatakan berpunca daripada hasil kualiti yang tidak memenuhi sasaran.

Selepas lama menyepi tanpa berita, wartawan mula mempersoalkan apa yang telah berlaku tetapi malangnya tidak ada lagi jawapan daripada mereka yang terlibat dalam pembikinannya.

2. Empayar : Dendam Tamingsari

empayar dendam tamingsari filem terbengkalai artikel

Kenyataan berani produser filem ini mengkritik karya epik tempatan lain kerana gagal memaparkan zaman lampau dengan teliti, meletakkan penerbitan filem 'Empayar : Dendam Tamingsari' dalam kedudukan berisiko.

Apatah lagi pengarah urusan studio penerbitannya Cinequip Productions mengeluarkan kenyataan mahu mengangkat karya epik tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi tayangan filem ini.

Visi mereka sejak awal lagi merancang mahu mengeluarkan filem ini dalam bentuk trilogi, menggabungkan elemen fantasi berlandaskan kepada fakta sejarah, dengan harapan penerbitan filem ini mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda negara kita untuk lebih mempelajari sejarah.

Malangnya, semua usaha yang dibuat ini seakan tidak ke mana-mana. 

empayar dendam tamingsari filem terbengkalai

Kita diberitahu filem ini bakal menggunakan 70% elemen imej janaan komputer dengan bajet sekitar RM5 juta. Apa yang tinggal sekarang hanyalah sekeping gambar 3D memaparkan istana Melaka dikongsi di laman Facebook rasmi filem ini.

Kali terakhir sebarang bentuk pengumuman rasmi dibuat adalah pada bulan Julai tahun 2010, di mana penerbitan mengumumkan proses pra-produksi sudah selesai dan mereka bakal memulakan penggambaran tak lama lagi.

Sekarang dah 2023.

3. Mahathir The Journey

mahathir the journey

Filem ini menggemparkan negara kita akibat kontroversi yang timbul melibatkan pihak produksi serta pihak keluarga Tun Mahathir Mohamad; mengakibatkan projek ini mendapat liputan media meluas.

Menggunakan kepakaran pengarah Hatta Azad Khan, Mahathir The Journey dirancang akan memaparkan peristiwa dalam tempoh beliau melepaskan jawatan kali pertama pada tahun 2003 sehingga naik kali kedua menjadi PM ke 7 pada tahun 2018.

Bagaimanapun pihak wakil keluarga Tun Mahathir mendedahkan proses penghasilan filem itu sebenarnya tidak mendapat persetujuan mereka, walaupun watak-watak yang dipaparkan terdiri daripada ahli keluarga Tun M sendiri.

Sayang sekali, dengan barisan pelakon yang berkaliber seperti Azhar Amir, Dian P. Ramlee, Fauziah Latiff, Hilal Azman dan Lisdawati, filem ini tertangguh penerbitannya akibat pandemik COVID-19; menyebabkan rancangan asal menayangkannya pada hari ulang tahun kelahiran Tun M ke 95 dipinda.

Tarikh tayangan baru pada bulan Julai tahun 2021 diumumkan, namun kita semua tahu pergolakan politik yang telah melanda mungkin mengakibatkan apa yang telah dirancang perlu diubah semula atau ditangguh selamanya.

4. Bila Deh Bertemu Det

nad zainal deh bertemu det

Usaha memfilemkan kisah hidup suaminya berdepan bermacam kekangan.

Begitulah nasib filem Hasmah : Bila Deh Bertemu Det, sebuah filem biopik yang ingin memaparkan detik-detik pertemuan dan perkenalan Tun Mahathir Mohamad bersama isteri tercinta, Tun Siti Hasmah semasa muda.

Di antara semua filem yang kami senaraikan, mungkin filem ini paling berprofil tinggi kerana Bila Deh Bertemu Det bukan saja membariskan nama besar Nad Zainal dan Hasnul Rahmat sebagai pelakon, bahkan turut mendapat sokongan kuat FINAS.

Pada hari pengumumannya, penerbit filem ini masih belum mencapai kata putus dalam melantik pengarah; dengan nama pengarah Indonesia, Faozan Rizal serta tiga lagi pengarah tempatan berkredibiliti tinggi iaitu Erma Fatima, Kabir Bathia dan juga Osman Ali duduk dalam senarai calonnya. 

Tidak diketahui apa sebab utama filem ini belum ditayangkan, kerana tidak ada pengumuman rasmi daripada pihak produksi bagi memperjelaskan apa status sebenar filem ini ketika ini.

5. Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen 

poster filem dawn raid bront palarae

Di antara semua projek filem tertangguh dalam senarai ini, mungkin filem ini paling mengecewakan penulis. Ini kerana daripada sedutan awal filem ini yang dikeluarkan 5 tahun lalu, nampak filem ini mampu mencetuskan fenomena besar di pawagam.

Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen ingin memaparkan kisah bagaimana sekumpulan individu yang ditugaskan kerajaan Malaysia, menggunakan kepintaran dan kemahiran mereka dalam mendapatkan kembali hak ke atas Guthrie Group daripada tangan kerajaan Britain; menggunakan operasi licik ke atas bursa saham London.

Kisah bagaimana operasi itu dirancang dengan teliti sehingga berjaya mencapai sasaran yang dikehendakkan, memang sudah menjadi satu catatan sejarah bertaraf legenda bagi mereka yang gemar kisah-kisah sejarah sebegini.

Membariskan Shaheizy Sam dan Sofia Jane memainkan watak utama, pengarah dan pelakon Bront Palarae kali terakhir mengeluarkan kenyataan pada bulan Ogos tahun 2022, mengumumkan beliau masih berharap agar Dawn Raid : The Hands That Rattled The Queen dapat diteruskan pembikinannya. 

Bront ketika ini masih dalam usaha mendapatkan dana bagi membolehkan penggambaran diteruskan, agar kisah menarik ini dapat disiapkan, dikongsi dan dijadikan inspirasi kepada lebih ramai warga negara kita. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)