Oleh pada 25 Dec 2017 kategori

star wars poster 1

Star Wars The Last Jedi pasti akan membuatkan peminat filem Star Wars mempunyai pandangan yang berbeza-beza terhadap filem tersebut.

Sejak ditayangkan buat kali pertama pada tahun 1977 dalam trilogi pertama, disusuli trilogi kedua yang mahu menceritakan kisah asal bagaimana persengketaan waris Skywalker bermula dan kini disambung dalam trilogi ketiga, Last Jedi merupakan satu filem yang cukup berani.

Kebanyakan pembikin filem lebih selesa melakukan 'reboot' dengan konsep diolah semula dalam persekitaran baru serta pengenalan watak baru dan elemen baru. Apa yang Rian Johnson, pengarah The Last Jedi berjaya lakukan dalam satu filem - menyambung jalan cerita dan pada masa yang sama, membuka potensi-potensi baru bagi siri Star Wars selepas ini, adalah sesuatu yang cukup mengkagumkan.

Jangan teruskan bacaan andai anda belum menonton filem ini. Kami akan bongkarkan apa yang berlaku dalam filem The Last Jedi.

IMAGINASI SEMULA STAR WARS

rey hulur lightsaber pada luke

Setelah hampir 2 tahun menunggu apa yang akan berlaku di antara Rey dan Luke, Luke dengan selamba mencampakkan lightsaber beliau - seolah itu satu benda yang tiada lagi nilai padanya.

Itu adalah petunjuk awal apa yang cuba dilakukan oleh Rian Johnson dalam filem ini - dia mahu peminat-peminat filem Star Wars melupakan acuan Star Wars yang telah lama kita pegang, sehingga menjadi belenggu kepada tema filem Star Wars untuk terus relevan dalam zaman moden.

Tema sama di ulang beberapa kali. Kematian Admiral Ackbar dilakukan secara ringkas. Terbakarnya semua bahan-bahan dokumen ajaran Jedi dalam satu adegan yang puitis. Hancurnya lightsaber Luke yang selama ini menjadi simbol - menampakkan niat sebenar pengarah filem ini dalam memberi nafas baru pada Star Wars.

Filem ini hanya boleh diterima andai kita sanggup lupakan Star Wars yang dulu. Usah berharap kisah opera di galaksi yang kita kenali selama ini, akan di ulang-ulang semula.

BEBAN STAR WARS

darth vader

Para peminat Star Wars selama ini pasti memilih untuk mengekalkan elemen sama yang dapat dilihat dalam trilogi asal. Mungkin atas sebab itulah 'The Force Awakens' sangat mirip formulanya dengan 'A New Hope.'

'The Force Awakens' takut keluar daripada formula asal Star Wars yang banyak berkisar kepada takdir serta kehadiran 'messiah' yang akan menyeimbangkan semula keseimbangan di antara cahaya dan kegelapan.

Ini jelas berpunca daripada tekanan peminat-peminat yang mengharapkan formula sama diulang-ulang dengan pengenalan watak baru.

Saya akui pada mulanya, memang itu apa yang saya harapkan. Kita mahu Rey bangkit selepas dididik Luke. Kita mahu Ben Solo kembali menjadi baik. Kita pasti sudah membayangkan kehebatan Supreme Leader Snoke menggunakan kuasanya bagi terus menjajah populasi galaksi.

Apa yang kita dapat adalah lebih daripada itu, asalkan kita berani menerima perubahan.

OPERA GALAKSI ZAMAN MODEN

xwing meletup

Salah satu perkara yang paling ditonjolkan dengan sengaja dalam filem ini, hakikat watak-watak hero dan penjahat dalam filem ini mempunyai kelemahan dan kekurangan masing-masing.

Luke bukan lagi seorang remaja yang bersemangat dan mahu mengembara. Dia hanyalah seorang tua yang patah hati serta sedar kelemahan dirinya yang membuatkan penjahat Kylo Ren bangkit. Luke digarap pandai berhujah tentang bermacam perkara, namun bila situasi memerlukan dia bertindak - dia kerap teragak-agak.

