Oleh pada 28 Apr 2018 kategori

Nama Stephen Chow Sing Chee atau lebih dikenali sebagai Stephen Chow adalah salah satu nama yang cukup berpengaruh bagi peminat-peminat filem komedi dan juga filem Hong Kong.

Walaupun Stephen sendiri ketika ini sudah tidak lagi berlakon tanpa dinyatakan sebab-sebabnya, beliau masih terus bertindak sebagai pengarah kepada beberapa filem yang menggegarkan industri hiburan Hong Kong. Namun keletah dan mimik mukanya yang kelakar tetap dirindui peminatnya. Bentuk komedi slapstik 'mo lei tau' yang tak masuk akal serta kerap lari dari jalan cerita, sudah menjadi identiti beliau dan ditiru oleh ramai pelawak dalam pelbagai jenis filem dan drama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Masih bergelar sebagai Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow banyak menghasilkan filem sepanjang kariernya yang masih berlangsung. Di sini kami pilih 5 filem beliau yang kami rasakan terbaik, bukan sahaja untuk peminatnya malahan untuk mereka yang baru saja nak berjinak dengan komedi ala Stephen Chow.

1. From Beijing With Love

from beijing with love

Sebuah filem parodi James Bond yang ternyata tidak segan untuk menunjukkan filem itu adalah sebuah filem parodi, From Beijing With Love memaparkan Stephen sebagai seorang ejen perisikan kerajaan yang menyamar sebagai seorang peniaga daging di pasar.

Bergandingan bersama seorang ejen lain lakonan Anita Yuen, mereka berdua bekerjasama mencari sebuah fosil dinosaur yang telah dirompak oleh sekumpulan penjahat, yang diketuai oleh seorang yang hanya dikenali sebagai pemilik sepucuk pistol emas. Untuk menyelesaikan misinya, mereka dibantu oleh seorang ejen lain lakonan Ng Man Tat yang membekalkan watak Stephen dengan senjata terulung ciptaan beliau, sebilah pisau pemotong daging yang diberi nama Lifetaker 3000.

2. God of Cookery

stephen chow dalam god of cookery

Melakonkan watak sebagai dirinya sendiri, Stephen adalah seorang chef selebriti yang menyembunyikan rahsia beliau daripada masyarakat - dia tidak tahu memasak. Bagaimanapun, kepintarannya menggunakan populariti serta ego melindungi rahsia beliau sebelum rahsianya dibongkar sendiri oleh anak muridnya, Bull dalam satu pertandingan masakan.

Dimalukan serta hilang empayar perniagaan yang telah dibina selama ini, Stephen bertemu dengan Turkey, lakonan Karen Mok yang menunjukkan kepadanya masakan sebenarnya perlu datang dari hati.

Apa yang berlaku selepas itu rasanya tak elok untuk kami ceritakan. Ia melibatkan bagaimana penghasilan bebola daging paling power dalam dunia, kelas memasak di Tokong Shaolin, pertandingan ping pong paling tak masuk akal serta kuasa mistik Dewa dan Dewi, semua digabungkan dalam satu filem yang tak logik, mustahil dan gila.

3. King of Comedy

adegan stephen chow cecilia cheung king of comedy

King of Comedy adalah antara filem yang menampakkan berlakunya pembaharuan pada penceritaan Stephen Chow berbanding sebelumnya. Jalan ceritanya dilihat lebih tersusun dengan peranan emosi diadunkan ke dalam sebuah filem yang nadanya agak sentimental. 'King of Comedy' mengisahkan tentang Wan Tin Sau, seorang pelakon dan pengajar lakonan amatur yang mempunyai impian besar menjadi terkenal.

Bagaimanapun kariernya hanya terhad pada kelas mengajar samseng-samseng tepi jalan, dalam memastikan samseng yang baru nak up mampu menakutkan orang ramai. Nasibnya mula berubah selepas bertemu dengan seorang GRO bernama Lau Piu-Piu lakonan Cecilia Cheung - dalam penampilan filem pertama beliau. Lau Piu-Piu mengajarnya erti cinta dan keikhlasan yang tak pernah dia kenali sebelum ini.

