Oleh pada 05 Aug 2020 kategori

Ada sesuatu yang mengasyikkan menonton pertunjukan bunga api bukan? Letupan yang terhasil, cahaya yang memancar serta bentuk dan corak yang terbentuk mengujakan kita.

Namun realitinya bunga api atau mercun sebenarnya adalah letupan yang berlaku dalam bentuk terkawal. Ada kalanya, disebabkan kecuaian kita sama ada sengaja atau tidak disengajakan, berlaku insiden-insiden melibatkan letupan mercun yang mampu mencederakan malahan mengorbankan nyawa manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda tentang insiden melibatkan letupan mercun paling teruk pernah berlaku dalam sejarah setakat ini? Berikut adalah empat insiden paling dahsyat yang telah dilaporkan berlaku serta satu yang baru saja berlaku.

5. Kebakaran Kelab Lame Horse, Russia

lame horse fire kelab mercun

Sistem keselamatan yang tidak mengikut garis panduan menyebabkan insiden kecil yang berlaku di kelab malam Lame Horse, Perm, Russia bertukar menjadi tragedi lebih besar. Kelab tersebut tetap beroperasi tanpa mempunyai laluan kecemasan terbina.

Pada 5 Disember 2009 sedang pengunjung rancak menari, persembahan bunga api dirancang diadakan dalam kelab tersebut, walaupun lokasi pembakarannya adalah dalam tempat tertutup.

Bunga api yang dinyalakan memulakan kebakaran pada bahagian lapisan plastik siling kelab itu serta hiasan ranting-ranting kayu yang menghiasai silingnya.

Dalam keadaan sesak dan padat serta ketiadaan pintu keluar yang cukup, pintu belakang yang dibuka mengejut mengakibatkan api menjadi lebih marak dan ramai terperangkap di dalamnya.

156 orang meninggal dunia dan 160 cedera dalam insiden ini. Pemilik kelab malam itu dipenjarakan 10 tahun atas kegagalannya memastikan premisnya selamat untuk beroperasi.

4. Kebakaran kelab malam Republica Cromagnon

kelab malam terbakar akibat mercun

Jika kebakaran di Lame Horse berlaku atas kesilapan penganjur sepenuhnya - lain pula kisahnya tentang sebuah kebakaran yang berlaku di Buenos Aires, Argentina pada 30 Disember 2004.

Di sebuah kelab bernama Republica Cromanon; provokasi kumpulan rock tempatan bernama Callejeros yang mengadakan persembahan sambil mengajak penonton membakar mercun berbentuk suar (light flare) dalam tempat tertutup menjadi punca utama.

Kumpulan Callejeros ketika itu pula sedang mengadakan persembahan disaksikan 3,000 orang, lebih dua kali ganda had sebenar jumlah pengunjung maksima premis kelab tersebut.

Suar yang dibakar penonton yang seronok menyebabkan percikan api mula menyambar siling yang diperbuat daripada bahan papan busa (foam board).

Apa yang memburukkan keadaan, disebabkan sambutan menggalakkan empat daripada 6 pintu termasuklah laluan kecemasan dirantai kerana dibimbangi ada yang cuba menyusup masuk.

Situasi terkunci itu menyebabkan ramai gagal menyelamatkan diri, mengakibatkan kematian 194 orang dan 1,492 lagi mengalami kecederaan.

Pada tahun 2011, kumpulan Callerejos dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun atas kesalahan mengajak penonton membakar suar, namun hukuman itu diringankan kepada 7 tahun pada tahun 2012.

Pemilik kelab itu dihukum penjara 20 tahun.

3. Kebakaran Kelab Kiss

kelab malam kiss kebakaran mercun

Insiden yang berlaku di Rio Grande do Sul, Brazil pada 27 Januari 2013 mirip dengan apa yang berlaku di Republica Cromanon.

Gabungan pelajar dari enam buah universiti mengadakan sambutan parti besar-besaran di sebuah kelab bernama kelab Kiss, dengan persembahan dua buah kugiran tempatan.

Disertai lebih 2,000 pengunjung, dua kali ganda kapasiti sebenar kelab tersebut yang sebenarnya hanya mampu menempatkan 1,000 orang menambahkan lagi risiko.

Semasa persembahan, salah seorang ahli kugiran menyalakan mercun menyebabkan api menyambar siling yang turut sama dipenuhi papan busa, bahan yang memang digunakan sebagai bahan penyerap bunyi di premis kelab.

