Oleh pada 11 Aug 2020 kategori

Insiden yang berlaku di Beirut, Lebanon pada awal pagi 4 Ogos 2020 menggemparkan seluruh dunia. Dalam sekelip mata, satu kawasan pelabuhan yang siap dibangunkan musnah binasa.

Banyak kawasan di sekelilingnya musnah, mengalami kerosakan yang mengakibatkan kehilangan harta; lebih malang nyawa.

Melihat impak yang berlaku, tidak dapat kita bayangkan betapa dahsyatnya letupan yang telah berlaku. Persoalannya - adakah letupan di Beirut itu antara yang paling kuat?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ya. Namun jika semua letupan yang berlaku secara tidak sengaja diukur, letupan di Beirut hanya berada pada kedudukan ke enam dalam sejarah dunia.

6. Letupan Beirut (4 Ogos 2020)

letupan dahsyat dalam sejarah

Mengakibatkan gegaran yang mencecah 3.3 pada skala magnitud, letupan yang dianggarkan pada kekuatan 1.1 ke 1.5 kt TNT di Beirut mengakibatkan lebih 150 nyawa terkorban dan 80 orang (setakat ini) tidak dapat dikesan.

Gudang yang terletak di pelabuhan menempatkan bahan ammonium nitrat sebanyak 2,750 tan yang dirampas, selepas kapal yang mengangkutnya didapati tidak mempunyai kelulusan untuk belayar. Itu menyebabkan bahan mudah terbakar itu tersimpan di situ sejak 2013.

letupan beirut lebanon

Bukti yang berjaya direkodkan mendapati sebelum bahan sensitif itu meledak, berlakunya percikan api yang dipercayai menjadi punca pembakaran, sama ada daripada mercun atau aktiviti kimpalan yang sedang dijalankan. Punca sebenar letupan ini masih disiasat.

5. Letupan Oppau (21 September 1921)

texas city disaster letupan paling kuat

Silo yang menempatkan bahan aktif ammonium sulfat dan ammonium nitrat sebanyak 4,500 tan meletup pada 21 September 1921 di sebuah kilang yang terletak di Oppau,Jerman.

Letupan kuat itu mengakibatkan kerosakan pada kawasan kilang tersebut, yang dibuka pada tahun 1911 selepas kerajaan Jerman mengalami defisit sulfur yang teruk dalam persediaan perang dunia pertama.

Disebabkan oleh tindakbalas antara bahan ammonium sulfat dan ammonium nitrat yang menghasilkan bahan berbentuk pepejal, pekerja kilang sekiranya tidak menggunakan kapak akan menggunakan bahan peledak lemah bagi membolehkan sulfur yang terhasil dipecahkan untuk pemprosesan.

Dipercayai sebanyak 20,000 ledakan kecil telah pun selamat dijalankan, tetapi entah di mana silapnya ledakan yang dibuat pada hari tersebut, menyebabkan letupan lebih besar sekuat 1-2 kt TNT berlaku mengakibatkan keseluruhan bahan yang disimpan meletup sama.

Letupan kilang Oppau (pautan PDF) menghasilkan lubang selebar 125 meter dan 19 meter dalam, membunuh 507 orang dan 1917 orang mengalami kecederaan.

4. Letupan Pelabuhan Chicago (17 Julai 1944)

strongest explosion in history

Digunakan semasa zaman perang dunia kedua, pelabuhan Chicago yang dibuka menggunakan khidmat individu kulit hitam bagi melakukan kerja-kerja berbahaya - seperti mengangkut dan memuatkan bahan letupan.

Jadual kerja yang keras serta tidak pernah terhenti menyebabkan kurangnya latihan dapat disediakan kepada pekerja-pekerja pelabuhan, mengakibatkan keperluan untuk mengekalkan tahap keselamatan sepatutnya gagal diikuti.

Semasa dua buah kapal diisi di pelabuhan tersebut, agar sarat dengan bahan letupan, peluru dalam jangkamasa waktu yang telah ditetapkan. Ini menyebabkan pekerja berebut-rebut untuk memindahkan kargo, sebelum kemalangan dipercayai daripada alat pengangkut kargo berlaku - dipercayai memulakan percikan api.

Letupan yang berlaku mengakibatkan apa saja yang ada dalam radius 1,000 kaki daripada punca letupan musnah sama sekali, termasuklah kedua-dua buah kapal. 320 orang kelasi majoritinya warga kulit hitam mati di tempat kejadian, dalam keadaan hancur dengan hanya 51 orang berjaya dikenalpasti.

Impak letupan itu apabila diukur bersamaan dengan 1.6 ke 2.2 kt TNT, meletakkan insiden ini di tempat keempat paling kuat dalam sejarah.