Ben Solo/Kylo Ren pula diolah dengan lebih baik kali ini dan kIta diberikan sebab sebenar kenapa konflik dalam dirinya yang membuatkan dia kurang matang berfikir serta terlalu menurut emosi.

Jika selama ini Kylo dikecam kerana terlalu menurut perasaan, The Last Jedi menjawab persoalan kita itu. Andai kita berada diposisi Kylo; dikhianati oleh Luke individu/guru yang paling dipercayainya - sudah pastilah kita pun akan mengalami nasib serupa.

Atas sebab ketidak tentuan Luke ketika cuba membunuh Ben itu, dia melahirkan Kylo Ren yang ganas tapi berhati tisu. Tanpa sedar, Luke sebenarnya sedang mengkhianati adik kembarnya Leia dan rakan baiknya Han yang mengamanahkan Ben kepadanya.

Apa yang menarik, Luke kerap menyalahkan Snoke menjadikan Ben Solo berubah. Sehingga dia sanggup membunuh Ben tanpa mengambil kira kemungkinan yang Ben, boleh berubah di masa hadapan jika Luke terus berusaha.

KYLO REN DAN DARTH VADER

kylo dan vader

Dalam salah satu adegan trailer ada dipaparkan topeng mirip Darth Vader hancur. Kita sudah tahu itu topeng muka Kylo Ren sebenarnya.

Semenjak trilogi ketiga ini bermula, sejak dari awal lagi Kylo Ren kerap dibandingkan dengan Vader dan perkara ini menjadi tema besar dalam filem pertama. Dalam The Last Jedi, mesej serupa digarap melalui kata-kata Snoke kepada Kylo, dalam usaha memprovokasi anak muridnya itu.

Rian Johnson dilihat cuba membebaskan Kylo keluar daripada terus dihantui Darth Vader dengan pecahnya topeng muka tersebut. Kylo Ren kali ini lebih selesa tidak bertopeng, tidak lagi takut mahu menyatakan keinginannya serta sudah berani memberikan arahan. Berbeza dengan filem pertama.

Banyak pihak mengkritik bagaimana Snoke dibunuh mudah oleh Kylo Ren. Jangkaan kita mengharapkan agar ada pertarungan besar di antara Kylo dan Snoke yang akan mengembalikan sinar harapan Kylo, namun Snoke dibunuh macam watak tambahan tanpa nama.

Kecewa? Saya langsung tidak kecewa. Kita tidak perlukan adegan pertarungan epik Snoke lawan Kylo kerana adegan itu sendiri menceritakan identiti Kylo.

Jika Vader adalah seorang yang akur dan tunduk pada Darth Sidious - Kylo Ren dalam The Last Jedi menampakkan identiti sebenar Ben yang lebih kejam, jahat serta tiada toleransi dalam mengejar ideologinya.

Sehingga kini, Kylo sudah membunuh ayahnya, sanggup menembak 'Luke' sampai berkecai dan tidak teragak-agak untuk mendapatkan apa yang dia mahu. 

Selepas ideologi Kylo didedahkan, jelaslah legasi seseorang itu tidak penting. Darah warisan Skywalker dalam badan Ben Solo tidak ada makna kerana Kylo Ren bukan penjahat yang biasa kita lihat sebelum-sebelum ini dalam filem. Dia lebih kompleks, lebih kejam tetapi sukar untuk kita tidak menyokong dia. 

LEGASI LUKE UNTUK REY

rey dengan lightsaber

Spekulasi tentang siapa ibu bapa Rey kerap kedengaran. Pandangan ramai mengharapkan agar Rey mempunyai pertalian darah dengan mana-mana watak dalam trilogi sebelum ini.

Apabila dinyatakan dalam dialog di antara Kylo dan Rey yang ibu bapa Rey hanyalah orang biasa yang menjualnya untuk membeli arak, semua spekulasi kita tentang teori 'The Chosen One' perlu dibuang.

Dunia Star Wars pada era 2017 peflu keluar daripada skop ini. Hanya selepas menonton The Last Jedi, barulah kita menyedari kepentingannya. Faktor warisan, ibu bapa dan keturunan yang selama ini menjadi sauh kepada konsep 'The Chosen One' kini tidak lagi boleh diguna pakai. 