Nasibnya mula berubah selepas apabila mendapat tawaran berlakon dalam sebuah filem besar, namun tak disangka-sangka Wan Ting Sau terpaksa bekerjasama dalam penyiasatan polis sebagai perisik, serta dapat berlakon bersama dengan superstar dunia, Jackie Chan. Kami tidak takut untuk mengatakan - filem ini berakhir sebagai sebuah iklan keropok Pringles yang dilakukan secara sengaja.

4. Kung-Fu Hustle

adegan kung fu hustle

Kung Fu Hustle adalah filem kedua Stephen Chow yang membuktikan dirinya mampu melahirkan filem bertaraf antarabangsa yang sesuai untuk tontonan semua jenis masyarakat. Sekiranya 'Shaolin Soccer' dilihat sebagai pembuka jalan kepada dirinya menerbitkan lebih banyak filem yang menggabungkan teknologi moden dan jalan cerita identitinya - Kung Fu Hustle merupakan sebuah filem yang membawa penonton khasnya peminat filem Kung-Fu lama mengingati memori filem-filem terdahulu.

Menggabungkan barisan pelakon veteran Hong Kong sebagai watak penting dan Stephen memainkan watak utama, seorang lelaki bernama Sing yang berkeinginan besar untuk menjadi ahli kongsi gelap. Bagaimanapun dia hanya dipandang rendah dan diberikan tugas-tugas yang tak mahu dilakukan orang lain.

Salah satu tugasnya memerlukan dia dan rakan karibnya, Bone untuk mengutip wang perlindungan daripada sebuah kampung yang didiami komuniti veteran, diketuai oleh sepasang suami isteri yang menyimpan identiti mereka, sebagai jaguh kung fu yang memencilkan diri menjaga keamanan hidup mereka.

5. Shaolin Soccer

shaolin soccer meraikan kehadiran penonton

Shaolin Soccer mencetuskan fenomena industri filem Hong Kong ekoran keaslian filem tersebut semasa tahun terbitannya. Penggabungan kesan visual komputer, jalan cerita Stephen Chow serta era zaman kontemporari membuatkan Shaolin Soccer menjadi sebuah filem yang cukup segar sehingga kini.

Berbeza dengan majoriti filem yang melibatkan dirinya sebelum itu, Shaolin Soccer merupakan satu gabungan berani lama dan baru, yang secara tampak cuba mengembalikan semula minat masyarakat China kepada ilmu pertahanan diri kung fu.

Jalan cerita tak masuk akal masih lagi dikekalkan, dengan Stephen Chow memainkan watak Sing, seorang pemuda yang terasing daripada masyarakat berikutan kelakuannya yang pelik. Harapannya hanya satu - untuk mengembalikan semula populariti Tokong Shaolin. Untuk mencapai harapan itu, dia menggunakan pelbagai jenis cara termasuklah mengadakan persembahan paling mengarut di dalam kelab malam, bersama abangnya.

Pertemuan dengan Fung, bekas bintang bola sepak yang tempang membawanya kepada idea menubuhkan pasukan bola sepak yang menjadikan Kung-Fu Shaolin sebagai identiti mereka. Jalan hidup Sing mula dibawa arus, membawanya kepada populariti, cinta, perlawanan bola sepak yang melibatkan senjata pertukangan, flash mob pertama dalam filem serta sebuah pasukan lawan yang menggunakan sains dan teknologi, untuk memperkuatkan manusia supaya kemampuannya melebihi manusia biasa. Seandainya anda baru nak mula menonton filem Stephen Chow, mulakan dengan filem ini.


Jika anda menggemari Iluminasi, kami memerlukan undian anda. Kami telah terpilih untuk bertanding dalam kategori laman web komersial Malaysia Website Awards 2018 dan kami nak menang. Kami amat menghargai sokongan anda jadi undilah Iluminasi melalui pautan MWA 2018 Iluminasi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)