Siling yang runtuh menyebabkan keadaan menjadi kacau bilau dan mangsa yang cuba menyelamatkan diri panik, sehinggakan terlalu ramai terperangkap dalam bahagian tandas premis tersebut cuba menyelamatkan diri.

Daripada 245 orang yang meninggal dunia, 180 daripadanya mati dalam tandas akibat sesak nafas selepas gagal menemui jalan keluar.

Kumpulan kugiran yang memulakan kebakaran, Gurizada Fandangueira sebenarnya terkenal di kalangan anak muda Brazil sebagai kumpulan unik yang gemar menggabungkan muzik dan pertunjukan bunga api semasa menghiburkan peminat.

Berdasarkan tiga insiden di atas ingin kami nasihatkan - jika anda pengunjung setia kelab malam, jauhkan diri daripada persembahan tempat tertutup yang melibatkan api atau mercun.

2. Kebakaran Mesa Redonda

kebakaran letupan mercun

Kompleks Mesa Redonda bukanlah sebuah pusat beli belah mewah di Lima, Peru tetapi lebih kepada pusat jualan komuniti yang besar.

Tempat itu menjadi sasaran golongan pertengahan dan bawahan mendapatkan keperluan mereka pada harga berpatutan oleh tawaran ribuan gerai yang dibuka peniaga, ditempatkan di kompleks tersebut.

Pada 29 Disember 2001, berikutan kedatangan sambutan tahun baru serta sambutan Krismas yang masih meriah, ramai peniaga mula mengambil peluang menjalankan aktiviti perniagaan mercun dan bunga api di kawasan tersebut, menyebabkan mercun serta bunga api dilonggokkan di merata-rata tempat.

Kebakaran bermula selepas seorang individu dipercayai individu bawah umur menyalakan mercun yang dijual di situ untuk mencuba kekuatannya, menyambar mercun-mercun lain yang dilonggokkan memulakan kebakaran besar yang merebak cepat ke bangunan-bangunan bersebelahan.

Kompleks itu serta bangunan-bangunan bersebelahan yang dibangunkan dengan menggunakan kayu musnah dijilat api mengorbankan lebih 291 nyawa, majoritinya kanak-kanak.

Insiden ini merupakan insiden kebakaran dan letupan paling dahsyat berpunca daripada mercun, yang mengorbankan paling ramai nyawa manusia.

Apa yang malang - letupan dan kebakaran serupa berulang lagi di bahagian berlainan kompleks Mesa Redonda pada tahun 2007. Mujurlah api berjaya dikawal tanpa merebak ke bangunan-bangunan lain.

1. Letupan gudang mercun Beirut

letupan di beirut lebanon

Besar letupan itu kan? Sangat mengejutkan.

Letupan yang berlaku didakwa melibatkan sebuah gudang simpanan mercun di Beirut, ibu negara Lebanon memang mengejutkan banyak pihak - apatah lagi video-video mengerikan yang memaparkan bagaimana letupan itu berlaku tular dengan pantas sekali.

Impak letupan dilaporkan menyebabkan kerosakan besar pada sebahagian pelabuhan yang menjadi lokasi letupan, menyebabkan kematian lebih 100 orang setakat ini serta kecederaan kepada 4,000 orang.

Setakat ini, punca kejadian letupan ini dipercayai berlaku sama ada antara dua sebab. Yang pertama, dimulakan akibat kebakaran yang berlaku pada gudang simpanan mercun yang terletak di kawasan pelabuhan tersebut.

Bagaimanapun, laporan terbaru turut sama menyebut ada kemungkinan letupan itu berlaku disebabkan oleh kebakaran melibatkan bahan-bahan peledak yang telah dirampas dan berada dalam simpanan kerajaan, disimpan di kawasan itu.

Sesuatu yang menjadi persoalan kepada mereka yang berada di tempat kejadian, adalah kesan letupan yang dianggarkan terlalu kuat seandainya mercun dikatakan punca utama. Kereta, kapal dan bangunan musnah dalam skala yang agak dahsyat.

Dipercayai masih ada mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan-runtuhan, memungkinkan kemungkinan angka korban insiden terbaru di Beirut ini bakal meningkat.

Adakah insiden terbaru ini bakal menjadi insiden paling dahsyat akibat letupan dan kebakaran mercun dari segi angka korban? Besar kemungkinan ya. Boleh jadi juga bukan mercun punca sebenar tetapi bahan letupan yang jauh lebih berbahaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)