Oleh pada 25 Jul 2019 kategori

Filem-filem seram sehingga kini mendapat tempat di dalam masyarakat kita, dengan penerimaan baik diberikan kepada filem Munafik serta sambungannya serta sambutan hangat peminat filem terhadap siri filem seram komedi 'Hantu Kak Limah.'

Semua ini sebenarnya merupakan sinambungan daripada minat masyarakat kita terhadap filem-filem seram yang pernah diterbitkan sebelum ini, kerana pada satu era dahulu; genre filem seram memang menjadi genra yang cukup popular sehingga menghasilkan banyak filem berstatus klasik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda beberapa judul filem seram yang pernah diterbitkan sebelum tibanya era millenium, namun masih dirasakan segar untuk ditonton sehingga ke hari ini?

1. Perawan Malam (1988)

perawan malam

Salah sebuah filem seram bergenre komedi yang paling diingati, 'Perawan Malam' arahan allahyarham Dato' Aziz Sattar memang akan diingati kerana premisnya yang agak kelakar.

Sekumpulan rakan karib masuk ke hutan bagi mengkaji tentang sejenis ubat herba yang mereka perlukan, namun berdepan pelbagai jenis gangguan ketika di situ. Dalam ekspedisi mereka, salah seorang daripada peserta kumpulan itu lakonan Dharma Harun al-Rashid menemui makhluk pontianak, sebelum berjaya memakukan lehernya - menyebabkan pontianak itu berubah menjadi manusia.

Dia mengambil keputusan membawa pontianak itu, lakonan Ziela Jalil pula ke kota untuk 'mengajar' pontianak itu cara hidup manusia.

2. Rahsia (1987)

filem rahsia

Salah sebuah filem yang membuatkan ramai merasa seram-seram sejuk ketika berpindah ke rumah baru, filem 'Rahsia' lakonan Shukery Hashim, Noorkumalasari dan Yusof Haslam menceritakan tentang sebuah keluarga yang berpindah ke sebuah banglo cantik.

Selepas kematian salah seorang anak mereka akibat kemalangan lemas di laut yang terletak tidak jauh daripada lokasi rumah mereka, keluarga itu mula diganggu dengan suara-suara halus serta igauan ngeri melibatkan seorang kanak-kanak. Hasil daripada gangguan dan mimpi yang dialami, akhirnya membawa keluarga itu kepada 'rahsia' sebenar yang disembunyikan di dalam rumah tersebut selama ini.

Filem ini sangat diingati kerana lakonan mantap Shukery Hashim serta penataan filem ini yang berjaya memainkan emosi penonton, dengan menggunakan sebuah banglo sebagai elemen paling berkesan menakutkan penonton.

3. Perjanjian Syaitan (1981)

perjanjian syaitan

Filem arahan S. Sudarmaji ini sekiranya anda tonton, mempunyai banyak persamaan dengan filem-filem yang keluar ketika era 70-an menerusi sinematografinya yang dilihat seperti sebuah filem dokumentari lama, membawakan elemen realisme yang diambil daripada filem-filem bercorak sama dari barat.

Kekuatan filem ini sudah pastilah terletak pada watak 'Ribut' yang dibawakan dengan baik sekali oleh allahyarhamah seniwati Azean Irdawaty. Seorang gadis yang wajahnya cacat serta sering disindir masyarakat kampung, Ribut akhirnya memilih untuk membalas dendam terhadap apa yang telah dilakukan kepadanya dengan cara yang salah.

Elemen-elemen ketuhanan dijadikan tulang belakang filem ini, cuba membawa penonton untuk menyelami keburukan yang boleh berlaku sekiranya manusia cuba menjalinkan kerjasama dengan makhluk ghaib.

4. Setinggan (1981)

s shamsuddin setinggan

Sebuah lagi filem arahan Dato' Aziz Sattar, 'Setinggan' menggabungkan beliau kembali dengan regunya S. Shamsuddin, yang terkenal sebagai trio Bujang Lapok bersama allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Lebih layak dikatakan filem komedi yang membawakan elemen seram, 'Setinggan' memaparkan kehidupan sebuah keluarga yang berpindah ke kawasan setinggan yang terletak di pinggir kota, lebih tepat kawasan Kampung Pandan, Kuala Lumpur sekarang.

Selepas berpindah, keluarga itu mula menyedari kawasan baru tempat mereka tinggal kerap kali diganggu pelbagai insiden aneh yang menyebabkan penduduk di situ tidak dapat hidup dengan tenteram. Seronok melihat kawasan Kuala Lumpur zaman dahulu dipaparkan selain daripada dapat melihat sendiri corak hidup orang kita tidak lama dulu.

5. Misteri Rumah Tua (1987)

misteri rumah tua

Nak bercakap tentang adegan kontroversi dalam filem, filem ini rasanya antara filem yang paling diperkatakan oleh orang ramai berikutan paparan menakutkan dalam filem ini, yang dibuat tanpa tutup-tutup serta bersifat agak realistik. Siapa pernah menonton filem ini pasti akan terus terbayang-bayangkan adegan beranak ikut mulut tu kan?

Sebuah filem usahasama Malaysia-Indonesia, 'Misteri Rumah Tua' memahatkan nama Noorkumalasari sebagai ratu filem seram negara kita kerana lakonan beliau yang menjadi sebagai makhluk pontianak yang menjadi penunggu di kawasan rumah tinggal itu, selepas dia dirogol dan dibunuh di rumah tersebut.

Selepas sekumpulan pemuda dan pemudi tersesat masuk ke dalam rumah tinggal itu, semangat wanita itu kembali mengganas berikutan kaitan di antara salah seorang daripada mereka dengan kes kamatian penunggu itu. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)