Pemahaman Rey berkenaan apa itu hukum cahaya dan kegelapan serta penggunaan The Force juga pasti berbeza. Gurunya pula Luke yang sudah menyedari realiti sebenar, bagaimana angkuhnya order Jedi mengangkat diri mereka sebagai penyelamat dunia.

Falsafah Rey terhadap pendidikan Jedi pasti berbeza berbanding falsafah-falsafah yang dipegang selama ini dan sebagai satu-satunya Jedi yang ada (tanpa mengambil kira Leia), Rey bertanggungjawab untuk menulis semula fahaman Jedi.

Itupun kalau Rey masih lagi mahu mengekalkan penggunaan lightsaber dan nama Jedi. 

BELAJAR DARIPADA KESILAPAN

adegan akhir return of the jedi

Jalan cerita Poe Dameron dan Finn menjadi kisah belakang dalam filem ini sebelum mereka berdua naik sebagai fokus pada babak penghujung filem. Poe dilihat membesar dalam filem ini sehingga menjadi seorang pemimpin kepada Resistance.

Finn meneruskan persengketaannya dengan Captain Phasma, memenangi pertarungan mereka berdua dan seterusnya mengakibatkan kematian Phasma. Jika dibandingkan dengan 'The Force Awakens', peranan Finn lebih kecil tanpa ada perubahan besar.

Saya suka bagaimana tersiratnya mesej yang disembunyikan dalam jalan cerita Finn dengan Rose. Pengembaraan mereka berakhir sia-sia selepas diperangkap, namun interaksi mereka dengan kanak-kanak yang menjadi hamba di Canto Blight, mampu memberikan impak yang besar pada penamat trilogi ini nanti.

Terutamanya kepada kanak-kanak tiada nama yang juga seorang pengguna force yang cekap.

KESEIMBANGAN REY DAN KYLO

kylo rey dan luke

Babak paling penting dalam filem ini adalah babak pertarungan di antara Kylo Ren dan Rey yang bergabung menentang Praetorian Guard, pasukan pengawal yang ditugaskan mengawal Snoke.

Buat pertama kalinya kita nampak bagaimana sesuainya mereka bergandingan, namun memang ditakdirkan jalan mereka akan terpecah dua selepas itu. Sama seperti nasib lightsaber Luke.

Saya pasti, tidak ramai yang dapat menjangkakan kesudahan yang berlaku hasil pertarungan mereka berdua. Dalam banyak-banyak kejutan yang terkandung dalam filem ini, keputusan yang diambil oleh Kylo Ren merupakan kejutan paling besar buat saya.

Kylo Ren nampaknya akan menjadi semakin ganas dan kejam selepas menaiki takhta menjadi Supreme Emperor Kylo Ren. Rey pula nampak semakin degil serta akan kuat berpegang kepada kepercayaan dengan dirinya sendiri.

Apa penamat trilogi ini nanti?

Melihat interaksi minda antara Rey dan Kylo, susah untuk diagak apa yang akan berlaku antara mereka berdua. Kedua-duanya sama degil dan sama keras kepala. Itu yang membuatkan filem ini sangat berkesan, cukup sulit untuk kita mengagak apa yang akan berlaku dalam penamat trilogi ini nanti.

Melihat bagaimana 'The Last Jedi' menghancurkan harapan-harapan yang timbul akibat spekulasi kita selama ini, tak mustahil banyak perkara yang membuatkan kita jatuh cinta dengan Star Wars boleh jadi legasi.

Adakah itu sesuatu yang salah? Kita ada dua trilogi lama untuk meningatkan kita memori nostalgia. Rian Johnson mengambil risiko memberi nafas baru pada Star Wars trilogi ketiga dalam filem keduanya. 

Trilogi ini perlu fokus menjadi kisah perseteruan Rey dan Kylo tanpa perlu lagi ada masuk campur legasi lama.

'The Last Jedi' bukanlah filem yang dimahukan ramai peminat Star Wars tetapi Star Wars memerlukan 'The Last Jedi' untuk membuka lembaran baru dalam trilogi-trilogi akan datang. 

 


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)