Dunia dikejutkan dengan insiden tragedi jambatan runtuh di Itali yang mengorbankan puluhan nyawa. Dilaporkan berlaku disebabkan kelemahan pada struktur binaannya, jurutera-jurutera di Itali ketika ini sedang bersiap sedia untuk meneliti balik keadaan jambatan yang telah pun dibina di negara mereka, bagi mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

Insiden melibatkan runtuhan jambatan telah acapkali berlaku sehingga mengorbankan puluhan, malahan ratusan nyawa. Sama ada berlaku disebabkan kecuaian pembinaan atau unsur sabotaj, tidak ada siapa pun sanggup dipersalahkan apabila insiden buruk seperti ini berlaku.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 tragedi jambatan runtuh paling dahsyat mengorbankan ramai nyawa yang telah berlaku tidak lama dahulu.

1. Tragedi Hintze Ribeiro

hintze ribeiro tragedi jambatan runtuh

Di Portugal, sebuah pekan bernama Castelo de Paive dihubungkan dengan bandar bersebelahannya yang bernama Entre os Rios dengan sebuah jambatan yang mempercepatkan perjalanan mereka, bergelar Hintze Ribeiro. Taraf ekonomi penduduk Castelo de Paive agak rendah jadi majoriti antara mereka bekerja di Entre os Rios setiap hari.

Berusia lebih 100 tahun ketika kejadian berlaku, jambatan itu runtuh pada 4 Mac 2001 semasa cuaca berada dalam keadaan buruk dengan angin kencang dan arus deras. Salah satu tiangnya tumbang, menyebabkan jambatan itu patah dua dengan sebuah bas dan tiga kereta sedang melaluinya.

Usaha menyelamat tidak berjaya dilakukan akibat arus yang kuat menenggelamkan mereka yang jatuh dengan segera. 59 orang terkorban dengan banyak mayat ditemui selepas dibawa arus lebih 30km, dengan dua mayat terkorban dijumpai di Sepanyol dan Perancis. (rujukan)

2. Tragedi Can Tho

can tho runtuh vietnam

Jambatan Can Tho adalah sebuah jambatan yang digantung dengan kabel merentasi Sungai Hau, salah satu sungai pecahan jalinan besar Sungai Mekong di Vietnam. Jambatan sepanjang 2.75 kilometer ini mempunyai empat lorong kenderaan, dirancang untuk mula digunakan pada hujung 2008.

Walau bagaimanapun, semasa dalam pembinaan salah satu tiang Can Tho sepanjang 90 meter yang digantung 30 meter dari aras tanah jatuh dengan jurutera dan pekerja sedang berada di bawahnya. Hasil siasatan mendapati seramai 52 orang mati dengan 149 orang cedera dan tragedi itu berlaku disebabkan kecuaian oleh pihak kontraktor yang terdiri daripada gabungan beberapa kerjasama syarikat dari Jepun. (rujukan)

3. Tragedi Guinea

tragedi jambatan di guinea

Guinea merupakan sebuah negara di Afrika, menempatkan sebuah jambatan di bahagian barat laut negara tersebut. Oleh kerana status ekonomi di negara tersebut agak rendah, menjadi kebiasaan bagi penduduk Guinea menumpang lori untuk sampai ke satu-satu destinasi dan perlu melalui sebuah jambatan berusia 50 tahun yang diperbuat campuran bahan simen dan batu.

Pada 21 Mac 2007, salah sebuah lori yang diupah untuk mengambil pulang penduduk yang selesai berurusan di pasar tani melalui jambatan tersebut, sebelum sebahagian jambatan tersebut runtuh mengakibatkan lori itu terbalik dan mereka yang di dalamnya terpelanting ke dalam sungai. 70 orang disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut dengan 20 orang lagi cedera. (rujukan)

4. Tragedi keretapi Rafiganj

insiden keretapi rafiganj 74k21

Salah satu insiden melibatkan jambatan paling banyak mengorbankan nyawa, insiden ini menyimpan 1001 misteri yang belum dapat dijelaskan sehingga kini. Pada 10 September 2002 jam 10:40 malam, sebuah keretapi mewah bergelar Howrah Radjhani Express meluncur laju di atas jambatan sepanjang 300 kaki, di atas sungai Dahve yang terletak di Rafiganj, India. Keretapi yang membawa 1,000 orang penumpang mula hilang kawalan dengan 15 daripada 18 koc keretapi tercampak, 2 daripadanya jatuh ke dalam sungai.

insiden keretapi rafiganj

Kerja menyelamat gagal disempurnakan berikutan keadaan jalan yang berlumpur semasa hujan. 125 orang dapat diselamatkan pada awal pagi dengan selebihnya yang terperangkap di bawah runtuhan. Selepas selesai, 130 orang disahkan meninggal dunia dengan 50 orang lagi dilaporkan hilang. Insiden itu dikatakan berlaku kerana kelemahan struktur jambatan itu menyebabkan keretapi itu tergelincir, sedangkan laporan tentangnya sudah dibuat berulang kali.

Ada juga pihak berpendapat tragedi itu berlaku disebabkan unsur sabotaj ahli Parti Komunis India yang bergelar Naxalites, berikutan landasan pada jambatan tersebut kehilangan beberapa alat ganti penting. (rujukan)

5. Insiden ngeri Eschede

eschede jerman insiden jambatan

Insiden gelinciran keretapi Eschede, Jerman merupakan salah satu insiden paling dahsyat melibatkan keretapi dan jambatan. Semuanya bermula selepas keretapi laju Intercity-Express dari Munich ke Hamburg sebelum salah satu tayar keretapi itu pecah, melambung masuk ke dalam bahagian koc penumpang yang sedang duduk selesa. Kehilangan imbangan pada kelajuan tinggi menyebabkan keretapi mula terbuai-buai dan tergelincir sebelum sempat pemandu menarik brek kecemasan.

Tayar yang tercabut dan tersekat pada bahagian koc mula berlaga dengan pagar keselamatan yang dipasang ditepi landasan menyebabkan koc di mana tayar itu berada, terangkat ke atas sebelum keretapi itu melanggar tiang sebuah jambatan binaan konkrit yang lalu di atas landasan keretapi tersebut. Ini menyebabkan pergerakan keretapi tadi yang sedang memecut pada kelajuan 200km/j terhenti dan jambatan itu runtuh menimpanya.

Jambatan itu pula dibina tanpa mempunyai sistem keselamatan yang lebih baik berikutan keperluan penggunaannya yang rendah, serta tiada penghadang di pasang pada tiang bagi melindungi tiang daripada hentaman keretapi. Majoriti mereka yang meninggal dunia duduk dalam koc yang tidak bernasib baik dihempap jambatan tersebut ataupun terbalik selepas pelanggaran. Seramai 101 orang meninggal dunia dalam kejadian ini.



Hakcipta iluminasi.com (2017)