vova perusuh hooligan russia muda

Vova baru berumur 19 tahun. Realitinya, hidup beliau selesa. Ibunya seorang peramugari. Beliau seorang pelajar dalam bidang rekaan grafik. Hobinya? Meluncur ombak. Vova membaca karya-karya penulis Russia seperti Pushkin dan Yesenin dengan karya daripada Erich Maria Remarque, seorang penulis Jerman banyak memberi kesan padanya.

Walaupun hidupnya selesa serta boleh dikatakan normal, Vova akan ke hutan setiap hari bagi menyertai kumpulannya IX Legion; penyokong fanatik pasukan Dinamo Moscow. IX Legion ditubuhkan bagi satu tujuan - bertumbuk dengan penyokong-penyokong pasukan lain di hutan.

Bagi Vova, berada dalam situasi pergaduhan itu merupakan pengalaman yang perlu dilalui. Ada sesuatu yang mengubah dirinya setiap kali berhadapan dengan risiko - mindanya dilatih untuk jadi lebih kuat. Menurut Vova - perasaan yang dirasai apabila beberapa belas orang datang ke arah kita dengan niat mahu mencederakan kita, akan mengajar kita banyak perkara tentang diri kita.

Apabila kita takut sakit, kita akan melawan. Bila kita melawan, kita jadi lebih kuat.

Ancaman hooligan pada penganjuran Piala Dunia 2018

russian ultras hooligan

Piala Dunia bermula pada 14 Jun 2018 dengan lebih 2 juta pengunjung akan menjadikan Russia rumah sementara mereka. Banyak isu dikhuatiri akan timbul ekoran penganjuran ini, antaranya masalah perkauman, isu anti golongan gay ekoran dasar kerajaan, risiko serangan keganasan dan masalah paling ditakuti - insiden keganasan penyokong radikal di kawasan jalanan.

Berpunca daripada satu insiden di Perancis semasa perlawanan England menentang Russia dalam kejohanan Euro 2016, beratus orang penyokong Russia ketika itu dengan sengaja menimbulkan kekacauan, merosakkan harta benda serta menyerang sesiapa saja yang dirasakan berasal dari England. Kekacauan itu turut sama berlaku di stadium sehingga persatuan bola sepak Russia dikenakan denda oleh UEFA.

Disebabkan insiden itu, wujud stigma besar mengenai penganjuran Piala Dunia 2018 oleh Russia; adakah insiden serupa akan turut sama berulang? Vladimir Putin mengambil pendekatan memastikan pihak polis disiap siagakan untuk menghadapi sebarang insiden; imej Russia sangat bergantung kepada kelancaran penganjuran kali ini.

Langkah-langkah diambil bukan sekadar memastikan fasiliti-fasiliti keselamatan seperti pegawai pemeriksa ditempatkan dan pengesan besi dipasang di kawasan stadium. Kerajaan Russia juga mula bertindak mengesan, menyiasat dan menangkap individu-individu yang dikhuatiri akan memulakan siri keganasan, seperti Vova - yang menjadikan pergaduhan sebagai satu bentuk hiburan masa lapang.

'Kaki gaduh' professional

perusuh hooligan russia

Selain Vova, Anton juga salah seorang pemuda Russia yang gemarkan pergaduhan. Latar belakangnya sebagai seorang 'bouncer' dan jurulatih tinju sebuah pusat latihan di St.Petersburg, yang terkenal sebagai tempat melatih ahli-ahli kumpulan bawah tanah untuk bergaduh menjadikan hobi mereka sesuatu yang kerapkali menjadi topik perbualan Anton.

Anton adalah ahli kepada kumpulan penyokong pasukan bola sepak CSKA Moscow yang dinamakan Rude Boys, salah satu pasukan penyokong tertua Russia. Beliau mula terlibat menyertai pergaduhan selepas diserang hendap oleh beberapa orang penyokong pasukan Zenit St.Petersburg ketika berumur 11 tahun. Walaupun tidak dikasari pada hari itu, Anton melihat sendiri depan matanya bagaimana remaja lain yang lebih tua daripadanya dibelasah tanpa simpati.

Pengalamannya sejak kecil memaksa Anton bersedia ekoran minatnya dalam sukan bola sepak. Dia kini sudah berumur 20 tahun, mempunyai ketinggian 5 kaki 10 inci. Ototnya pula sudah pejal dibina hasil kerja keras di gimnasium setiap hari. Anton sehingga kini sudah terlibat dalam 60 kali perlawanan dengan kebanyakan pergaduhan dirakamkan untuk simpanan, sebagai memori.

Kenapa mereka melakukan budaya ini secara rela diri?

perusuh russia jalanan

Semua sesi pergaduhan bukanlah diadakan secara tidak sengaja. Majoritinya dianjurkan oleh ketua-ketua kumpulan mereka sendiri yang akan mengaturkan masa dan lokasi bertembung. Kawasan hutan kerap menjadi pilihan. Ada kalanya mereka akan bergaduh di dalam kawasan perindustrian yang terbiar.

Setiap satu sesi berbeza jumlah pesertanya. Ada yang 5 lawan 5. Ada ketikanya 100 lawan 100 orang. Mereka akan berdiri dalam satu barisan berhadapan lawan masing-masing sebelum seorang yang dipilih akan memberikan isyarat memulakan pergaduhan.

Tidak ada objek seperti seperti pisau atau buku lima besi dibenarkan dalam perlawanan. Semuanya hanya bersenjatakan tangan dan kaki. Memijak kepala, kemaluan atau serangan bertubi-tubi ke bahagian kepala dibenarkan. Kecederaan memang dijangkakan terjadi pada mereka yang terlibat.

