Oleh pada 07 Oct 2022 kategori

Kejayaan sebuah filem biasanya diukur dalam dua cara secara am - sama ada dari aspek kewangan yakni kutipan hasil jualan filem tersebut atau daripada impaknya kepada budaya dan masyarakat dunia sehingga layak digelar filem klasik.

Ada filem yang sangat berjaya, tetapi akhirnya dilupakan. Ada juga filem berjaya dari segi jualan dan dinobatkan mempunyai kesan besar kepada perkembangan budaya seni, sama ada di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, ada satu lagi kategori filem yang pada mulanya gagal dek kutipan yang tidak menyaksikan sambutan, sebelum masyarakat menyedari intipati penceritaannya sebenarnya jauh mendalam jika dibandingkan dengan nilai kutipan.

Berikut adalah 5 filem era moden yang kini kita kategorikan sebagai klasik, namun gagal teruk ketika tayangan di pawagam.

1. The Shawshank Redemption

the shawshank redemption kutipan rendah tayangan pawagam

Salah sebuah filem yang akan disebut sebagai antara filem terbaik pernah dihasilkan setakat ini, The Shawshank Redemption merupakan adaptasi cerpen nukilan Stephen King berjudul Rita Hayworth and The Shawshank Redemption. 

Filem ini mengisahkan tentang seorang banduan bernama Andy (Tim Robbins) yang dipenjarakan atas kesalahan membunuh isterinya, tanpa mendapat pembelaan yang adil.

Dalam penjara, Andy menjalin persahabatan dengan seorang banduan veteran bernama Red (Morgan Freeman) yang banyak membantunya belajar hidup baru serta menjadi penyokong kuat agar Andy tidak putus berharap.

Dengan bajet sekitar $25 juta, tayangan filem ini hanya mampu mendapat pungutan sekitar $16 juta walaupun membariskan bintang yang ternama.

Penganalisis menyifatkan tarikh tayangan yang malangnya jatuh serentak dengan satu lagi filem klasik 'Forrest Gump' lakonan Tom Hanks menjadi punca utama, selain terbitan dua lagi karya klasik iaitu 'Lion King' dan 'Pulp Fiction.'

Tema penjara yang dibawa serta ketiadaan watak wanita utama turut menjadi punca kenapa filem ini gagal teruk di pawagam.

2. Children of Men

children of men tidak laku di pawagam

Diarahkan pengarah terkenal Alfonso Cuaron (Y tu mamá también, Gravity, Harry Potter and the Prisoner of Azkaban), Children of Men membariskan bintang Britain, Clive Owen memainkan watak bernama Theo.

Filem ini cuba memaparkan bumi dalam tahun 2027, di mana semua wanita tidak lagi mampu mengandung selepas pandemik, mengakibatkan tamadun manusia dikhuatiri pupus.

Kisah yang disadur novel berjudul 'The Children of Men' karya P.D. James, Theo seorang penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan Britain pada mulanya.

Tetapi dia terpaksa memainkan peranan penting menyeludup seorang remaja kulit hitam bernama Kee (Clare-Hope Ashitey) yang didapati mempunyai kandungan dalam rahimnya.

Remaja itu dikatakan solusi kepada masalah yang telah melanda seluruh dunia, bagi membolehkan generasi seterusnya dapat dilahirkan.

Walaupun filem ini dipuji pengkritik filem serta tercalon dalam anugerah Academy bagi tahun 2006, filem dengan bajet $76 juta ini hanya berjaya mengutip $70 juta selepas tamat tayangan antarabangsa.

Studio penerbitan filem ini iaitu Universal menyifatkan tema berat yang menjadi paparan utama filem ini menyukarkan pemasarannya dilakukan dengan efektif.

Visualnya pudar dan mesej yang dibawakan juga bukan untuk semua pihak. 

Ekoran kegagalan filem ini, Cuaron terpaksa berhenti membikin filem selama beberapa tahun, sebelum kembali dengan filem 'Gravity' yang mempunyai nasib lebih baik di pawagam.

3. Fight Club

fight club tidak dapat sambutan penonton

Membariskan dua nama besar industri perfileman Hollywood iaitu Brad Pitt dan Edward Norton pun tidak membantu filem 'Fight Club' berjaya di pawagam, khususnya di pasaran tempatan. 

Dengan bajet produksi $65 juta, kutipan pawagam hanya memberi pulangan sebanyak $37 juta.

