Oleh pada 08 Mar 2018 kategori

Secara jujur, kami agak terkejut apabila mengetahui filem Badang yang dihasilkan jutawan terkenal tanahair iaitu Dato Aliff Syukri mempunyai bajet sebanyak RM2.2 juta dan yang lebih sedih, kutipan untung filem tersebut setelah selesai tempoh tayangan hanyalah RM72 ribu lebih.

Di mana silap filem tersebut? Agak panjang untuk kami ulas di mana silapnya filem tersebut. Penggunaan trailer yang kurang menarik, pemilihan poster yang dilihat agak kurang cermat serta pemilihan pelakon utama yang belum ada nama sebagai pelakon filem, dilihat menjadi penghalang utama orang hendak ke pawagam. Bagi yang ke pawagam menonton filem Badang pula, lebih baik rasanya kami simpan apa yang kami rasa terhadap Badang sampai kami mati.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dengan bajet RM2.2 juta, filem Badang sepatutnya boleh digarap dengan lebih baik. Sudah ada banyak filem berbajet rendah terhasil dan layak digelar filem klasik. Berikut adalah 5 filem yang mempunyai bajet lebih rendah daripada filem Badang yang membuktikan bajet bukan penghalang kepada pembikinan filem berkualiti.

1. Paranormal Activity

paranormal activity filem klasik mempunyai kos penerbitan lebih rendah berbanding filem badang

Filem 'Paranormal Activitiy' memulakan satu trend baru teknik perfileman. Hanya dengan menggunakan satu kamera, segala aksi dirakamkan terus tanpa wujud pergerakan kamera. Dengan menggunakan premis cerita yang agak ringkas, penonton filem ini dibawa mengikut segala jenis gangguan yang mengganggu pasangan yang baru berpindah ke rumah tersebut. Walaupun mempunyai pengambaran yang sangat minima, filem ini tetap memberikan pengalaman seram yang sukar dilupakan penontonnya, kerana impak visualnya tetap menjadi tanpa perlu pemaparan visual-visual kompleks seperti filem seram lain.

Bajet keseluruhan : RM42,900

Jumlah kutipan : RM753 juta seluruh dunia

2. Blair Witch Project

blair witch filem klasik mempunyai kos penerbitan lebih rendah berbanding filem badang

Filem seram yang mempopularkan teknik pembikinan filem menggunakan teknik pegangan tangan ini adalah antara pelopor paling awal dalam strategi pemasaran viral yang berjaya, pada era di mana perkataan viral itu sendiri belum popular. Mengisahkan tentang beberapa individu yang masuk ke hutan untuk mengkaji sendiri legenda tukang sihir yang dikatakan pernah tinggal di hutan tersebut, filem ini berakhir dengan pelbagai tanda tanya. Mungkin gimik filem ini sudah banyak kali diulang pakai sekarang, tetapi untuk tahun 1999, apa yang dipersembahkan oleh Blair Witch Project adalah sesuatu yang cukup mengujakan.

Bajet keseluruhan : RM245 ribu

Jumlah kutipan : RM585 juta di seluruh dunia

3. Napoleon Dynamite

napoleon dynamite filem klasik mempunyai kos penerbitan lebih rendah berbanding filem badang

Terkenal dengan kekangan bajet yang banyak mengehadkan produksi, sehinggakan suntingan filem terpaksa dibuat menggunakan komputer biasa, filem Napoleon Dynamite meletup dan diiktiraf sebagai salah satu filem yang memberikan impak terbesar pada industri filem Hollywood. Sehingga kini pelakon utamanya Jon Heder dikaitkan dengan filem tersebut dan komedi yang dipaparkan dalam filem ini, kerap kali diajuk dan dilakonkan semula. Sehingga kini bayaran hanya RM4000 yang diterima Jon Heder untuk berlakon dalam filem ini diceritakan sebagai rujukan kepada pelakon baru.

Bajet keseluruhan : RM1.56 juta

Jumlah kutipan : RM171 juta

4. El Mariachi

el mariachi filem klasik mempunyai kos penerbitan lebih rendah berbanding filem badang

Menjadi filem pertama arahan pengarah legenda Robert Rodriguez, El Mariachi sebenarnya dibuat untuk tontonan masyarakat Mexico sahaja. Oleh kerana itulah filem tersebut dihasilkan hanya dengan menggunakan bajet RM27,300 sebelum dibeli penerbit Columbia Pictures untuk diedar di Amerika Syarikat. Bagi mereka yang berminat hendak belajar tentang pembikinan filem dengan bajet kecil, baca tentang kisah pembikinan filem ini. Tidak ada kru pengambaran dilantik, kamera digerakkan dengan kerusi roda dan yang paling penting, bagi pencahayaan - mereka terpaksa menggunakan lampu meja sebagai ganti.

Bajet keseluruhan : RM27,300

Jumlah kutipan : RM7.81 juta

5. Bronson

bronson filem klasik mempunyai kos penerbitan lebih rendah berbanding filem badang

Filem tahun 2008 lakonan Tom Hardy ini mengisahkan tentang seorang pemuda yang dipenjara namun lebih kerap dikurung dalam keadaan sendirian, sehingga menyebabkan dirinya mempunyai satu lagi identiti mirip Charles Bronson, salah seorang penjenayah paling terkenal di Britain. Hanya mempunyai bajet sebanyak RM162 ribu untuk keseluruhan produksi, pihak pembikinan filem terpaksa menggunakan sebuah rumah agam lama sebagai studio sementara bagi memaparkan semua latar belakang filem tersebut.

Bajet keseluruhan : RM162 ribu

Jumlah kutipan : RM8.59 juta

Trivia - Sekiranya dijumlahkan kos penerbitan kelima-lima filem ini, kos yang diperlukan bagi menghasilkan kelima-lima filem yang kami senaraikan di atas berjumlah RM2.1 juta. Ini adalah sesuatu yang hanya kami sedari selepas kami selesai menulis artikel ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)