Objektifnya - untuk setiap ahli baru, mereka akan dihadiahkan sehelai t-shirt daripada ketua mereka bagi menandakan penerimaan mereka ke dalam pasukan yang ingin disertai. Sebaik sahaja seseorang layak mendapat t-shirt tersebut, secara automatik mereka akan dianggap sebagai ahli keluarga yang akan dilindungi tak kiralah apa saja bentuk ancaman sekalipun yang hadir.

Budaya suka bergaduh Russia

pertarungan hutan melibatkan ultras wanita

Walaupun budaya ini berbeza dengan sukan-sukan lain, hanya mereka yang terlibat faham kenapa sangat ramai pemuda Russia sanggup menghadapi risiko menceburkan diri dalam kumpulan-kumpulan penyokong ekstrim ini. Bagi Arnie, pemilik gimnasium di mana Anton bekerja, mempersoalkan mengapa mereka terlibat adalah satu soalan bodoh.

Pada beliau, ada sesuatu yang mengasyikkan apabila kita diletakkan dalam situasi takut dan kita berjaya keluar daripadanya dengan selamat. Semua perasaan gementar yang dialami akan memperkuatkan diri mereka dalam menghadapi cabaran yang datang. Hanya mereka yang menyertainya faham bagaimana hebatnya perasaan yang dialami selepas berjaya menang dalam satu pertarungan di mana risikonya sangat-sangat besar, berbeza dengan sukan professional.

Vova menyifatkan siri pergaduhan yang mereka sertai salah satu cara pemuda-pemuda Russia melepaskan kemarahan mereka akibat kehidupan sesama mereka sendiri, tanpa mencederakan orang luar. Budaya Russia sendiri mempunyai sejarah menggalakkan pergaduhan sejak abad ke 11, melalui satu budaya orang dulu-dulu yang dinamakan 'stenka na stenku', yang bukan sahaja melibatkan lelaki dewasa malahan budak-budak lelaki dalam mempertahankan kampung mereka.

Budaya 'hooligan' dalam zaman moden dipercayai bermula semasa era Soviet Union, berkembang semasa zaman pemerintahan Mikhail Gorbachev sebelum meletup semasa zaman kejatuhan Soviet. Menurut Ruslan, seorang ahli kumpulan Red-Blue Warrior, budaya ini sudah bertapak selama tiga generasi di Russia

Bagi beliau yang percaya dirinya adalah generasi ketiga golongan 'hooligan', ahli-ahli kumpulan kini mempunyai mentaliti yang berbeza berbanding sebelumnya. Setiap ahli mempunyai kesedaran tinggi berkenaan tahap kesihatan serta serius mengamalkan aktiviti senaman. Oleh kerana itu, ramai ahli-ahli pasukan yang pada mulanya hanya sekadar bergaduh di kawasan hutan, akhirnya berjaya masuk menjadi atlit MMA yang diiktiraf dalam liga MMA Russia.

Ini memberikan sedikit kredibiliti pada ahli-ahli kumpulan penyokong yang menyertai sesi-sesi pergaduhan sesama mereka - ada makna, potensi dan peluang lebih besar di sebalik semua kekasaran yang mereka sertai selama ini.

Bergaduh sebagai satu kerjaya

kumpulan ultra russia peminat bola sepak

Igor Lebedev, salah seorang pemimpin tertinggi Russia merasakan usaha kerajaan mengekang gerakan menganjurkan sesi pergaduhan di hutan sebagai satu langkah sia-sia. Beliau percaya kerajaan Russia sepatutnya dapat melihat nilai-nilai baik yang ada daripada aktiviti tidak sihat pemuda-pemuda Russia ini dan mengiktirafnya sebagai satu sukan yang sah, serta dipantau dan dikawal selia.

Ditanyakan mengapa dia berpendapat sedemikian rupa - Igor berhujah bertumbuk ini adalah sesuatu yang sudah sebati dengan budaya masyarakat Russia. Waktu musim sejuk yang panjang dan gelap membuatkan pemuda-pemuda mereka berada dalam keadaan tiada haluan. Bagi beliau, kerajaan Russia perlu memahami realiti 'sukan' ini sebagai sesuatu yang mampu mengisi masa lapang pemuda di sana.

Bagi Vova, sekiranya ditanya mengapa budaya ini terus kekal di kalangan pemuda-pemuda Russia; hanya dengan berada di tengah-tengah gelanggan di hutan dan merasai sendiri pengalamannya, barulah boleh kita memahami kenapa ramai pemuda di Russia melakukannya.

Berdiri dengan jantung berdebar-debar tidak mengetahui apa yang akan berlaku, diserang dengan perasaan gugup serta gementar sebelum badan mula bertindak balas mempertahankan diri. Rasa gugup mula hilang digantikan dengan perasaan ingin berlawan sehingga sanggup melakukan apa saja yang perlu. Perkara itu, menurut Vova merupakan sesuatu yang menjadikan mereka ketagih dan mahu mengulanginya sekerap mungkin.

Semua itu untuk keseronokan kata Vova. Tidak ada perkara lebih seronok bagi beliau dan rakan-rakannya, daripada menumbuk orang lain yang mahu mencederakan kita - sebelum kita berjaya menguasai perlawanan dan mula bebas melakukan apa saja yang kita suka pada lawan kita.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel The New Hooligan of Russia yang diterbitkan pada 2 Jun 2018


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)