Nasib filem ini diterima baik di luar, berjaya meningkatkan kutipan kepada $100 juta namun dikatakan masih gagal menampung keseluruhan kos jika diambil kira kos pemasaran.

David Fincher, pengarah filem ini menyalahkan studio penerbitan 20th Century Fox yang dikatakan enggan memasarkan filem ini dengan baik kerana studio itu sendiri sensitif dengan isi kandungannya; didakwa sebagai sindiran kepada muka studio sendiri.

Tema filem itu sendiri bagaimanapun bagi yang dah menontonnya, harus kita akui sukar untuk dipasarkan.

Sebarang kesilapan semasa pemasarannya akan mengakibatkan keseluruhan jalan ceritanya terbongkar.

Kedua-dua pelakon dikatakan bersetuju secara sinis untuk 'Fight Club' dipasarkan sebagai sebuah filem komedi, yang pasti akan mengecewakan lebih banyak pihak yang pergi menontonnya.

4. Blade Runner dan Blade Runner 2049

blade runner legasi sains fiksyen gagal kutipan

Filem 'Blade Runner' diterbitkan dalam tahun 1982 merupakan antara filem genre sains fiksyen paling berpengaruh, memperkenalkan kita kepada rekaan visual dan jalan cerita yang pada ketika itu segar dan sangat mengujakan.

Impak filem ini diteruskan sambungannya, 'Blade Runner 2049' yang membawakan watak berbeza meneruskan kisah filem pertamanya dalam perspektif yang baru.

Kedua-dua buah filem ini dalam aspek genre sains fiksyen duduk dalam kelas mereka yang tersendiri. 

Namun kedua-duanya layak dikata gagal mendapat sambutan yang dijangkakan dari aspek kutipan.

'Blade Runner' bukan saja gagal teruk di pawagam, bahkan kritikan terhadap filem itu lantang kedengaran. Dengan bajet $35 juta, filem ini hanya berjaya mendapat $41.5 juta berdasarkan kiraan terbaru hari ini.

Sambungannya lebih bernasib baik. Promosi awalnya  mendapat sambutan baik membolehkan studio menjangkakan kutipan sekitar $400 juta ke atas boleh diperolehi, dengan bajet produksi $185 juta.

Bagaimanapun selepas tayangan 119 hari di pawagam Amerika Syarikat, 'Blade Runner 2049' hanya mampu mendapatkan kutipan $92 juta.

Kutipan filem yang membariskan Ryan Gosling dan Harrison Ford ini akhirnya naik kepada $259 juta selepas tayangan antarabangsa - namun tetap dianggap rugi kerana tidak berjaya menampung kos keseluruhan yang telah dikeluarkan.

5. Starship Troopers

starship troopers filem kultus sains fiksyen gred b

Walaupun membariskan pelakon yang layak dikategorikan gred B sebagai bintang utama, 'Starship Troopers' didokong kuat Sony Pictures dari segi bajet - sehinggakan kos produksinya sahaja mencecah $105 juta.

Bagaimanapun ulasan demi ulasan mencerca, mengkritik dan mencemuh kualiti filem ini selepas tayangan perdananya mula mempengaruhi minda penonton menjejaskan kutipan yang diterima.

'Starship Troopers' terpaksa berpuas hati dengan jumlah kutipan tempatan sebanyak $54.8 juta. 

Kutipan antarabangsa membantu angka ini naik kepada $120 juta, tetapi tetap dianggap rugi, jauh meleset ramalan sasaran kutipan sebenar.

Dikritik kerana membawakan tema yang disifat kebudak-budakan, majoriti pengkritik ketika itu gagal mentafsir makna sebenar di sebalik mesej yang disembunyikan dalam filem ini.

Hanya selepas beberapa dekad tayangan pertamanya, masyarakat dunia mula menerima satira yang dipaparkan dalam filem dan melihat semula filem ini daripada konteks berbeza.

Perubahan mentaliti masyarakat dunia yang lebih matang menilai sesuatu peristiwa dalam pelbagai sudut dikatakan menjadi punca kenapa 'Starship Troopers' kini diangkat sebagai filem kultus.

Bukan itu saja, filem yang pernah dicemuh bodoh ini juga memulakan francais pelbagai media yang dianggap berjaya bukan saja dalam bentuk filem, malahan melibatkan drama televisyen, siri animasi, novel dan permainan video yang dianggap relevan selepas berdekad terbitan pertamanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)