3. Letupan Pengkalan RAF Fauld (27 November 1944)

letupan explosion terkuat dalam sejarah

Sehingga kini, lubang yang terhasil daripada letupan yang berlaku akibat kecuaian pihak tentera Britain pada tahun 1944 masih kelihatan, kini dikenali sebagai Kawah Hanbury.

Kawah Hanbury pada asalnya adalah Pengkalan Udara Fauld, yang terletak di Tutbury, Staffordshire menempatkan senjata, peluru dan kelengkapan milik tentera udara Britain yang disimpan dalam gudang bawah tanah.

letupan raf fauld paling kuat sejarah

Disebabkan oleh lokasinya yang agak terpencil, letupan 1944 ini merupakan antara letupan terkuat yang angka korban nyawanya agak rendah sekitar 70 orang, 26 orang petugas di pengkalan tersebut, 37 orang pekerja sebuah lombong berdekatan dan juga 7 orang pekerja ladang yang terletak tidak jauh dari situ.

Letupan itu juga mengakibatkan kematian lebih 200 ekor lembu yang ada di ladang tersebut.

Punca letupan itu dipercayai bermula disebabkan oleh kesilapan seorang pekerja yang juga tahanan perang, gagal menggunakan peralatan sepatutnya semasa memindahkan bahan letupan. Dua letupan yang terhasil mempunyai kekuatan setinggi 2 kt TNT.

2. Letupan Halifax (6 Disember 1917)

letupan kemalangan paling kuat

Sudah lebih 1 abad lamanya insiden letupan yang berlaku di Nova Scotia, Kanada ini berlaku dan kesannya sehingga ke hari ini diingati.

Jumlah korban yang tinggi lebih 2,000 nyawa serta kecederaan ke atas lebih 9,000 orang dalam letupan tersebut, turut sama menyebabkan sebahagian besar pekan Halifax seluas 2.5 km persegi musnah.

Insiden mengerikan ini berpunca daripada pelanggaran dua buah kapal iaitu kapal Imo yang baru berlepas daripada pelabuhan Halifax, serta sebuah kapal milik Perancis bernama Mont Blanc yang mengangkut bahan letupan sebanyak 2,925 tan termasuklah 250 tan bahan letupan TNT untuk kegunaan perang.

Letupan yang berlaku selepas minyak yang di bawa tumpah lalu membakar sebelum terkena bahan-bahan sensitif yang menyebabkan letupan kapal Mont Blanc tepat pada jam 9.04 pagi.

Lebih malang, disebabkan kebakaran yang berlaku - orang ramai mula berhimpun untuk menyaksikan kekecohan yang berlaku mengakibatkan mereka menjadi antara kumpulan terawal merasai impak letupan sekuat 2.9 kt TNT.

1. Letupan Texas City (16 April 1947)

kemalangan letupan sejarah

Kita semua sudah tahu insiden terbaru di Beirut berlaku disebabkan kehadiran bahan ammonium nitrat dalam jumlah yang banyak. Bahan sama juga menyebabkan letupan di Oppau, Jerman. Begitulah juga dengan insiden letupan paling kuat yang berlaku di Texas City, pada tahun 1947.

Baja ammonium nitrat disimpan di dalam sebuah gudang yang terletak di pelabuhan Texas City, dalam kuantiti yang besar kira-kira 2,300 tan. Operasi pada pagi hari tersebut memerlukan pekerja memindahkannya ke sebuah kapal yang hadir.

Berlaku kebakaran dalam ruangan kargo yang menempatkan dengan bahan tersebut pada jam 8 pagi dan usaha memadamkannya oleh pihak bomba selama hampir sejam, gagal mengawal kebakaran yang terus marak.

Letupan yang terhasil kira-kira jam 9.12 pagi akibat tindak balas haba terhadap bahan tersebut, memusnahkan keseluruhan kapal dan pelabuhan, diburukkan lagi dengan kehadiran sebuah kapal yang mengangkut sulfur terletak berdekatan - menyebabkan siri letupan seterusnya berlaku.

Seramai 581 orang meninggal dunia dalam insiden ini, termasuk 27 orang petugas bomba yang hadir lebih awal cuba mengawal kebakaran. Ini menyebabkan tidak ada pihak dapat menghulurkan bantuan secepat mungkin selepas letupan itu berlaku, memerlukan kehadiran unit bomba dari daerah lain hadir bagi menghulurkan bantuan.

Insiden ini dianggarkan mengakibatkan letupan paling kuat dalam sejarah, diukur pada kekuatan 2.7 ke 3.2 kt TNT. Selama lebih sebulan bandar tersebut terbakar sebelum api berjaya dipadamkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)